HLIB turunkan harga sasaran Bank Islam kepada RM3 selepas unjuran untung bersih bagi FY22-FY24 disemak semula | DagangNews Skip to main content

HLIB turunkan harga sasaran Bank Islam kepada RM3 selepas unjuran untung bersih bagi FY22-FY24 disemak semula

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menyemak turun harga sasaran Bank Islam Malaysia Bhd. kepada RM3 daripada RM3.30 sesaham sebelum ini dengan saranan 'beli' masih dikekalkan. 

 

Sejajar dengan semakan itu, ia mengurangkan unjuran untung bersih kumpulan perbankan Islam itu sebanyak 5% hingga 9% bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) hingga FY24 setelah mengambil kira pendapatan bukan berasaskan dana yang lebih lemah.

 

Menurutnya, pendapatan bukan dana pada suku kedua kekal lemah, disebabkan perbendaharaan yang lembap dan prestasi pasaran. 

 

Bagaimanapun, katanya, Bank Islam menjangkakan prestasi separuh kedua akan pulih memandangkan hasil 10 tahun MGS telah merosot kepada 3.9% daripada puncak baru-baru ini sebanyak 4.4%.

 

"Pengurusan turut memberi panduan bahawa nisbah kepada pendapatan bagi FY22 berada pada paras 56%. Bank Islam juga memberi isyarat keuntungan suku kedua ini kemungkinan berlegar di bawah RM130 juta (berbanding RM106 juta pada suku pertama).

 

"Tetapi, ini berpotensi melantun semula ke paras RM130 hingga RM150 juta mulai suku ketiga dan seterusnya," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dalam perbincangan dengan pengurusan baru-baru ini, HLIB menyimpulkan kumpulan lebih berhati-hati dengan prospeknya. 

 

Kumpulan memberi panduan terhadap margin pembiayaan bersih (NFM) bagi FY22 pada 2.2%, walaupun ia bergerak pada kadar 2.3% pada suku pertama, yang mencerminkan pemampatan 19 mata asas (bp) berbanding FY21 berbanding anggaran +2bp.

 

"Kami faham yang Bank Islam menjangkakan hanya satu kenaikan OPR dan setiap kenaikan 25bp dalam kadar dasar semalaman (OPR), meningkatkan NFM sebanyak 8bp pada asas tahunan.

 

"Namun, setakat ini, kadar itu telah dinaikkan sebanyak 2 kali dan menjangkakan 1 lagi kenaikan pada September ini," jelasnya.

 

Bagaimanapun, HLIB melihat sasaran pertumbuhan pembiayaan sebanyak 8% untuk FY22 adalah kukuh selepas ia melihat prestasi terkini (didorong oleh gadai janji dan pembiayaan peribadi).

 

"Malah, ini lebih tinggi daripada anggaran 6% semasa kami," tambahnya.

 

Menurut firma itu, walaupun prospek jangka pendeknya adalah suram, tetapi ia sudah pun dicerminkan dengan baik dalam penilaian, didagangkan pada masa ini menghampiri -2SD. 

 

"Ini adalah salah satu saham perbankan yang jarang didagangkan pada tahap tertekan dan dengan itu, menjadikannya menarik. Selain itu, prospek pertumbuhan jangka panjangnya juga cerah dan utuh," katanya.

 

Setakat 9.43 pagi, harga saham Bank Islam menokok 1 sen atau 0.38% kepada RM2.67 dengan 1,200 saham diniagakan. - DagangNews.com