HLIB unjur ekonomi Malaysia pada suku kedua berkembang 9% | DagangNews Skip to main content

HLIB unjur ekonomi Malaysia pada suku kedua berkembang 9%

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengunjurkan ekonomi suku kedua akan berkembang 9% dipacu prestasi yang lebih kukuh menerusi sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.

 

Dari segi permintaan, firma itu menjangkakan penggunaan swasta akan memacu pertumbuhan keseluruhan berikutan pembukaan semula sempadan antarabangsa dan pelepasan permintaan terpendam.

 

Katanya, sektor perkhidmatan dijangka meningkatkan pertumbuhan suku kedua berikutan volum indeks perkhidmatan yang kukuh meningkat 7% pada suku pertama 2022.

 

"Sektor pembuatan juga dijangka mengukuh berdasarkan pengeluaran yang lebih tinggi pada suku kedua meningkat 9.2% tahun ke tahun disokong sektor pembuatan domestik dan berorientasikan eksport serta kesan asas yang rendah.

 

"Sementara itu, sektor pembinaan dijangka mencatatkan lantunan semula, dicerminkan oleh peningkatan nilai kerja pembinaan yang dilaksanakan meningkat 6.1% tahun ke tahun disebabkan peningkatan dalam bangunan kediaman dan bukan kediaman," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengumumkan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua 2022 hari ini. 

 

Pada Julai lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, prestasi ekonomi negara dilihat beransur pulih dan mula mengembang berdasarkan pelbagai indikator termasuk data terkini bagi Mei 2022.

 

Ini mencerminkan perkembangan yang memberangsangkan serta menunjukkan bahawa pertumbuhan KDNK pada suku kedua tahun ini akan terus diperkukuhkan.

 

Menurut HLIB, momentum pertumbuhan yang positif pada suku kedua akan berterusan sehingga suku ketiga yang akan menyaksikan BNM menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas pada September ini menjadikan kadar faedah itu kepada 2.5% menjelang akhir tahun ini. 

 

Katanya, pembukaan semula sempadan antarabangsa, peralihan kepada fasa endemik serta pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah membantu merangsang pemulihan ekonomi.

 

Bagaimanapun, firma itu menjangkakan pertumbuhan suku keempat akan kembali perlahan memandangkan permintaan global yang lebih perlahan. 

 

"Risiko penurunan kepada pertumbuhan kekal ketara, berpunca daripada peningkatan konflik geopolitik dan persekitaran inflasi yang tinggi

 

"Usaha bersepadu oleh bank pusat untuk mengawal inflasi juga berisiko menyebabkan kelembapan yang lebih ketara dalam pertumbuhan global," jelasnya.

 

Namun, secara keseluruhan, HLIB mengekalkan unjuran KDNK tahun ini pada 5.9%. - DagangNews.com