Honda perkenal dua warna baharu untuk CR-V | DagangNews Skip to main content

Honda perkenal dua warna baharu untuk CR-V

Honda CR-V dalam warna Ignite Red Metallic yang meningkatkan lagi penggayaan luarannya.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Honda Malaysia memperkenalkan dua pilihan warna baharu bagi model CR-V, iaitu warna Ignite Red Metallic yang meningkatkan lagi penggayaan luarannya dengan penampilan yang lebih bertenaga, dan warna Meteoroid Grey Metallic yang menyerlahkan rupa lasak model.

 

Warna baharu yang menggantikan warna Passion Red Pearl dan Modern Steel Metallic memberikan pilihan segar untuk pelanggan.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura berkata, warna Ignite Red Metallic dan Meteoroid Grey Metallic mendapat penerimaan pasaran yang baik sejak ia diperkenalkan pada model Honda iaitu City, City Hatchback, Civic, BR-V dan HR-V yang baharu dilancarkan, manakala Accord turut menawarkan warna Meteoroid Grey Metallic.

 

Kedua-dua warna adalah pilihan popular dalam model ini di mana warna Ignite Red Metallic menyumbang purata 18% kepada jualan setiap lima model, manakala warna Meteoroid Grey Metallic menyumbang purata 24% kepada jualan setiap enam model.

 

"Dengan CR-V sebagai model terbaharu yang menerima kedua-dua pilihan warna, kami telah melengkapkan pengembangan warna Ignite Red Metallic dan Meteoroid Grey Metallic ke dalam barisan Honda.

 

"Kami yakin kedua-dua warna baharu itu akan menyerlahkan lagi penampilan CR-V untuk pelanggan yang mencari SUV dengan luaran yang lebih berani dan moden," kata beliau dalam kenyataan di sini.

 

CR-V telah memenangi hati rakyat Malaysia dengan gaya, ruang dalaman yang elegan dan prestasi pemanduan yang luar biasa.

 

Sejak dilancarkan pada 2017, CR-V Generasi Ke-5 merekodkan rekod jualan cemerlang dengan lebih 63,000 unit terjual dan model facelift yang dilancarkan pada November 2020, menyumbang lebih 27,000 unit kepada jumlah jualan setakat ini.

cr-v
Warna Meteoroid Grey Metallic yang menyerlahkan rupa lasak model Honda CR-V.

 


CR-V juga menyumbang 12% kepada jumlah jualan Honda dari Januari hingga Julai 2022. Prestasi jualan yang cemerlang membuktikan penerimaan positif teknologi canggih kerana CR-V padat penuh dengan ciri-ciri inovatif yang memberikan Keseronokan Membeli untuk pelanggan.

 

CR-V dikuasakan oleh enjin 1.5L VTEC Turbocharged yang boleh menjana output kuasa maksimum 193PS dan tork maksimum 243Nm, memberikan pemanduan mendebarkan untuk SUV. Selain ciri keselamatan standard dan unik, CR-V dilengkapi dengan Honda SENSING, yang mempunyai lapan ciri keselamatan untuk memberikan lebih ketenangan fikiran kepada pelanggan.

 

CR-V mempunyai reka bentuk dinamik dengan ruang dalaman yang luas dan serba boleh. Model ini mempunyai kapasiti but 522 liter apabila tempat duduk belakang dinaikkan, dan 1,084 liter apabila ia dilipat ke bawah, meningkatkan lagi keluasan dan meningkatkan fungsi SUV.

 

Sebagai SUV dengan pakej lengkap, CR-V ialah kenderaan yang ideal untuk keluarga dan profesional yang inginkan SUV dengan kecanggihan dan gaya peringkat seterusnya, dan pada masa yang sama, sesuai untuk pemanduan santai dan menarik.

 

CR-V boleh didapati dalam empat varian, iaitu 2.0L 2WD, 1.5L TC-P 2WD, 1.5L TC-P 4WD dan Edisi Hitam. - DagangNews.com