Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Irsyad - 10 December 2021

Hukum dan klasifikasi tiga bentuk perjudian

 

 

MUTAKHIR timbul isu dan fenomena judi yang semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat.

 

Lebih menyedihkan lagi, terdapat segelintir masyarakat Islam yang turut terlibat dalam gejala negatif tersebut seperti loteri, tikam, mesin slot dan sebagainya yang melibatkan segala bentuk dan jenis perjudian.

 

Walhal, judi merupakan perkara yang diharamkan dan berdosa besar di sisi Islam.

 

Konsep Judi

Pengertian judi, menurut Kamus Dewan Edisi ke-4 ialah permainan dengan memakai wang dan lain-lain sebagai taruhan (seperti main ceki, main dadu, dan sebagainya).

 

Perkataan judi dalam bahasa Arab dikenali sebagai ‘al-maysir’ atau ‘al-qimar’ iaitu permainan pertaruhan golongan Arab dengan menggunakan anak panah.

 

Permainan judi juga ditakrifkan sebagai permainan dengan anak batu, atau dengan dadu atau segala jenis pertaruhan.

 

aaa
Kegiatan perjudian `tikam' dadu. - Gambar hiasan

 

 

Menurut al-Mu’jam al-Wasith, judi dari sudut bahasa disebut sebagai setiap permainan yang mengandungi pertaruhan antara kedua belah pihak.

 

Manakala dari sudut istilah, Ibn Hajar al-Haitami menyebut judi adalah merujuk kepada sebarang jenis pertaruhan.

 

Ibn Qudamah pula menyatakan judi ialah pertandingan yang tidak sunyi salah satu daripada keduanya untuk menang atau kalah.

 

Sementara Imam Malik menyatakan judi terdiri daripada dua jenis iaitu;

 

  1. Judi yang bersifat sia-sia (lagha) seperti permainan yang menggunakan buah dadu, catur dan sebarang elemen hiburan yang tidak bermanfaat.

     

  2. Judi yang bersifat pertaruhan iaitu apa-apa yang membahaya atau menggadaikan diri orang lain.

 

Pelbagai definisi judi tersebut dapat disimpulkan bahawa judi ialah satu permainan yang mengandungi pertaruhan daripada pihak bertanding dan mengakibatkan kemenangan pada sebelah pihak manakala pihak yang lain mengalami kerugian.

 

 

irsyad
Gejala perjudian secara dalam talian kini juga membimbangkan.

 

Status Hukum Judi

Pengharaman judi dinyatakan dalam al-Quran secara berperingkat, pada peringkat pertama dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi, katakanlah: "pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya” (Surah al-Baqarah: 219).

 

Imam Ibn Jarir al-Tabari dalam kitab tafsirnya Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil ay al-Quran menjelaskan walaupun terdapat manfaat daripada arak dan judi, namun dosa keduanya adalah lebih besar dari manfaatnya.

 

Arak yang dirasakan kelazatan, namun disebaliknya boleh menyebabkan tercetusnya maki-hamun, mencederakan serta membawa kepada pertumpahan darah.

 

Begitu juga judi yang penuh dengan keseronokan dan menjanjikan kekayaan yang belum pasti, namun disebaliknya boleh menyebabkan berlaku penipuan dan kelaziman terhadap orang lain. Wujud manfaat, namun disebaliknya ada mafsadah yang lebih besar boleh berlaku.

 

Pada peringkat kedua melalui firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan, oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya” (Surah al-Maidah: 90).

 

Berdasarkan ayat tersebut, terdapat perkataan ‘rijsun’ yang bermaksud ‘najis dan kotor’ dinisbahkan pada judi.

 

 

irsyad
Gambar lelaki berbaju Melayu beratur membeli Toto ini menjadi bahan ketawa semua orang.

 

 

Selain itu, Allah SWT juga mencela terhadap semua perkara buruk yang disenaraikan dalam ayat tersebut dengan menegaskan bahawa ia termasuk dalam amalan syaitan dan merupakan perbuatan yang keji.

 

Seterusnya, terdapat penggunaan lafaz ‘al-ijtinab’ yang bermaksud ‘menjauhi judi’ menggambarkan bahawa tegahan dan pengharaman adalah lebih kuat dan menyeluruh iaitu bukan sekadar tegahan bermain judi tetapi termasuk tegahan yang berkaitan dengannya seperti mempromosi, menjual dan sebagainya.

 

Ibn Taimiyyah berpandangan bahawa mafsadah judi adalah lebih besar daripada mafsadah riba kerana meliputi dua mafsadah iaitu;

 

  1. mafsadah memakan harta secara haram.

     

  2. mafsadah perkara lalai yang menghalang daripada mengingati Allah, lalai daripada mengerjakan solat serta menimbulkan permusuhan dan kebencian.

 

Justeru itu, judi diharamkan sebelum pengharaman riba.

 

Klasifikasi judi

Menurut para ulama fiqh, judi boleh dikategorikan kepada tiga bentuk iaitu;

 

Pertama, ‘maysir al-qimar’ iaitu judi dengan pertaruhan harta. Sebahagian besar judi adalah dalam bentuk pertaruhan wang atau harta benda. Para ulama sepakat menyatakan haram, antara cirinya ialah pemain judi samada menang atau menanggung rugi, permainan ini melibatkan pertaruhan harta (mukhatarah) dan memindah milik harta melalui pertaruhan (mukhatarah)

 

Kedua, ‘maysir al-lahw’ yang disepakati haram. Terdapat sebahagian dari maysir yang tidak semestinya melibatkan pertaruhan harta. Judi dalam bentuk ini disepakati haram kerana terdapat hadis yang menyatakan haram secara jelas samada melibatkan pertaruhan harta atau tidak. Contohnya ialah ‘al-nard’, ‘al-tawilah’ dan ‘al-tab’. Ciri utama judi dalam bentuk ini ialah permainan tersebut semata-mata bergantung kepada nasib dan tidak berdasarkan pemikiran, kiraan atau seumpamanya.

 

Ketiga, ‘maysir al-lahw’ yang tidak disepakati haram. Para ulama berselisih pandangan samada haram atau tidak mengenai permainan yang tidak melibatkan pertaruhan wang, tetapi memerlukan pemain berfikir, mengira dan menilai. Contoh menurut mazhab Syafie, semua permainan yang bergantung kepada pengiraan, pemikiran, dan perancangan strategik tidak dilarang, tetapi makruh, dengan syarat tiada pertaruhan, percakapan yang buruk, atau melalaikan dari solat.

 

irsyad
Banyak kemudaratan bila seseorang terjebak dengan perjudian dalam talian.

 

Kesimpulan

Demikianlah bahaya dan mudarat judi sangat besar. Terdapat pelbagai hikmah pengharaman judi antaranya termasuklah boleh menyebabkan seseorang terjebak dalam pelbagai jenayah seperti mencuri, mencederakan jiwa, menimbulkan permusuhan serta pertelingkahan, mengambil harta orang lain secara batil, menjadi punca kepada seseorang menipu serta menzalimi orang lain, menghabiskan harta sehingga sanggup menggadaikan isteri serta anak-anak dan pelbagai keburukan lain. - DagangNews.com

 

 

DR. AZRI BIN BHARI adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD

 

Portfolio Tags