Ibu bapa bagi anak-anak `pinjaman kayu api'? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 17 May 2021
WasiyyahShoppe

IBU BAPA BAGI ANAK-ANAK ‘PINJAMAN KAYU API’ ?

 

 

SEKALI lagi kita direzekikan oleh Allah SWT untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri walaupun dalam norma yang berbeza dan ramai yang mengeluh kerana tidak dapat bersama keluarga tercinta di hari mulia ini.

 

Apapun inilah pengorbanan yang perlu kita lakukan bersama-sama bagi memastikan pandemik COVID-19 dapat dikawal. Walaupun kita masih dalam keadaan tidak menentu, jangan kita lupa menghitung kesyukuran atas semua nikmatNya.

 

Masih jelas di ingatan saya pesanan arwah nenek saya dulu, “Pin untuk suburkan rasa bersyukur dalam hati, jangan bandingkan nasib kita dengan orang yang lebih baik dari kita. Bandingkan diri kita dengan orang yang berada dalam keadaan lebih teruk dari kita. Susah macam manapun kita, sentiasa ada nikmat yang Allah berikan kepada kita. Hitunglah nikmat itu. Lagi banyak kita bersyukur, lebih banyak nikmat diberiNya.”

 

Hari Raya kali ini memang lebih sayu  dari tahun sebelumnya. Wajah-wajah orang tersayang yang pernah hadir dalam hidup kita bersilih ganti bermain dalam fikiran terutamanya bila takbir berkemundang.

 

Dalam keadaan Hari Raya biasa, kita sibuk berkonvoi berjumpa sanak saudara dan bergembira sampai tiada masa untuk ‘terobek’ tetapi raya kali ini kerana tidak dapat keluar dari rumah, banyak masa untuk mengenang orang-orang tersayang.  

 

Apapun, penulisan saya kali ini saya nak mengulas isu ‘pinjaman’ wang dari ibu bapa kepada anak-anak. Adakah urusan itu terkait juga dengan harta pusaka? Soalan ini banyak ditanya kepada saya menunjukkan bahawa orang Islam masih terkeliru dengan isu ini.

 

Kerap saya jumpa kes, anak yang kekurangan wang untuk sara hidup atau modal untuk berniaga akan balik semula kepada ibu bapa untuk memohon pertolongan selepas usaha lain gagal. Kasihnya ibu bapa yang tidak bertepi biasanya akan mendorong mereka untuk memberi ‘pinjaman’ bagi menolong anak ini.

 

Arwah nenek saya sering mengklasifikasikan pinjaman seperti ini sebagai ‘pinjaman kayu api’. Kalau dah diberi pinjam, hangus terbakar tinggal abu sahaja katanya. Nak dapat balik mungkin susah sebab kayu api yang baru perlu dicari dari hutan dan biasanya anak yang meminjam  belum tentu akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menggantikannya. Maklumlah pinjam dari mak bapak. Al fatihah untuk arwah nenek Hjh Natijah bt Hj Hatta yang banyak mengajar saya falsafah kehidupan walaupun dia sendiri tidak boleh membaca.

 

 

ariffinsabirin
Bantuan pinjaman ibu bapa untuk anak ibarat `pinjaman kayu api'. Lepas bagi, tak dibayar balik.

 

 

Sekiranya ibu bapa itu meninggal dunia dalam keadaan ‘pinjaman’ itu belum dibayar balik, apakah kedudukan hutang itu? Adakah ia dianggap harta pusaka dan boleh dituntut oleh waris-waris yang lain? 

 

Kebiasaannya, ibu bapa yang memberi ‘pinjaman kayu api’ kepada anak tertentu untuk anak itu tidak akan menceritakan kepada anak-anak yang lain kerana bimbang anak-anak lain akan marah dan tak bersetuju.

 

Mungkin juga kerana wang dari ibu bapa itu ialah  sumbangan anak-anak lain untuk keperluan hidup ibu bapa. Jadi tidak adillah wang itu digunakan pula untuk menolong anak tertentu sehingga menyebabkan ibu bapa kekurangan wang pula.

 

Malah ada kes yang lebih berat saya jumpa, ibu bapa menggadaikan tanah dan rumah mereka semata-mata kerana nak mendapatkan wang bagi diberikan kepada anak yang di dalam kesusahan tadi. Jadi kewujudan ‘pinjaman kayu api’ ini biasanya dibuat secara ‘hush-hush’ atau tersembunyi. 

 

Ada banyak konflik di antara waris yang boleh tercetus kerana keadaan ini. Dari sudut hukum syarak, sekiranya akad pemberian wang itu ialah ‘pinjaman’, maka ia menjadi hutang dan wajib dibayar semula oleh anak berkenaan. Hutang itu akan dikumpulkan bersama  harta pusaka yang lain dan  kemudiannya diagihkan semula kepada semua waris faraid yang berhak atau secara kaedah permuafakatan.

 

Kalau akad pemberian wang itu pula ialah ‘hadiah’ atau hibah, maka ia tidak menjadi harta pusaka dan tidak perlu dipulangkan balik. Isunya ialah berapa banyak akad ‘pinjaman kayu api’ ini direkodkan secara hitam putih dan bersaksi ? Atau ia hanya diketahui oleh dua beranak itu saja?

 

Di sinilah biasanya timbul konflik selepas kematian ibu bapa. Anak lain yang mungkin tahu tentang ‘pinjaman kayu api’ ini mungkin berkeras supaya anak yang berhutang memulangkan semula wang itu untuk diagih semula kepada waris yang berhak.

 

 

WasiyyahShoppe
KASIH ibu bapa terhadap anak sampai tiada lagi di dunia. Kasih anak kepada ibu bapa pula bagaimana, terutama bab hutang?

 

 

Anak yang berhutang pula mungkin mendakwa itu bukan hutang sebaliknya hadiah yang diberikan ibu bapa ketika hidupnya. Ketiadaan sebarang rekod untuk menunjukkan sama ada itu ialah ‘hutang’ atau ‘hadiah’ memang akan menimbulkan banyak masalah.

 

Suasana boleh jadi panas dan tegang kerana isu ini. Saya pernah duduk dalam majlis yang membincangkan hal ini sehingga akhirnya si adik mengherdik si abang, “Saya doakan abang dapat malapetaka sebab makan duit haram!” Selepas kejadian ini, dua beradik itu tidak pernah bersua muka bertahun lamanya.

 

Saya pun seorang ayah. Kasih sayang kita kepada anak memang tiada batasnya. Jika berdepan di dalam situasi ini, saya suka sekali lagi nak berkongsi nasihat arwah nenek saya.

 

Katanya kalau ahli keluarga dalam kesusahan, tolonglah dengan ikhlas dan sedekahkan sahaja wang yang diperlukan ikut kemampuan kita. Jangan bagi pinjam katanya sebab kalau bagi pinjam, ia menjadi hutang yang kalau gagal  dibayar akan membebankan si penghutang dan si pemberi hutang di akhirat dan mencetuskan masalah antara adik beradik.

 

Sekali lagi orang tua kampung yang tidak bersekolah memberikan kebijaksanaannya (wisdom). Memang kita sayangkan anak-anak dan akan buat apa sahaja untuk mereka. Kerana kita sayanglah maka kita berikan sahaja ‘hadiah’ kepada mereka dan bukan hutang.

 

Namun kalau nak beri ‘pinjaman’ juga kerana mungkin jumlah yang terlibat besar dan memang kita nakkan supaya wang itu dibayar balik walaupun selepas kita mati supaya boleh dikongsi oleh semua waris, maka buatlah dokumen bertulis yang secara jelas membuktikan ia adalah hutang. Anak yang meminjam mesti faham sepenuhnya bahawa dia wajib membayar semula pinjaman tersebut.

 

Kepada anak-anak yang lain pula, pesanan saya bertolak-ansurlah. Sekiranya memang anak yang meminjam itu berada dalam keadaan susah dan hampir mustahil dapat membayar pinjaman itu, maka pakatlah adik beradik supaya pinjaman itu dihalalkan sahaja. Bukankah nilai ukhwah silaturrahim itu jauh lebih berharga dari wang ringgit? Renungkan.

 

Anda ada beri ‘pinjaman kayu api’ kepada sesiapa?

 

 

  

ariffinsabirin
Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Berhad

 

ariffinsabirin

 

 

KOLEKSI ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

 

 

Portfolio Tags