Bagaimana Cara Memilih Nama Perniagaan Yang Terbaik | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Idea Digital - 06 Jul 2021 08:07 AM

Bagaimana Cara Memilih Nama Perniagaan Yang Terbaik

Nama yang kita tidak akan menyesal di kemudian hari

 

 

STRATEGI pemilihan nama, ia merupakan faktor kedua terpenting saya titikberatkan dalam setiap penyediaan strategi pemasaran. Faktor pertama adalah tawaran nilai. Memang, memilih nama nampak macam senang, tetapi sebenarnya tidak.

 

Ia bukan sekadar memikirkan beberapa nama yang sedap bunyinya, pilih satu yang sesuai dan terus daftarkannya di Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Dan selang beberapa tahun selepas itu, kita kecewa dengan apa yang telah dilakukan kerana nama yang telah digunakan dan didaftarkan itu tidak sesuai dengan strategi perniagaan kita pada waktu itu.

 

Secara kasarnya nama itu perlu menarik, relevan di sepanjang zaman, mampu dikenali ramai dan yang paling penting sekali, kita tidak akan menyesal di kemudian hari nanti.

 

Jadi, bagaimana caranya untuk mendapatkan nama yang baik untuk perniagaan yang kita tengah rancang pada ketika ini? Ini rahsianya.

 

Mudah untuk dibentuk dalam strategi penjenamaan nanti
Bagi saya, sesebuah jenama yang baik mempunyai kebolehan untuk mudah dikenali, diingati dan dipercayai. Sesiapa sahaja boleh mengenali, mengingati dan mempercayai apa jua jenama yang baik tidak kira umur, pangkat, lokasi dan pekerjaan maka ia mempunyai penjenamaan yang baik. Malah jenama juga mampu untuk mencipta gaya hidup, trend dan juga cara pengguna berbelanja.

Pembinaan jenama sangat kompleks. Ia tidak semudah dengan pemilihan nama, warna, logo, penulisan slogan dan produk yang ingin dijual, tetapi lebih dari itu. Tidak kira sehebat mana pun bahagian dalaman syarikat kita berfungsi tetapi sekiranya orang ramai tidak mengenali nama jenama kita, bagaimana logo ia dilakar, perjuangan yang jenama kita cuba lakukan dan warna rasmi, semua kerja kita akan menjadi sia-sia.

Dengan kata lain, nama yang dipilih itu perlu mudah dibentuk agar mampu menjadi jenama yang dikenali dan disegani ramai. Sekiranya strategi penjenamaan yang ada masih kurang jelas, dapatkan khidmat nasihat di sini untuk memperbetulkannya.

 

Selari dengan ejaan domain
Elemen ini sangat penting dalam pemilihan sesuatu nama perniagaan. Ia sepatutnya mempunyai nama domain atau URL yang sesuai, yang masih wujud dan boleh dibeli. Ada sesetengah orang tidak begitu kisah tentang memiliki nama domain yang baik ataupun tidak, tetapi bagi saya ia terlalu penting.

Saya dengan mudah boleh menunjukkan yang jenama yang saya bina ini mempunyai kredibiliti tinggi melalui domain yang selari dengan nama perniagaan saya. Sangat kritikal sebenarnya. Dalam dunia perniagaan yang serba canggih pada masa ini, nama domain dilihat sebagai satu aset besar yang bakal mempengaruhi kepercayaan orang ramai kepada sesebuah jenama.

URL domain yang sesuai, pendek, unik, mudah diingat dan berpersonaliti mempunyai nilai komersial yang sangat tinggi juga dalam membina pengaruh kita di luar sana.

 

Selari dengan URL di media sosial juga
Seboleh-bolehnya, cuba semak dahulu di LinkedIn, Facebook, Twitter, Instagram, YouTube, Google My Business atau mana-mana rangkaian media sosial lain yang kita hendak guna itu masih mempunyai nama yang kita ada ini ataupun tidak.

Mungkin ia masih ada, ataupun sudah diambil orang. URL di media sosial sebaiknya ialah yang ejaannya selari dengan domain, yang ringkas, mudah dieja, difahami, ditulis dan disebut oleh para pengguna.

Kalau boleh cuba elakkan dari menggunakan simbol pada URL tersebut agar kredibiliti jenama perniagaan kita nampak besar dan gah di mata pengguna.

 

Sesuai dengan strategi perniagaan pada hari ini dan akan datang
Faktor ini juga penting. Kita boleh lihat bagaimana Facebook melakukanya dengan Facebook, Instagram, WhatsApp dan Oculus. Mereka mempunyai model perniagaan yang berbeza yang mempunyai jenama yang berbeza. Cara ini mudah.

Atau, kita juga boleh melihat bagaimana AirAsia melakukannya, yang mana mereka membezakan setiap satu jenama yang ada mengikut negara di mana mereka beroperasi yang pemilikan syarikat juga berbeza di antara satu sama lain. AirAsia mempunyai AirAsia X, AirAsia Thailand, AirAsia Malaysia, AirAsia Indonesia dan sebagainya.

 

Mudah difahami oleh pengguna
Nama yang baik tidak perlu disesuaikan dengan jenis perniagaan yang dilakukan. Ia juga tidak salah sekiranya kita ingin mempunyai nama yang memberikan deskripsi tentang apa yang kita jual.

Memandangkan keadaan ekonomi negara dan dunia yang serba tidak menentu pada hari ini, boleh jadi model perniagaan kita akan bertukar-tukar dalam masa yang cukup singkat.

Mungkin hari ini kita menjual sesuatu perkhidmatan contohnya, tetapi tiba-tiba keadaan memaksa kita membuat perubahan ketara tentang halatuju dan kita terpaksa menukar jenis perniagaan kepada menjual  produk tertentu pula.

Dengan perubahan ini, kita tidak perlu menukar nama perniagaan, tetapi sekadar menukar maklumat jenis perniagaan sahaja di Suruhanjaya Syarikat. Ini lebih mudah. Yang penting disini ialah nama perniagaan yang kita gunakan itu lebih mudah dieja, lebih mudah diingat dan lebih mudah disebut oleh para pengguna.

Ketiga-tiga faktor ini penting. Kesesuaian nama yang dipilih itu dengan jenis perniagaan yang kita lakukan boleh diserapkan mengikut kefahaman pengguna sedikit demi sedikit mengikut peredaran masa.

 

Mempunyai bunyi dan maksud yang baik dalam semua bahasa
Tidak kiralah sama ada ia dalam bahasa Melayu, Inggeris dan lain-lain, bunyi dan maksud nama perniagaan yang kita pilih itu perlu baik dalam erti kata sebenar.

Ia tidak boleh berbunyi atau bermaksud sesuatu yang tidak elok, lucah, negatif dan sebagainya dalam bahasa-bahasa lain bagi menjaga peradaban dan nama baik perniagaan kita. Ini juga penting sekiranya kita ingin mengembangkan perniagaan yang ada ke luar negara.

 

Selari dengan strategi mendapatkan pelabur dan strategi untuk penjualan kelak
Saya mempunyai satu senario apabila kita bercakap tentang exit strategy. Dan saya yakin ini tidak berlaku kepada semua, mungkin hanya terjadi dalam senario jenis ini sahaja.

Pada penghujung tahun 2020 ketika keadaan ekonomi sangat teruk dan rakyat Malaysia terutamanya kepada para peniaga yang pendapatan mereka terjejas, terdapat dua orang rakan usahawan yang saya kenal mempunyai kesukaran untuk menjual syarikat mereka. Mengapa?

Kerana nama perniagaan mereka mempunyai nama pemilik di dalamnya. Ketika sebelum pandemik, perniagaan mereka sebelum ini sangat baik, inovatif dan mampu pergi lebih jauh. Mereka langsung tiada hasrat untuk menjualnya kerana bercadang untuk meninggalkannya kepada anak-anak dan generasi akan datang.

Apabila hampir setahun COVID-19 melanda, faktor kekurangan pelanggan, kekurangan aliran tunai, modal dan tiadanya strategi ke arah digital yang lebih menyeluruh menyebabkan perniagaan yang ada pada waktu itu goyang, dan menjadi semakin teruk.

Keadaan menjadi begitu kronik sehingga mereka tidak ada cara lain lagi selain menjualnya. Faktor nama sendiri ini menjadi salah satu punca utama menyebabkan mereka tidak dapat menjualnya kepada para pembeli yang berminat.

 

Mengambil kira proses pendaftaran trademark nanti
Faktor terakhir yang saya akan ambil kira ialah tentang pendaftaran trademark. Sudah semestinya saya tidak mahu ada mana-mana pihak yang suka-suka akan menggunakan  nama yang saya sedang gunakan untuk perniagaan saya.

Ataupun terjadinya kes-kes penipuan tertentu yang menyalahgunakan nama perniagaan saya. Jadi, lebih baik saya pastikan yang trademark nama perniagaan saya boleh didaftarkan dan nama itu masih belum digunakan oleh sesiapa, sebelum sesuatu tak diingini berlaku.

 

Dapatkan maklum balas terlebih dahulu
Bincang dan dapatkan maklumbalas rakan-rakan baik, kenalan ataupun kumpulan kecil pelanggan yang disasarkan tentang perancangan dan cadangan nama perniagaan. Cerita betul-betul tentang ini dan minta pandangan bernas mereka.

Saya yakin akan ada beberapa pendapat yang boleh diambil kira yang kita sendiri tidak terfikir sebelum ini. Bab-bab terlepas pandang memang biasa  berlaku terutamanya ketika dalam proses perancangan.

Setiap pendapat, pandangan, rungutan, cadangan yang diutarakan kepada kita oleh sesiapa sahaja, sangat penting bagi memudahkan kita membuat perubahan dalam strategi perniagaan agar menjadi lebih berkualiti lagi.. - DagangNews.com

 

Azleen Abdul Rahim adalah seorang pakar strategi pemasaran, juga penulis di blog Tanarata dan kini kolumnis DagangNews.com menerusi kolum IDEA DIGITAL setiap Selasa.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI IDEA DIGITAL