Biarkan mereka. Yang penting laman web anda ada blog | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Idea Digital - 12 September 2020

Biarkan mereka, yang penting laman web anda ada blog

 

Mengapa ini sangat penting? Tanpa mempunyai blog pada laman web, jenama mereka tidak akan ke mana-mana. Kehadiran mereka di internet pula semakin teruk. Jenama mereka hampir tidak akan dijumpai oleh sesiapa yang mencari produk atau perkhidmatan yang mereka sediakan. Laman web mereka juga akan kelihatan statik kerana ia tidak dapat dikemaskini dengan kata-kata kunci yang strategik. Yang ada hanyalah berita dan pengumuman terkini. Tiada siapa yang akan mencari dan membaca berita dan pengumuman kerana ia tidak ada kena mengena langsung dengan pengunjung yang datang.

Dengan blog, ia akan menggalakkan pengunjung yang datang ke laman web untuk berada lebih lama di dalamnya. Dengan kata lain, mereka tidak akan keluar dari laman web anda dengan terlalu cepat. Laman web sebenarnya boleh diibaratkan sebagai kedai. Jika seseorang itu masuk ke kedai kita dan berada lama di dalamnya, hampir pasti pengunjung itu akan membeli sesuatu.

Sama seperti kita pergi melepak di IKEA contohnya. Sedar-sedar sahaja sudah tiga jam. Apa yang kita buat? Kita makan bebola daging, solat di surau, kemudian makan lagi, diam-diam masukkan pensel pendek dengan pembaris kertas IKEA ke dalam poket dan membeli beberapa barang kecil. Kalau disemak kembali, hampir RM100 lebih juga akan habis dengan benda-benda kecil ini. Situasi yang sama juga boleh anda gunakan untuk laman web.


Apakah itu blog?

Blog bermaksud penulisan artikel. Blogger atau penulis blog pula ialah penulis artikel. Laman blog bermakna keseluruhan atau sebahagian laman web yang ada disediakan khas untuk meletakkan paparan artikel-artikel yang ditulis.

Sebagai seorang pemasar digital profesional, saya ingin menggesa anda untuk terus aktif menulis blog yang menarik dengan konsisten dan meletakkannya ke dalam laman web anda. Kemudian kongsikan blog-blog ini di media sosial.


Disiplin penting. Dengan disiplin, strategi pengoptimuman enjin pencarian atau SEO anda akan berjaya dengan gemilang sekali. Disiplin juga akan membuatkan blog-blog anda kaya dengan kata-kata kunci yang strategik, yang berkaitan dengan industri, produk atau perkhidmatan yang anda sediakan. Kata-kata kunci ini yang pendek dan ada yang panjang ini akan dinilai dan diindeks oleh Google secara senyap.

Betul, algoritma Google cuma akan datang dan indeks kata-kata kunci hanya apabila satu-satu laman web itu mempunyai kandungan yang terbaharu. Dengan penulisan blog yang konsisten, algoritma Google akan datang berkunjung. Kalau anda menulis pada hari Isnin dan terbitkan blog anda pada hari Isnin juga, algoritma Google akan datang pada hari yang sama. Dengan indeks, kedudukan ranking laman web anda akan semakin naik dan lama-kelamaan ia akan berada pada mukasurat pertama.

Terdapat beberapa langkah yang perlu anda tahu bagi memastikan blog anda akan diindeks dengan baik dan diletakkan pada kedudukan ranking yang tinggi.

Empat langkah utama

1. Penulisan tajuk 
Ia tidak boleh terlalu pendek atau terlalu panjang. Penulisan tajuk harus ditulis dengan kepanjangan yang sederhana yang betul-betul menerangkan tentang kandungan blog yang ditulis. Sebelum menulis tajuk yang ada dalam fikiran anda, saya nasihatkan anda untuk menulis dahulu tajuk tersebut pada kotak pencarian Google dan kemudian tekan butang Search.

Google akan menyenaraikan beberapa tajuk yang hampir sama dengan tajuk anda, yang telah mempunyai kedudukan ranking yang cukup tinggi. Saya cadangkan untuk anda memilih mana-mana tajuk yang tersenarai pada mukasurat pertama itu sebagai tajuk blog anda. Dengan cara ini, tidak sampai sebulan anda akan lihat blog anda akan turut berada pada mukasurat pertama juga.

Kalau anda berkeras ingin menggunakan tajuk yang berada dalam fikiran anda itu sebagai tajuk blog anda juga, berkemungkinan besar blog anda akan mengambil masa yang jauh lebih lama untuk berada pada mukasurat pertama di Google. Ia tidak akan dijumpai oleh sesiapa pun pada peringkat awal.


2. Cara penulisan blog
Ia perlu ditulis dengan perkataan yang mudah, ayat yang jelas dan bahasa yang senang difahami. Tatabahasa juga secara keseluruhannya perlu betul. Strukturnya perlu sistematik. Setiap blog mesti dimulakan dengan pengenalan, diikuti dengan isi kandungan dan diakhiri dengan penutup yang baik.

Setiap perenggan pula perlu teratur yang diolah dalam bentuk penceritaan yang mudah dibaca. Konteks penulisan juga penting. Penulisan anda perlu menjawab permasalahan pembaca dengan terperinci. Blog yang ditulis itu tidak boleh terlalu umum.

Sekiranya anda boleh memastikan setiap kriteria ini ada dalam setiap penulisan anda, hampir pasti pembaca akan lebih ramai datang untuk membaca. Ada juga yang akan menjadikan blog anda sebagai rujukan pada laman-laman blog mereka melalui pautan-pautan.

3. P
enulisan yang baik akan menarik penulis-penulis blog lain dan juga para penggiat media sosial untuk meletakkan pautan blog anda pada aset-aset digital mereka.

Aset-aset digital di sini bermakna laman web yang mereka miliki, rangkaian media sosial dan juga artikel-artikel yang mereka tulis. Kalau anda hendak tahu, lebih banyak pautan yang mereka letakkan pada aset-aset digital mereka untuk datang ke laman blog dan artikel anda, algoritma Google akan lebih cepat bekerja dan memastikan kedudukan ranking anda mencanak naik dalam enjin pencariannya.


Bayangkan hampir setiap artikel anda sering menjadi rujukan oleh laman-laman web dan media sosial luar. Ini menunjukkan yang anda faham, tahu dan pakar tentang subjek yang ditulis.

Ini juga menunjukkan yang anda seorang individu yang unik dan sukar ditemui. Ini secara automatik menjadikan jenama anda dilihat sebagai autoriti penting dalam industri dan subjek anda, yang berbeza dengan pesaing yang ada walaupun mereka mempunyai produk dan perkhidmatan yang sama.

Jadi, penulisan anda harus berkualiti agar bukan sahaja pembaca terdekat sahaja yang akan bermanfaat darinya, Google juga akan memastikan lebih ramai lagi pembaca jauh juga akan mendapat manfaat yang sama melalui ranking yang mereka akan berikan kepada anda.

4. B
erapa panjang setiap blog itu harus ditulis?
Jawapannya, ia tidak boleh terlalu pendek. Sebaik-baiknya, blog anda perlu mempunyai kepanjangan minimum sebanyak 800 perkataan atau boleh dibaca sehingga habis dalam masa empat minit.

Kepanjangan yang terbaik menurut beberapa pakar ialah 2,000 hingga 3,000 tetapi secara peribadi, saya tidak gemar untuk menulis terlalu panjang kerana kebanyakan pembaca saya tidak suka membaca sesuatu yang terlalu panjang.

Ramai pembaca yang membuat saranan kepada saya agar penulisan saya tidak melebihi 7 minit atau tidak melebihi 1,500 perkataan. Mereka mahu sentiasa peka dengan apa yang dibaca. Kata mereka, kalau terlalu panjang mereka akan cepat bosan dan sudah tidak dapat fokus lagi dengan pembacaan.


Anda tidak mampu menulis?
 

aaa


Mahu tidak mahu, anda atau pasukan anda perlu menulis blog. Sekiranya anda inginkan jenama anda dijumpai di Google dan mempunyai ranking yang tinggi di Google, anda tidak boleh tidak, mesti menulis.

Jika keseluruhan ahli pasukan anda tidak boleh, tidak mampu atau terlalu sibuk untuk menulis, anda perlu cepat-cepat membuat penyumberan luar atau outsourcing. Keluarkan sedikit pelaburan, ia tidak akan rugi. Di luar sana, terdapat beberapa freelancer, penulis blog separuh masa dan juga agensi-agensi pemasaran digital yang menyediakan perkhidmatan penulisan blog yang berkualiti tinggi dan tidak terlalu mahal.


Melalui blog yang wujud dalam laman web anda, dengan mudah jenama anda akan dijumpai di internet. Sudah tiba masanya anda tinggalkan para pesaing yang ada dengan labu-labu mereka.

 

AZLEEN ABDUL RAHIM adalah seorang strategis pemasaran digital yang aktif menulis di pelbagai platform media sosial dan kini adalah kolumnis DagangNews menerusi IDEA DIGITAL setiap Sabtu.

 

 

 

 

Portfolio Tags