Berguru dalam mendakap ilmu | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 21 May 2024 07:00 AM

BERGURU DALAM MENDAKAP ILMU

 

 

SEMPENA Hari Guru minggu lepas, penulis ingin menulis sedikit tentang kepentingan belajar dengan berguru. Ini adalah kerana ada dalam kalangan kita yang suka membaca dan mendapatkan petikan-petikan serta ulasan-ulasan dari media sosial dan menyebarkan ilmu yang didapati itu tanpa menyelidik asal-usul kenapa dan bagaimana.

 

Penulis difahamkan banyak ulama besar Islam yang menekankan pentingnya berguru.

 

Sebagai contoh, Imam Syafi'i pernah menyatakan, "Sesiapa yang belajar tanpa guru, maka syaitan adalah gurunya," atau kata-kata yang membawa maksud serupa.

 

Belajar tanpa bimbingan guru dikuatiri akan menyebabkan kesalahan pemahaman ilmu yang dipelajari pelajar tersebut.

 

Dalam konteks keagamaan atau spiritual, hal ini dapat menyebabkan si pelajar akan menyimpang dari ajaran yang benar.

 

"Syaitan" dalam kata-kata Imam Syafi’i ini melambangkan godaan atau bisikan yang menyesatkan, yang akan membuat seseorang tersesat dari landasan ilmu yang sebenar sekiranya belajar tanpa bimbingan yang benar dari seorang guru.

 

 

iktisad
Sheikh Nizam Yaquby adalah ulama besar dunia dalam kewangan Islam

 

 

Di samping itu, penulis juga diberitahu, dalam peradaban menuntut ilmu, banyak petikan dari kitab-kitab klasik mengenai adab menuntut ilmu seperti "Tadhkirat as-Sami' wal-Mutakallim" oleh Ibn Jama'ah dan "Ta'lim al-Muta'allim" oleh Imam az-Zarnuji, yang boleh dirujuk kenana kitab-kitab klasik ini mampu memberikan peringatan tentang pentingnya berguru untuk memastikan kesahihan ilmu.

 

Pernyataan dari Imam Syafi’i - "Sesiapa yang belajar ilmu tanpa berguru maka syaitan adalah gurunya" adalah peringatan yang menekankan pentingnya berguru atau mendapatkan bimbingan dari seseorang yang berpengetahuan dalam sesuatu bidang ilmu.

 

Dalam ilmu kewangan Islam, contohnya, segala hukum hakam dan cara mengamalkan muamalat kewangan Islam seperlunya dirujuk kepada yang pakar dan yang mempunyai wibawa kuasa.

 

Ini adalah kerana jika pengamalan aturcara kewangan Islam diamal mengikut teori tersendiri atau tanpa guru, maka risiko pengamalan urus niaga akan sesat dari kehendak Syariah yang sebenar.

 

 

hikayat
Mahaguru-mahaguru Kewangan Islam Malaysia

 

 

Guru memiliki pengetahuan dan pengalaman yang lebih luas serta mendalam. Mereka dapat membantu murid memahami konsep yang kompleks dan memberikan perspektif yang lebih baik, yang mungkin tidak dapat ditemui hanya dari belajar sendiri.

 

Pemilihan guru juga sangat penting dalam pembelajaran agar pengamalan kewangan Islam selari dengan fatwa-fatwa muamalat dan undang-undang negara sedia ada.

 

Kesesatan pengamalan dari guru-guru yang tidak berilmu akan menyebabkan pertambahan dosa kita dengan Allah, lebih-lebih lagi ilmu yang sesat itu disesatkan kepada orang lain.

 

Oleh yang demikian, penulis merasakan ilmu yang dipelajari tanpa bimbingan guru boleh membawa kepada salah faham dan penafsiran yang salah dan ia akan menyesatkan seseorang.

 

Seorang guru yang berpengalaman dapat membimbing pelajar melalui pemahaman yang betul, mengelakkan kekeliruan dan kesilapan untuk mengelakkan kesesatan.

 

Sebenarnya peranan guru bukan sahaja untuk menyebar ilmu. Malah peranan guru dikaitkan juga dalam pembentukan akhlak pelajar. Guru bukan sahaja mengajar ilmu tetapi juga membimbing pelajar dalam aspek akhlak dan adab.

 

Pembelajaran tanpa bimbingan guru mungkin kurang dalam aspek pembentukan sahsiah dan etika.

 

Belajar dengan guru tidak hanya memberikan pengetahuan, tetapi juga pembinaan karakter dan akhlak. Guru berperan dalam menanamkan nilai-nilai moral dan etika kepada murid, yang mungkin terlewat jika belajar sendirian.

 

Apa yang ditakuti adalah sekiranya seorang itu belajar tanpa guru, ia boleh menyebabkan beliau menyebarkan ilmu yang tidak sahih. Ini boleh membawa mudarat kepada masyarakat kerana ilmu yang salah atau tidak tepat boleh memberi kesan negatif.

 

Tradisi keilmuan yang dipelajari penulis, adalah, dalam tradisi Islam, rantai keilmuan (sanad) sangat penting. Ilmu disampaikan melalui rangkaian guru-guru yang sahih yang memastikan ketulenan dan ketepatan ilmu tersebut. Ia diumpamakan seperti ketulenan hadis-hadis sahih yang mementingkan sanad ini.

 

 

iktisad
Para pensyarah a.k.a guru-guru yang komited dari UTM

 

 

Oleh itu, pernyataan Imam Syafi’i ini menekankan bahawa berguru adalah satu cara untuk memastikan ilmu yang dipelajari adalah sahih, tepat dan bermanfaat. Berguru juga membantu mengelakkan daripada terpengaruh dengan ajaran yang menyeleweng atau tidak berlandaskan kebenaran.

 

Ada sebilangan pengkritik menyatakan pernyataan itu tidak kuat kerana ia tidak disebut dalam Al-Quran atau hadis.

 

Walaupun mencari sumber asli atau asal usul peribahasa ini boleh menjadi sedikit mencabar kerana ia lebih kepada nasihat atau kata-kata hikmah yang disampaikan secara lisan namun peribahasa ini juga sering disebut dalam kalangan masyarakat Melayu dan dunia Islam untuk menekankan pentingnya berguru atau mendapatkan bimbingan dalam menuntut ilmu.

 

Walaupun peribahasa ini sering digunakan, sehingga kini penulis masih gagal menemuinya dalam kitab-kitab hadis sahih atau dalam al-Quran, pada penulis, ia lebih merupakan satu ungkapan kebijaksanaan tradisional yang menekankan bahaya belajar secara bersendirian tanpa bimbingan yang betul.

 

Kesimpulannya, dalam Islam, menuntut ilmu dengan bimbingan guru adalah sangat penting. Tradisi pengajaran dalam Islam menekankan hubungan murid dan guru melalui sanad (rantai sebaran ilmu yang sah).

 

 

iktisad
Guru Utama Kewangan Islam Negara, Prof. Dr. Ashraf Md. Hashim & Rustam Mohd Idris

 

 

Oleh itu, walaupun peribahasa ini mungkin tidak mempunyai satu sumber yang dapat dipastikan, ia berakar umbi dalam tradisi dan nasihat ulama mengenai cara yang betul dalam menuntut ilmu.

 

Namun penulis sangat-sangat menekankan agar seseorang itu wajib belajar ilmu dengan berguru. Tanpa guru, ilmu yang kita pelajari tidak sahih. Syaitan akan jadi guru!

 

Selamat Hari Guru untuk semua guru-guru. - DagangNews.com

 

Dr Razli Ramli adalah Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) UTM dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di UIAM

utm

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IKTISAD

 

dagangnews