Dolar Amerika Syarikat kian kehilangan kawan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 02 May 2023 07:00 AM

DOLAR AMERIKA SYARIKAT KIAN KEHILANGAN KAWAN

 

 

PENULIS ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan salam Aidilfitri kepada seluruh pembaca dagangnews.com terutamanya pembaca tegar kolum Iktisad ini.

 

Semoga Aidilfitri kali ini membawa 1,000 harapan bersama bersemangat untuk membina kesejahteraan Malaysia tercinta ini.

 

Cadangan Malaysia untuk menubuhkan Tabung Kewangan Asia (Tabung) mendapat sokongan dari China.

 

Jepun lebih dulu cetuskan idea AMF

Tabung Kewangan Asia pertamanya adalah idea yang dikemukakan oleh kerajaan Jepun semasa krisis kewangan Asia 1997 pada mesyuarat G7-IMF di Hong Kong pada 20–25 September 1997 yang tidak pernah dilaksanakan.

 

Ia tidak berjaya dilancar atas faktor tentangan yang kuat dari AS dan tidak mendapat sokongan dari China (idea yang DOA - dead on arrival).

 

Idea penubuhan Tabung ini adalah disebabkan syarat dan terma yang dilihat tidak adil yang dilaksana oleh International Monetary Fund (IMF).


 

 

tnb

 

 

Diasaskan pada persidangan Bretton Woods pada tahun 1944 pada akhir Perang Dunia II, IMF dan Kumpulan Bank Dunia adalah dua institusi pusat yang menyokong dominasi AS dalam sistem kewangan global.

 

Bank Dunia berfungsi melalui kerjasama dengan negara membangun untuk mengurangkan kemiskinan dan meningkatkan kemakmuran bersama, manakala IMF pula memainkan peranan untuk menstabilkan sistem monetari antarabangsa dan bertindak sebagai "pemantau mata wang dunia".

 

Bagaimanapun, fungsi IMF kian dan Bank Dunia dilihat sebagai institusi yang beroperasi atas arahan AS yang berusaha mengekalkan kedudukan hegemoni mereka sebagai kuasa besar tunggal dunia, dari segi ketenteraan dan kewangan melalui dolar Amerika (USD).

 

Kegelisahan yang semakin meningkat di seluruh dunia bertambah apabila AS telah menyalahgunakan kedudukan utamanya dengan mengenakan sekatan unilateral terhadap Rusia, China, Iran dan Venezuela, terutama tindakan AS merampas rizab mata wang asing Rusia susulan perang Rusia-Ukraine awal tahun lalu.

 

Beberapa ahli ekonomi, seperti Jeffrey Sachs, mengkritik IMF kerana membuat diagnosis yang salah dan membuat tindakan salah kepada negara Asia yang terkesan dengan krisis kewangan.

 

Banyak negara Asia ketika itu berpendapat bahawa pakej keselamatan kewangan IMF sesuai untuk mereka. Namun mereka tidak sedar yang pakej keselamatan kewangan IMF adalah untuk remedy negara yang masalahnya disebabkan oleh hutang di sektor awam dan juga lebihan perbelanjaan fiskal kerajaan.

 

Masalah negara Asia pada krisis kewangan tahun 1998, sebaliknya, berpunca daripada sektor swasta dan bukan isu hutang sektor awam mahupun berkaitan dengan dasar fiskal.

 

 

imf
Gambar Presiden Soeharto menandatangani pakej bantuan IMF pada 1998 sambil disaksikan oleh Pengarah Urusan IMF, Michel Camdessus berpeluk tubuh menjadi peringatan kepada dunia mengenai keangkuhan IMF.

 

 

Oleh yang demikian langkah-langkah IMF, seperti pemotongan perbelanjaan awam serta pengawalan kredit yang ketat, adalah langkah yang salah bagi ekonomi Asia. Mana-mana negara yang mengaplikasi pakej IMF ini telah jatuh ke dalam kemelesetan yang lebih mendalam.

 

Namun, kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir ketika itu memutuskan untuk tidak meminjam wang daripada IMF. Sebaliknya, kerajaan mengenakan kawalan modal dalam untuk mengatasi masalah kewangan yang disebabkan oleh "kesan penularan" Asia krisis ekonomi.

 

Ketika itulah Tun Dr Mahathir telah menyarankan penubuhan Tabung ini yang bertujuan untuk menggantikan USD dengan mata wang yang lain dan juga mengurangkan kebergantungan kepada International Monetary Fund. Dalam kata lain, mencari alternatif lain dari bergantung harap dengan IMF.

 

Sekarang idea penubuhan Tabung ini diberi nafas baharu dalam situasi perkembangan ekonomi yang berbeza kini terutama dengan sokongan daripada Kerajaan China.

 

China dilihat mahu memberikan cabaran kepada AS dengan tidak segan untuk mengumumkan Yuan sebagai senjata mereka untuk diberi pilihan kepada negara di Asia sebagai alternatif kepada USD.

 

Penyelidik berpendapat bahawa menggantikan UDS dengan Yuan tidak akan mudah kerana sudah tentu AS akan merancang dan mengambil tindakan mitigasi yang radikal untuk menghalang ianya daripada berlaku.

 

Walau bagaimanapun, data dan statistik menunjukkan bukti bahawa rizab Yuan semakin meningkat di negara-negara yang mempunyai hubungan perdagangan yang lebih akrab dengan China. Pengaruh yang semakin meningkat ini boleh menjadikan yuan sebagai alternatif kepada USD.

 

Peperangan Rusia-Ukrain sebenarnya telah menyumbang kepada permintaan Yuan. Di Russia sekarang Yuan dengan rancak telah digunakan menggantikan USD. Yuan adalah mata wang yang paling banyak didagangkan di Russia sekarang. Sehubungan dengan itu kini, kebanyakan aset kewangan Russia adalah dalam Yuan.

 

 

ninot aziz

 

 

Sebanyak 60 peratus daripada dana Russian National Wealth Fund dalam mata wang China - Yuan.  Dana ini ialah dana kekayaan negara Rusia yang ditubuhkan untuk menyokong sistem pencen awam negara dan untuk menyokong kewangan kerajaan dalam mengimbangi belanjawannya apabila diperlukan.

 

Pelaburan dana tidak didedahkan. Hasil pembacaan penulis, dana itu terdiri daripada sehingga 60 peratus yuan dan tidak lebih daripada 40 peratus emas.

 

Malah Bank of Russia (Bank Negara Russia) sudah mempromosi seluruh syarikat di Russia untuk menukar USD kepada mana-mana matawang yang lebih friendly seperti Yuan.

 

USD nampaknya akan kehilangan kawan dalam kalangan neraga Asia. – DagangNews.com

 

 


Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
utm

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IKTISAD