Ekonomi Madani: Penerapan konsep takaful dalam sistem insurans pekerjaan Perkeso | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 01 Aug 2023 07:00 AM

EKONOMI MADANI: PENERAPAN KONSEP TAKAFUL DALAM SISTEM INSURANS PEKERJAAN PERKESO

 

 

 

PENULIS membaca Teks Ucapan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengenai Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat. Antara perkara daripada 113 perkara yang ditulis adalah perkara 71 hingga 73 yang berkaitan dengan Program Perlindungan Sosial.

 

Sepertimana yang diketahui agenda keselamatan sosial sentiasa menjadi fokus utama negara. Dalam usaha membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan, pihak kerajaan telah pun melaksanakan sepenuhnya Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) berkuatkuasa pada 1 Januari 2019. Kerajaan telah memperkenalkan SIP yang diwartakan di dalam Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 ini pada tahun 2018.

 

Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) telah mula diperkenalkan oleh pihak kerajaan Malaysia pada awal tahun 2018 berdasarkan Rang Undang-Undang Sistem Insurans Pekerjaan 2017.

 

Akta SIP 2017 tersebut telah diperuntukkan bagi melindungi para pekerja melalui SIP yang ditadbir oleh Perkeso dengan menyediakan faedah-faedah tertentu beserta program penempatan pekerjaan semula kepada pekerja yang diinsurans sekiranya mereka kehilangan pekerjaan.


 

parafrasa

 


Inisiatif ini dapat menggalakkan dasar pasaran buruh yang aktif dan merangsang pertumbuhan ekonomi negara. Akta ini diperuntukkan kepada semua majikan yang mempunyai seorang pekerja atau lebih.

 

Inisiatif yang ditadbir oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ini meliputi program penempatan semula pekerjaan, peningkatan kemahiran dan bayaran pampasan kehilangan pekerjaan. Hingga sekarang, sistem perlindungan yang disediakan melalui caruman berkanun SIP ini hanya dilindungi oleh sistem insurans konvensional sahaja.

 

Dalam pasaran kewangan negara, sistem perlindungan kebiasaannya akan dikendali oleh sistem insurans dan juga sistem takaful yang berasas kepada kehendak Syariah.

 

Oleh kerana rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama, maka peluang untuk memilih sistem perlindungan melalui sistem insurans atau sistem takaful perlulah diberikan kepada para pencarum dan majikan, terutamanya kepada kepada mereka beragama Islam.


 

parafrasa

 


Penulis mencadangkan agar pindaan terhadap Akta SIP 2017 dengan memasukkan peruntukan klausa yang memberi kuasa untuk perlaksanaan konsep takaful dalam SIP tanpa kekangan dari segi undang-undang.

 

Konsep takaful bertepatan dengan objektif Syariah (Maqasid Syariah) di mana para pekerja yang hilang pekerjaan akan diberikan bantuan kewangan segera yang halal dan toyyib bagi menampung kehidupan sementara mereka mencari pekerjaan baharu.

 

Ia juga adalah pemangkin imej Malaysia sebagai hab kewangan Islam dalam perlindungan para pekerja yang kehilangan pekerjaan yang secara langsung dilihat sebagai tindakan yang syumul bagi melengkapi ekosistem ekonomi Islam di Malaysia.

 

Antara perbincangan yang dibuat antara pakar ekonomi dan pakar syariah adalah cadangan satu klausa untuk diserapkan ke dalam Akta SIP 2017 yang memberikan punca kuasa kepada Perkeso mengaplikasi konsep takaful untuk SIP.


 

parafrasa

 


Oleh yang demikian, kajian khusus untuk mengkaji ciri-ciri SIP semasa yang ditadbir oleh Perkeso serta menganalisis pandangan pakar undang-undang, cendikiawan Islam dan pakar ekonomi berkaitan penerapan konsep takaful dalam SIP perlu dilaksana sesegera mungkin. Hasil kajian diharap dapat menghasilkan punca kuasa dalam SIP yang membolehkan konsep takaful dapat dilaksana seiring dengan perlindungan insurans yang sedia ada.

 

Kemadanian yang cuba diterap PM tidak lengkap sekiranya sistem perlindungan sebegini masih tidak bisa diterap dengan konsep takaful.

 

Sampai bila, sistem perlindungan yang disediakan melalui caruman berkanun SIP ini hanya dilindungi oleh sistem insurans konvensional sahaja tanpa konsep takaful?

 

Perkara sensitif sebegini menimbulkan ketidakseimbangan dalam tawaran perlindungan kepada rakyat Malaysia yang mahukan perlindungan yang diberikan patuh Syariah. Penyerapan konsep takaful ke dalam SIP adalah kritikal untuk mengelak daripada tuduhan adanya unsur diskriminasi kepada produk kewangan Islam untuk rakyat yang beragama Islam.

 

Penulis percaya jika Kumpulan Wang Simpanan Pekerja mampu meminda Akta KWSP 1991 melalui Seksyen 43A, untuk memperkenalkan Akaun Simpanan Syariah KWSP sebagai pilihan kepada rakyat Malaysia, kenapa tidak kepada Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017?

 

Pindaan Seksyen 43A tersebut membolehkan satu Jawatankuasa Penasihat Syariah ditubuhkan berdasarkan Seksyen 23A, Akta KWSP 1991 bagi memantau aktiviti pelaburan akaun simpanan Syariah sentiasa dilaburkan di dalam instrumen patuh Syariah.

 

Malah, Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 juga membenarkan institusi dan pengendali sistem kewangan konvensional menjalankan perniagaan dan menawarkan perkhidmatan patuh Syariah.


 

parafrasa

 


Tuntasnya, sejarah panjang dalam membina kewangan Islam yang dimiliki oleh Malaysia telah menjadikan sebuah negara kecil ini sebagai antara rujukan utama bagi dunia.

 

Penerapan konsep takaful ke dalam SIP ini juga nanti diharap dapat dijadikan sebagai satu lagi agenda utama negara dalam memperkukuhkan hasrat untuk melengkapkan ekosistem sektor kewangan Islam dan meletakkan Malaysia sebagai hab kewangan Islam global.

 

Malah, institusi-institusi dalam sektor kewangan Islam juga seharusnya mencarum dalam takaful. Dalam industri kewangan contohnya, sehingga kini, terdapat 22 institusi perbankan Islam daripada 48 bank di Malaysia dan 15 syarikat pengendali takaful yang berkemungkinan besar bakal memilih untuk mencarum di dalam konsep takaful dalam SIP ini jika ia menjadi kenyataan.

 

Pelaksanaan konsep takaful ke dalam SIP akan memberi manfaat sosio-ekonomi yang penting kepada perniagaan, masyarakat dan negara. Melalui polisi fiskal ini, Kerajaan juga mampu mengawal kestabilan ekonomi sekiranya berlaku kemerosotan dan pengurangan kos skim bantuan rakyat.

 

Selain dari itu, ia dapat mewujudkan keharmonian sosial dalam masyarakat menerusi pengurangan kadar protes, keganasan dan jenayah.

 

Penulis menyeru agar pindaan terhadap Akta SIP 2017 dengan memasukkan peruntukan klausa yang memberi kuasa untuk pelaksanaan konsep takaful dalam SIP tanpa kekangan dari segi undang-undang dilaksana segera. Baru boleh capai Ekonomi Madani demi memperkasakan rakyat. - DagangNews.com

 

 


Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
utm

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IKTISAD

 

parafrasa