KEDUDUKAN PASARAN WANG ISLAM DI MALAYSIA DAN IMPAKNYA KEPADA SISTEM PERBANKAN
PERSOALAN mengenai pasaran wang Islam ini telah dibangkitkan salah seorang peserta dari Uzbekistan ketika penulis mengendalikan Program Sijil Perbankan dan Kewangan Islam anjuran Universiti Utara Malaysia, pada 19 Januari lalu di Pulau Pinang.
Secara dasarnya, Malaysia mempunyai industri perbankan Islam yang lengkap dengan pasaran wang antara bank Islam juga kukuh.
Bank Negara Malaysia (BNM) telah menubuhkan pasaran wang Islam pada 1994 untuk memenuhi keperluan Bank Islam (Malaysia) Berhad dengan menguruskan dana lebihan dan defisitnya dalam pelaburan jangka pendek.
Pelaburan Antara Bank Mudarabah (MII) merupakan instrumen pertama yang diperkenalkan. Bilangan instrumen yang dibangunkan meningkat dari tahun ke tahun untuk memasukkan satu atau beberapa kontrak Islam daripada mudarabah (perkongsian untung), murabahah (kos mark-up), bay' bithaman ajil (jualan bayaran tertunda), bay' al-dayn (penjualan hutang), dan bay' a-inah (jual beli untuk tunai).
Semasa bengkel sehari bersama dengan para peserta dari The Banking and Finance Academy Republic of Uzbekistan itu, mereka mahu mengetahui dengan lebih mendalam mengenai pasaran wang Islam.
Ini adalah jawapan penulis kepada persoalan mereka bagi mengulas isu berkenaan pasaran wang Islam, instrumen dan kontrak Islam yang digunakan dalam penjualan dan pembelian sekuriti dalam pasaran wang antara bank primer dan sekunder.
Pasaran wang di mana instrumen jangka sederhana dan instrumen jangka pendek yang didagangkan adalah berbeza daripada pasaran hutang dan modal. Ini kerana pasaran hutang dan modal berurusan dengan pelaburan jangka panjang.
Sejak tertubuhnya pasaran wang Islam, peningkatan dalam bilangan instrumen pasaran wang dalam pasaran wang Islam bertambah.
Namun, pertambahan ini telah meningkatkan pendedahan bank Islam kepada pelbagai risiko seperti risiko kredit, operasi, keuntungan dan kecairan.
Pasaran wang Islam ditubuhkan untuk mengelakkan faedah (riba), ketidakpastian (gharar), perjudian (maysir) seperti yang dituntut syariah.
Antara beberapa instrumen yang terdapat di dalam pasaran wang Islam ini adalah seperti Pelaburan Antara Bank Mudarabah (MII), Perjanjian Jual Beli Balik (SBBA), Bil Diterima Islam (AB-i) dan Isu Pelaburan Kerajaan.
Kewujudan pasaran kewangan membolehkan pembeli dan penjual disatukan untuk membantu mereka memindahkan pemilikan instrumen kewangan daripada satu tangan ke tangan yang lain.
Berdasarkan sifat instrumennya, pasaran kewangan ini boleh dibahagikan kepada pasaran wang dan pasaran modal.
Pada asasnya, pasaran modal dan pasaran wang adalah berbeza dari segi kecairan sekuriti atau instrumen, di mana instrumen dalam pasaran modal biasanya kurang kecairan daripada instrumen dalam pasaran wang.
Sekuriti dalam pasaran wang adalah instrumen jangka pendek dengan tempoh matang asal kurang daripada setahun, berisiko rendah dan sangat cair.
Instrumen dalam pasaran wang biasanya memberikan pulangan rendah kerana instrumen tersebut berisiko rendah dan mempunyai ciri pembubaran yang tinggi kerana kebanyakannya matang dalam masa kurang daripada 120 hari.
Kebanyakan urus niaga dalam pasaran wang adalah dalam jumlah yang besar, justeru, ia menghalang pelabur individu untuk campur tangan.
Pasaran wang biasanya mempunyai pasaran sekunder yang aktif. Instrumen dalam pasaran wang adalah berbeza dari segi kadar dan kecairannya.
Disebabkan aktiviti penawaran pembiayaan kepada pelanggan bank yang banyak, bank mungkin mengalami defisit dalam deposit.
Oleh itu, untuk memenuhi polisi mereka perlu mendapatkan kemudahan kredit untuk dana daripada perniagaan atau mana-mana institusi kewangan (pembiaya) yang mempunyai lebihan wang tunai, pasaran wang Islam ini adalah diperlukan.
Pembiaya dalam pasaran wang biasanya tidak menyasarkan pulangan yang tinggi ke atas dana pasaran wang.
Mereka sebenarnya tidak mahu memegang lebihan tunai terbiar kerana wang tunai sahaja tidak boleh memperoleh pendapatan - tunai terbiar ialah kos peluang (opportunity cost) dari segi pendapatan yang hilang (dividen).
Bagaimanapun, mereka tidak mahu melabur dalam pasaran modal kerana mungkin dalam masa yang singkat mereka perlu menggunakan dana tersebut dan sukar jika mereka mencairkan dalam pasaran modal.
Sebenarnya, pasaran wang amat bergantung kepada broker dan peniaga kerana mereka memainkan peranan dalam memasarkan isu baharu instrumen pasaran wang dan juga dalam menyediakan pasaran sekunder.
Bahkan, mereka juga bertindak sebagai perantara antara peserta lain dalam pasaran kerana mereka menghubungkan pembiaya dan yang memerlukan pembiayaan dalam pasaran.
Dalam menjawab soalan para perserta Uzbekistan ini, penulis memberitahu bahawa Pasaran Wang Antara Bank Islam (IIMM) telah diperkenalkan pada 3 Januari 1994 sebagai perantara jangka pendek untuk menyediakan sumber pelaburan jangka pendek berdasarkan prinsip syariah.
Melalui IIMM, bank Islam dan bank yang mengambil bahagian dalam Skim Perbankan Islam (SPI) akan dapat memadankan keperluan pembiayaan mereka dengan berkesan dan cekap.
BNM mengeluarkan Garis Panduan mengenai IIMM pada 18 Disember 1993 untuk memudahkan pelaksanaan IIMM yang betul. - DagangNews.com
Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia