MEMAHAMI AKTIVITI MUAMALAT MUDAHKAN URUSAN KEWANGAN
DALAM kewangan Islam, perkataan yang sering kita dengar ialah muamalat. Sejauh mana kefahaman tentang muamalat sebenarnya akan memudahkan kita menjalankan urusan kewangan.
Hasil pembacaan penulis daripada buku-buku berkaitan kewangan Islam, terdapat beberapa takrif muamalat yang diberikan oleh ulama.
Secara khusus, muamalat bermaksud hukum syarak yang mengatur urusan manusia di dunia khususnya tentang pertukaran harta dan manfaat melalui perantaraan akad dan tanggungjawab.
Jika takrifan ibadah ialah urusan manusia dengan Allah, maka, muamalat pula ialah urusan manusia dengan manusia.
Dari persepsi sistem kewangan, muamalat adalah urusan komersial Islam. Muamalat sebenarnya memberi faedah yang besar kepada manusia, antaranya:
- Berhubung, bekerjasama dan bertukar-tukar keperluan
- Melahirkan perpaduan umat dan keamanan negara
- Menghindari penindasan, kezaliman dan penipuan
- Mewujudkan masyarakat yang berdikari dan tekun
- Membentuk manusia yang bertanggungjawab dalam membelanjakan harta pada jalan yang betul
Al-Qur’an dan Sunnah merupakan sumber utama syariah, justeru, sumber bagi muamalat juga adalah sama.
Tetapi, muamalat dibina atas prinsip dan kaedah umum yang tidak diperincikan. Ulama diberi kelonggaran untuk berijtihad (mengeluar satu-satu hukum, pandangan atau pendapat) dalam hal berkaitan muamalat terutama isu-isu semasa yang memerlukan kepada fatwa atau keputusan.
Seperkara yang perlu difahami dalam muamalat ialah tentang hukum. Menurut falsafah Islam, asal semua bentuk muamalat adalah harus kecuali terdapat dalil yang mengharamkannya.
Hukum asal dalam semua perkara urusan antara manusia dengan manusia adalah harus dilakukan kecuali terdapat yang menyatakannya sebagai haram seperti dinyatakan dalam kitab al-Ashbah wa’l-Naza’ir karangan Imam al-Suyuti.
Muamalat juga dibangunkan dengan mengambil kira ‘Illah (sebab hukum) dan maslahah (kesejahteraan dan kepentingan ummah).
Kebanyakan perkara dalam muamalat bukannya perkara yang ta’abbudiyah (tunduk dan patuh kepada perintah Allah tanpa mengambil kira ia rasional atau tidak), tetapi terbuka kepada logik dan rasional berdasarkan sebab musabab dan kemaslahatan.
Prinsip dalam muamalat
Dalam muamalat terdapat gabungan prinsip tetap dan prinsip fleksibel. Yang dimaksudkan dengan prinsip tetap ialah terdapat hukum-hukum yang tetap (qataé) dan tidak boleh dipinda atau diubah.
Sebagai contoh, keredaan dalam pembentukan kontrak merupakan prinsip tetap. Sekiranya dibuktikan tiada keredaan maka kontrak itu dikira terbatal.
Selain pengharaman terhadap riba, hukum penipuan, perjudian dan sebagainya adalah haram dan tidak akan berubah berdasarkan prinsip tetap.
Sementara itu, yang dimaksudkan dengan prinsip fleksibel adalah hukum-hukum yang boleh diijtihadkan (zanni).
Sebagai contoh, mata wang merupakan wasilah (perantaraan) bagi menilai barang, dahulunya diperbuat daripada emas dan perak, tetapi sekarang wang kertas digunakan.
Mata wang sekarang dianggap sebagai sah diniagakan walaupun bukan daripada emas dan perak.
Salah satu teori dalam muamalah ialah teori aqad/teori kontrak. Islam mengambil berat tentang kontrak (akad) kerana ia merupakan bukti kerelaan antara pihak yang terlibat.
Tanpa kontrak atau ikatan yang sah di antara kedua-belah pihak, transaksi dianggap tidak berlaku.
Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian...” (Surah al-Ma’idah: 1).
Istilah kontrak bermaksud suatu ikatan atau persetujuan antara pihak yang pertama dan kedua melalui penawaran dan penerimaan (ijab qabul) yang melahirkan kesan undang-undang dan hak pada kontrak berkenaan.
Jenis kontrak
Dalam muamalat termasuk urusan kewangan, terdapat banyak jenis kontrak. Antaranya kontrak jual beli dan kontrak usaha sama.
Kontrak memainkan peranan yang penting dalam segala urusan muamalat. Ini kerana dengan kontraklah kita dapat mengetahui sama ada urusan atau kegiatan yang kita lakukan itu sah atau sebaliknya.
Dengan kata lain, jika kontrak yang kita adakan memenuhi rukun dan syarat, maka kontrak tersebut dikategorikan sebagai kontrak yang sah manakala jika tidak memenuhi rukun dan syarat, maka kontrak tersebut dianggap sebagai tidak sah.
Kontrak juga melahirkan dan menjelaskan kerelaan di antara kedua-dua belah pihak serta bersedia menerima kesannya.
Dalam muamalat kontrak jual beli adalah merupakan satu kontrak yang paling lazim dan boleh dikatakan sebagai asas bagi kontrak yang lain.
Al-Qur’an telah menerangkan dan membenarkan kontrak jual beli berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “Dan Allah telah membenarkan jual beli.....” (Surah al-Baqarah: 275).
Sunnah Rasullullah SAW juga telah menekankan tentang kontrak jual beli melalui hadis yang diriwayatkan oleh al-Hakim yang melaporkan bahawa Rasulullah SAW telah ditanya oleh seorang sahabat berkenaan dengan kerjaya yang paling baik.
Rasulullah SAW bersabda: “Kerja yang dilakukan oleh seseorang dengan tangannya sendiri dan jual beli yang mabrur” (Hadis riwayat Imam Ahmad, al-Tabrani dan al-Hakim).
Berdasarkan kepada Al-Qur’an dan Sunnah, para ulama telah menetapkan bahawa kontrak jual beli adalah dibenarkan.
Melaksanakan kontrak
Kontrak usaha sama ialah kontrak antara dua orang atau lebih, di mana mereka bersetuju untuk melaksanakan sesuatu projek dengan tujuan untuk mengaut keuntungan.
Kontrak syarikat memerlukan kewujudan kedua-dua tawaran dan penerimaan, seperti yang berlaku dengan semua kontrak Islam.
Dalam muamalat terdapat lima jenis usaha sama iaitu Al-‘Inan (perkongsian sama bahagian), Al-Abdan (perkongsian dalam kemahiran, tenaga kerja mental atau fizikal sahaja, tanpa modal), Al-Mudarabah (dua rakan kongsi atau lebih), Al-Wujooh (muka) dan Al-Mufawadha (perundingan).
Satu lagi kontrak muamalat ialah Tabarru’ yang bermaksud menderma atau memberi hak milik secara percuma.
Dalam operasi takaful contohnya, setiap peserta yang ingin mendapatkan perlindungan takaful mestilah dengan niat yang ikhlas menyumbang (tabarru’) bahagian tertentu dari sumbangan atau caruman bagi membantu peserta-peserta lain yang menghadapi musibah.
Konsep tabarru’ adalah taáwun iaitu konsep tolong-menolong di mana peserta berniat menderma untuk membantu mana-mana peserta yang ditimpa musibah.
Pada masa sama, peserta juga berharap sekiranya beliau juga ditakdirkan menghadapi musibah serupa, maka tabungan tersebut juga akan membantu beliau untuk meringankan bebanan musibah menurut konsep yang sama. - DagangNews.com
Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS)
Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia