Pemahaman mudah apa itu perbankan Islam: Syariah, Muamalat, Maqasid al-Syariah | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 23 April 2024

PEMAHAMAN MUDAH APA ITU PERBANKAN ISLAM: SYARIAH, MUAMALAT DAN MAQASID AL-SYARIAH

 

 

 

 

PENULISAN minggu ini kita tumpukan kepada satu persoalan asas yang masih bermain di fikiran masyarakat terutamanya para Muslim dan Muslimat tentang perbankan Islam.

 

Apakah yang dimaksudkan dengan Islamic Banking atau Perbankan Islam? Soalan ini dijawab dengan pelbagai jawapan yang akhirnya telah mengelirukan masyarakat.

 

 

iktisad

 

 

Penulis mencadangkan agar jawapan kepada persoalan ini mudah dan padu untuk diseragamkan.

 

Perbankan Islam merupakan aktiviti-aktiviti perbankan seperti simpanan dan pembiayaan yang dilaksanakan oleh institusi kewangan, tidak kira sama ada institusi kewangan Islam ataupun institusi kewangan konvensional, aktiviti mereka menurut kehendak Syariah.

 

Persoalan seterusnya adalah, apakah makna Syariah?

 

 

iktisad

 

 

Secara ringkas Syariah adalah undang-undang Islam. Undang-undang Islam ini adalah undang-undang Allah yang diturunkan melalui Jibrail kepada Nabi Muhammad SAW. Syariah bersumber kepada Al-Quran, Sunnah, Ijma’ dan Qiyas.

 

Dalam erti kata lain, Perbankan Islam adalah satu aktiviti yang menurut Syariah di mana aktivitinya wajib menjauhi daripada larangan-larangan yang ditetapkan Syariah.

 

Antara larangan-larangan dalam aktiviti perbankan adalah tidak ada interes kerana interes itu adalah riba qard yang diharamkan Islam. Memberi pinjaman dengan mengenakan bayaran lebihan (tambahan) kepada jumlah pinjaman itu tidak dibenarkan. Lebihan itu adalah riba.

 

Larangan juga dituju kepada aktiviti atau perbuatan yang tidak pasti. Menjual barang kepada pembeli dengan barangan yang tidak pasti lagi boleh dipindahmilik atau dihantar kepada pembeli contohnya, adalah tidak dibenarkan kerana ia mempunyai unsur gharar fahish yang diharamkan Islam.

 

Unsur judi juga tidak dibenarkan Syariah. Unsur judi disebut sebagai maysir. Dalam perbankan Islam sekiranya timbul unsur zero sum game, maka ia adalah dilarang sama sekali.

 

Zero sum game adalah situasi dalam satu teori permainan di mana jumlah keuntungan dan kerugian semua pemain yang terlibat berjumlah sifar.

 

Dalam erti kata lain, apa sahaja yang diperoleh oleh seorang pemain, pemain lain (atau pemain) mesti akan kehilangan jumlah yang sama dengan jumlah yang diperolehi seorang pemain tadi.

 

Konsep ini sering digunakan dalam bidang ekonomi, politik dan lain-lain untuk menggambarkan situasi persaingan di mana keuntungan seorang peserta betul-betul seimbang dengan kerugian peserta lain.

 

Walaupun kedua-dua permainan maysir dan zero sum game melibatkan unsur-unsur ketidakpastian dan persaingan, ada pendapat yang mengatakan bahawa maysir dan zero sum game bukanlah konsep yang berkaitan secara langsung.

 

Maysir merujuk secara khusus kepada transaksi yang melibatkan perjudian atau permainan peluang, yang dilarang dalam kewangan Islam kerana potensinya untuk dieksploitasi dan kekurangan aktiviti ekonomi yang produktif.

 

Sebaliknya, zero sum game merujuk kepada situasi di mana keuntungan seorang peserta betul-betul seimbang dengan kerugian peserta lain, tanpa semestinya melibatkan perjudian atau peluang.

 

Ringkasnya, Maysir merujuk kepada larangan perjudian dalam kewangan Islam, manakala permainan sifar adalah konsep yang lebih luas daripada teori permainan yang menggambarkan situasi persaingan di mana keuntungan dan kerugian mengimbangi dalam kalangan peserta.

 

Penulis berpandangan zero sum game dan maysir adalah sama.

 

 

iktisad

 

 

Selain itu operasi institusi perbankan juga harus menepati kehendak Syariah di mana apa-apa sahaja aktiviti muamalat berkaitan dengan moral dan etika diambil kira. Perbankan Islam tidak boleh dikait dengan sektor judi, arak, porno, rokok, babi serta sektor-sektor yang berkaitan dengan memuja tuhan-tuhan lain selain Allah.

 

Dalam Syariah ada ibadat dan muamalat. Perbankan Islam dikaitkan dengan muamalat. Mualamat adalah undang-undang komersial aktiviti ekonomi dalam negara. Ia juga disebut sebagai Islamic commercial transactions atau transaksi-transaksi komersial Islam.

 

Mualamat adalah hubungan manusia sesama manusia. Ibadat adalah hubungan manusia sesama Allah.

 

 

iktisad

 

 

Secara keseluruhannya, muamalat bertujuan untuk menggalakkan keadilan, ketelusan, dan tanggungjawab sosial dalam transaksi ekonomi sambil berpegang kepada prinsip dan nilai Islam.

 

Ia menyediakan rangka kerja alternatif untuk aktiviti kewangan dan komersial yang berdasarkan pertimbangan etika dan prinsip keadilan dan kesaksamaan.

 

 

iktisad

 

 

Undang-undang Islam yang berkaitan dengan urusan transaksi dan perniagaan, adalah boleh dilakukan selagi mana tiada larangan khusus daripada Syariah atau fatwa yang mengharamkannya.

 

Prinsip ini dikenali sebagai "al-asl fi al-ashya' al-ibahah", yang bermaksud "asal sesuatu perkara adalah kebenaran (boleh dilakukan) sehinggalah ada bukti yang menunjukkan sebaliknya".

 

Dalam konteks hukum Islam, larangan atau haramnya suatu perbuatan atau transaksi boleh ditentukan melalui fatwa atau keputusan dari ulama, Majlis Penasihat Syariah dan ahli undang-undang Islam yang kompeten melalui proses ijtihad.

 

Jika tidak ada fatwa yang secara khusus mengharamkan suatu transaksi atau perbuatan dalam muamalat, maka transaksi tersebut dianggap sah dan dibolehkan dilakukan dalam Islam.

 

 

iktisad

 

 

Namun, walaupun suatu transaksi atau perbuatan tidak secara langsung diharamkan oleh undang-undang Islam, ia masih perlu mematuhi prinsip-prinsip asas dalam Islam seperti keadilan, kejujuran, dan etika perniagaan yang baik.

 

Oleh itu, dalam muamalat, selain daripada tidak ada fatwa yang mengharamkan, transaksi juga perlu mematuhi prinsip-prinsip etika dan moral dalam Islam.

 

Secara am, perbankan Islam beroperasi dalam rangka kerja Syariah, memastikan aktiviti perbankan mematuhi prinsip dan nilai Islam.

 

Muamalat merangkumi transaksi kewangan dan komersial yang dijalankan mengikut prinsip Islam, manakala maqasid al-Shariah merujuk kepada objektif perundangan Islam, yang memandu amalan kewangan dan perbankan Islam untuk menggalakkan kesejahteraan individu dan masyarakat.

 

Maqasid al-Shariah merujuk kepada objektif atau tujuan syariat Islam. Objektif ini termasuk pemeliharaan dan promosi nilai-nilai asas seperti iman, nyawa, akal, keturunan, dan harta.

 

Dalam konteks kewangan dan perbankan Islam, berpegang kepada maqasid al-Shariah memastikan aktiviti kewangan menyumbang kepada kesejahteraan dan kebajikan individu dan masyarakat di samping menegakkan prinsip dan nilai Islam.

 

Maqasid al-Shariah menyediakan rangka kerja untuk memahami tujuan dan niat yang lebih luas di sebalik ketetapan undang-undang Islam.

 

Objektif ini berfungsi sebagai prinsip panduan untuk memastikan ajaran Islam diterapkan dengan cara yang menggalakkan kebajikan manusia, keadilan dan tingkah laku beretika. - DagangNews.com

 

Dr Razli Ramli adalah Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) UTM dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di UIAM

utm

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IKTISAD

 

dagangnews

 

 

 

 

 

 

Portfolio Tags