Ilusi Langkasuka teras Kelantan Exchange 2021 | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 13 November 2021

ILUSI LANGKASUKA TERAS KELANTAN EXCHANGE 2021

 

 

Dari 11 hingga 13 November 2021, Pertubuhan Kraf Malaysia (MCC) menganjurkan Kelantan Exchange 2021 di Kota Bharu bertujuan untuk memulakan dan mengenengahkan industri kraf Dunia Melayu kepada masyarakat, memartabatkan artisan tempatan, di samping memelihara warisan budaya. Tema yang dipilih adalah Ilusi Langkasuka.

 

Pemerintahan Langkasuka merupakan lambang kegemilangan tamadun dan kemajuan peradaban Dunia Melayu dengan bukti-bukti nyata yang masih kekal wujud hingga kini kelihatan pada motif kesenian, hasil seni bina, olahan reka bentuk, sehinggalah ke gaya hidup.

 

MCC membawa harapan agar inisiatif yang cuba diterapkan sepanjang Kelantan Exchange 2021 berupaya membangkitkan semula semangat serta jati diri tersebut dengan memaparkan kemampuan Kraf Malaysia untuk pelbagai tujuan dan penyesuaiannya di dunia moden ini.


 

hikayat
Makyong Raja Besar Maha Gading

 

Acara kemuncak Kelantan Exchange ini adalah persembahan Makyong yang gilang gemilang Makyung Teater Raja Besar Maha Gading diketuai Pakyong Rosnan Rahman yang juga merupakan Pengarah Jabatan kesenian dan Kebudayaan Kelantan memegang watak utama Raja Besar.

 

Lakonan hidup Tok Peran dan Tok Peran Muda juga amat mencuit hati para penonton. Antara watak utama lain termasuk Raja Sulung dimainkan oleh pelakon dan pengacara Arja Lee.

 

MCC sebenarnya telah berjaya mengembalikan persembahan tradisional Makyong di Kelantan setelah hampir tiga dekad ia diharamkan di negeri tersebut.

 

Makyong diberi nafas baru tanpa mencemarkan elemen asalnya melalui pendekatan yang lebih patuh Syariah untuk persembahan di Kelantan.

 

 

hikayat

 

 

Persembahan makyong ini begitu mencerminkan inspirasi tema ‘Kelantan Exchange 2021’ iaitu ‘Illusion of Langkasuka’ atau Ilusi Langkasuka.

 

Persembahan Teater Makyong ini kisah Raja Besar yang menyedari bakal penggantinya yang terbaik adalah Raja Bongsu. Ini diketahui oleh Raja Sulong yang merasakan dia patut menjadi Raja.

 

Akibat hasutan adik beradik lain, mereka berpakat membunuh Raja Bongsu – saya kira pengajaran terbaik dan satu kisah yang dapat memberi pengajaran dan wajibdiambil iktibar dalam masyarakat Melayu hari ini.

 

Tema ini juga direalisasi dengan sesi Dialog dan forum mempamerkan personaliti penggiat budaya ikonik seperti Adiguru Ukiran Kayu tersohor Norhaiza Noordin bersama pengasas Pusaka, Eddin Khoo “The Glory of Langkasuka”.

 

Ini  diikuti pada hari yang sama satu pembentangan khas ‘Cultural Runway’ oleh Zubaidah Sual bertajuk Rupa dan Gaya Pakaian Aristokrat Melayu dan juga John Ang bertajuk The Cham Connection with Kelantan and the Malay World. Pengacara Arja Lee pada sesi ini memberi pantun yang baik…


Anak dara menumbuk pandan,
Membuat kain hidangan kenduri,
Ilmu yang baik jadikan teladan,
Segala yang buruk lemak ke tepi

 

Pameran batik, telepuk, wau dan kraf bermotifkan bahan kelapa serta ukiran kayu menghiasi kawasan legar dewan utama dimana bukan saja terdapat jualan  kraf, malah sesi bengkel dan demo juga begitu baik untuk mendekatkan orang awam denagn warisan bangsa. 

 

 

hikayat
John Ang

 

 

Presiden MCC, Nik Faiz Nik M Amin berkata, “Kraf kita sangat fleksibel dan memiliki potensi yang amat luas untuk inovasi, penyesuaian semula, serta pemindahan ilmu atau penciptaan ‘fusion’ melalui penggabungan antara budaya.

 

‘’Sebab itulah kami sangat teruja dengan acara Kelantan Exchange pada tahun ini kerana pengunjung dapat menikmati pengalaman belajar, terlibat bersama dalam pelbagai aktiviti menyeronokkan dan memahami potensi kepelbagaian fungsi kraf tempatan.

 

‘’Bukan itu sahaja, kita juga ada penglibatan dari pelbagai organisasi, antaranya Yayasan Jepun yang akan berkongsi ilmu tentang budaya dan kraf mereka. Insya-Allah, moga pendekatan ini mampu meningkatkan tahap pemikiran serta membuka minda kita kepada idea-idea hebat, tanpa mengenepikan keunikan sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

 

Kelantan Exchange bakal dijadikan acara tahunan dan berpotensi untuk dilaksanakan di negeri-negeri lain yang juga kaya dengan warisan budaya unik serta bakat artisan kraf mereka sendiri.

 

 

hik

 

 

Sealiran dengan usaha Malaysia dalam mewujudkan kelestarian serta menyemarakkan lagi industri kraf negara, MCC mengalu-alukan sebarang bentuk koloborasi dan kerjasama dari pelbagai pihak, organisasi atau badan-badan berkaitan.

 

Ini adalah supaya legasi artisan tempatan dapat diteruskan, pertumbuhan industri dipertingkatkan, serta suntikan idea bernas, segar dengan perspektif yang inovatif diperhebatkan.

 

Dengan sokongan padu yang diberikan oleh Tourism Malaysia, Yayasan Hasanah, UNESCO, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan Hotel The Grand Renai, Kota Bharu, MCC telah berjaya mewujudkan pengalaman pengunjung yang lebih mengasyikkan membawa kepada perubahan sikap serta minda.

 

Melihat kepada ‘full house attendance’ pada semua acara Illusion of Langkasuka, kita menunggu Kelantan Exchange 2022 dengan segala harapan ianya akan diadakan di negeri-negeri lain untuk menyemarakkan seni dan budaya Melayu.

 

Pertubuhan Kraf Malaysia adalah sebuah organisasi bukan kerajaan yang diwujudkan sebagai agen advokasi untuk memacu pertumbuhan industri Kraf Negara mewakili pelbagai kategori kraf (Batik, Songket, Tenun, Perak, Seramik, Sulaman dan lain-lain).

 

Ia juga bertindak sebagai jambatan yang menghubungkan kesemua pemain industri, dalam memposisikan kraf Malaysia di persada dunia melalui projek koloborasi bersama organisasi antarabangsa dan jaringan afiliasi yang dibina.

 

 

ninot
Ninot Aziz dan Nik Faiz Nik M Amin Presiden MCC

 

 

Sebagai sebuah organisasi yang baru ditubuhkan ia amat mengalukan jalinan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak sama ada dari sektor kerajaan mahupun swasta.

 

Tahniah Pertubuhan Kraf Malaysia dan sememangya kita semua mengalu-alukan Kelantan Exchange 2022!

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu.   Emel : ninotaziz@gmail.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

 

 

 

Portfolio Tags