inDriver perkenal pilihan kereta enam tempat duduk penuhi permintaan pengguna | DagangNews Skip to main content

inDriver perkenal pilihan kereta enam tempat duduk penuhi permintaan pengguna

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 Ogos - inDriver telah menambah satu jenis kenderaan baru untuk perkhidmatan e-panggilannya bagi memenuhi permintaan semakin meningkat terhadap penyelesaian mobiliti yang memudahkan dan berpatutan. 

 

Aplikasi e-panggilan tersebut telah memperkenalkan pilihan kereta enam tempat duduk baru bagi membolehkan pengguna seperti keluarga, sahabat handai dan rakan kerja bergerak tanpa perlu membuat beberapa tempahan kereta untuk perjalanan mereka.

 

Pengarah e-Panggilan untuk Asia Pasifik inDriver, Roman Ermoshin berkata, mereka menyaksikan permintaan yang semakin meningkat untuk kenderaan berkapasiti tinggi dalam kalangan pengguna kembali melakukan aktiviti harian dan sosial seperti biasa. 

 

"Dengan memperluaskan perkhidmatan e-panggilan kami, kami berharap dapat menyediakan penyelesaian yang mudah dan selesa sambil mengekalkan kadar berpatutan yang biasa dinikmati pengguna inDriver. 

 

"Pada masa sama, ini akan mewujudkan peluang dan fleksibiliti lebih tinggi untuk pemandu kami meraih pendapatan. Buat masa ini, pilihan kenderaan enam tempat duduk tersedia di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru, tetapi inDriver merancang memperkenalkannya di lebih banyak bandar di Malaysia. 

 

"Tambang untuk mod pengangkutan baru ini lebih tinggi daripada kereta empat tempat duduk biasa, tetapi ia menyediakan cara perjalanan dengan keberkesanan kos lebih baik untuk kumpulan besar kerana mereka tidak perlu membuat beberapa tempahan. 

 

"Selain itu, ia juga meningkatkan peluang pendapatan pemandu kerana mereka dapat meraih lebih banyak wang bagi setiap perjalanan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

indriver
Roman Ermoshin

 

 

Berdasarkan maklumat inDriver, permintaan kenderaan enam tempat duduk amat terkenal dalam kalangan keluarga, sahabat handai dan rakan kerja yang memilih kenderaan besar untuk aktiviti keluarga atau sosial. 


 
Sementara itu, kenderaan enam tempat duduk juga menjadi pilihan utama bagi mereka yang menuju ke lapangan terbang kerana ia menyediakan ruang lebih luas untuk bagasi dan memberikan perjalanan lebih selesa.


 
Baru-baru ini, inDriver telah memperkenalkan beberapa peningkatan ciri aplikasi untuk pengalaman pengguna yang lebih baik. Salah satu peningkatan ciri tersebut adalah fungsi perbualan (chat) yang memudahkan komunikasi antara pemandu dan penumpang, serta mengekalkan privasi pengguna.


 
Selain itu, fungsi baru “on the way” telah diperkenalkan sebagai cara untuk meningkatkan peluang pendapatan pemandu. 

 

"Dengan ciri ini, pemandu boleh menekan butang “on the way”, masukkan alamat destinasi dan mereka akan menerima permintaan perjalanan ketika mereka menuju ke destinasi yang ditetapkan. Ini akan memanfaatkan pemandu dari segi penjimatan masa dan kos. - DagangNews.com