Masa depan Blockchain, Kripto & NFT dalam Industri Kandungan Kreatif | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Industri Kreatif - 14 Jan 2022 08:03 AM

MASA DEPAN BLOCKCHAIN, MATA WANG KRIPTO & NFT DALAM INDUSTRI KANDUNGAN KREATIF 

 

 

BULAN lalu, The Guardian melaporkan yang seorang penerbit filem Hollywood, Niels Juul bakal menerbitkan sebuah filem dengan memperoleh pembiayaan penerbitan melalui penjualan Non-Fungible Tokens (NFT).

 

Berita tersebut diperkatakan pelbagai pihak, yang melihatkan bahawa usaha tersebut adalah sebuah revolusi dalam mekanisme pembiayaan penerbitan filem, yang mana beliau menjangkakan untuk memperoleh antara RM34 juta hingga RM43 juta daripada penjualan 10,000NFT – yang merupakan pecahan bahagian filem tersebut.

 

Ini bermakna pemilikan hak ke atas filem tersebut akan terbahagi kepada pemilik 10,000 NFT terbabit dengan urusan penerbitan dan pengedaran akan dikendalikan syarikat yang ditubuhkan oleh Niels iaitu NFT Studios.

 

Di kala dunia perfileman dunia masih sedang mencuba mekanisme pembiayaan alternatif seperti pembiayaan khalayak (crowd funding) bagi menggantikan intrumen pembiayaan kewangan dan pelaburan yang konvensional terdahulu – usaha Niels dan NFT Studios ini jauh lebih ke hadapan.

 

Semenjak kemunculan teknologi blockchain yang mula wujud pada penghujung tahun 2000-an sekaligus membawa kemunculan mata wang kripto, semakin hari kedua-dua perkara ini semakin mendapat tempat dalam masyarakat global.

 

Teknologi blockchain dengan pendekatan sistem rangkaian desentralisasi yang telus dan selamat dilihat menjadi solusi kepada sekian banyak isu berkaitan keselamatan siber yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini, termasuklah dalam sektor ekonomi, kewangan dan perbankan.

 

Faktor tersebut telah meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap teknologi blockchain ini, yang secara tidak langsung turut meningkat perhatian dan minat masyarakat terhadap mata wang kripto - yang mengguna pakai dan berfungsi atas kapasiti teknologi blockchain ini.

 

Meskipun status penerimaan kerajaan Malaysia, khususnya Bank Negara Malaysia selaku pihak berkuasa masih samar-samar tentang hal ini, perkembangan sektor ini dilihat semakin berkembang positif di Malaysia.


 

kreatif

 


Terbaharu, gelombang aset digital NFT yang tiba-tiba meledak dilihat memberikan impak yang cukup besar kepada perkembangan atau penerimaan terhadap mata wang kripto dan teknologi blockchain.

 

Trend mengumpul NFT dalam kalangan para pengumpul mahupun hartawan dan selebriti dunia membawa ia menjadi fenomena baharu, khususnya dalam sektor hiburan dan perniagaan global. Kepemilikan aset digital menjadi trend baharu dunia termasuk kemunculan hartanah digital dan dunia meta.

 

NFT sebagai salah satu bentuk aset digital kini dalam fasa berevolusi dengan kemunculan pelbagai bentuk dan sifatnya, dan sesuai dengan hayatnya yang masih baharu, kita boleh menjangkakan kemunculan bentuk dan sifat NFT yang lebih pelbagai.

 

Saya percaya, dengan eksperimentasi dan eksplorasi tanpa henti golongan karyawan digital serta pemodal gergasi dunia bakal membawa kita menyaksikan kepelbagaian bentuk, sifat dan sudah pastinya platform (marketplace) NFT yang baharu dalam masa terdekat.

 

Dalam konteks industri kandungan kreatif di Malaysia, bagaimana kita melihat situasi ini?

 

Beberapa bulan lalu kita menyaksikan penganjuran Crypto Art Week (CAWA Malaysia) - serta kemunculan platform (marketplace) tempatan bernama Pentas – yang memperlihatkan potensi besar aset digital ini di Malaysia.


 

Crypto Art Week (CAWA Malaysia)

 


Meskipun merupakan karya seni rupa, namun dengan sifat digitalnya, NFT boleh dilihat sebagai salah satu bentuk kandungan kreatif yang baharu, dalam kerangka pendefinisian semasa kandungan kreatif. Saya melihat dunia kandungan kreatif termasuk kerangka definisinya sedang berevolusi kini.

 

Keyakinan terhadap masa depan NFT dalam ekonomi kreatif di Malaysia diperkuatkan lagi dengan kemunculan karyawan NFT tempatan yang mendapat tempat dengan nilai jualan yang tinggi bagi hasil karya NFT mereka.

 

Salah seorang daripadanya adalah Katun, atau nama sebenarnya Abdul Hafiz Abdul Rahman,  yang berjaya menjual dua koleksi NFT karya beliau pada harga 127.6 ETH (Ethereum – salah satu mata wang kripto) – yang bersamaan nilai RM1.6 juta hanya dalam tempoh masa 24 jam. Jualan tersebut merupakan satu sejarah penting dalam dunia NFT di Malaysia.


 

katun
Katun (Abdul Hafiz Abdul Rahman) berjaya menjual dua koleksi NFT karyanya berharga 127.6 ETH bersamaan nilai RM1.6 juta

 


Sesuatu yang menarik tentang NFT adalah sifat digitalnya, yang memungkin penghasilannya karya dalam pelbagai bentuk. Meskipun yang seringkali kita lihat kini adalah dalam bentuk karya grafik, lukisan, fotografi mahupun video,  saya percaya ia akan terus berevolusi dengan penghasilan NFT dalam sifat dan bentuk digital yang lebih pelbagai pada masa mendatang.

 

Untuk makluman semua, sepertimana kebanyakan ahli masyarakat, saya sendiri secara peribadi masih di peringkat awal mengenali dunia blockchain, mata wang kripto dan NFT ini, setelah mendapat beberapa input menarik daripada seorang rakan minggu lalu.

 

Meskipun telah mendengar mengenai hal ini sejak sekian lama, saya mula mendalami secara lebih serius tentang hal ini setelah dapat melihat potensi dan pengaruh besar teknologi ini kepada pembentukan struktur kehidupan masyarakat dunia pada masa akan datang.

 

Di kala ikon besar teknologi dan ekonomi dunia seperti Elon Musk dan Mark Zuckerberg mula secara serius melihat kepada teknologi ini, ia telah memberikan gambaran tentang bagaimana besar dan signifikannya teknologi ini kepada dunia pada masa mendatang.


 

kreatif

 


Saya melihat Niels Juul dan NFT Studiosnya adalah simbol bagaimana penggiat dan usahawan kandungan kreatif perlu ke hadapan bagi memikirkan secara serius bagaimana teknologi ini dapat dimanfaatkan sebaiknya dalam industri ini, tidak kira sebagai instrumen pembiayaan dan kewangan mahupun ke arah evolusi bentuk-bentuk kandungan kreatif dan kandungan digital masa depan.

 

Jika sebelum ini manusia mula mengenali `cerita dan penceritaan` melalui filem, sebelum wujud sebuah `kotak ajaib` bernama televisyen yang siarannya dipancar melalui frekuensi di langit, dan kemudiannya muncul pula pendemorasian kandungan di hujung jari melalui kemunculan internet, media baharu, dan kabel bawah tanah, bagaimanakah bentuk kandungan kreatif pada masa mendatang melalui teknologi blockchain, kripto dan NFT?

 

Bagaimana pula bentuk mahupun pendekatan `cerita dan penceritaan` dalam dunia pasca internet nanti?

 

Mahu atau tidak, karyawan dan penerbit kandungan kreatif harus bijak beradaptasi dan menyesuaikan diri,  terutamanya dalam konteks perniagaan.

 

Dalam globalisasi yang menghubungkan dunia tanpa mengira geografi kini, Malaysia tidak mempunyai alasan lagi untuk sekadar menjadi pengikut pasaran.


 

kreatif

 


Tidak mustahil, mekanisme dan penemuan baharu usahawan kandungan kreatif Malaysia mampu menjadi penemuan penting serta rujukan dunia – dengan syarat kita harus terus berani bereksplorasi dengan masa depan. - DagangNews.com

 

Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INDUSTRI KREATIF