Pembangunan penerbit & pentadbir profesional industri kandungan kreatif | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Industri Kreatif - 30 Jul 2021 08:05 AM

PEMBANGUNAN PENERBIT, PENGURUS DAN PENTADBIR PROFESIONAL DALAM INDUSTRI KANDUNGAN KREATIF

 

 

SEJAK sekian lama, pembangunan modal insan merupakan antara inisiatif yang di beri fokus dalam usaha pembangunan industri kandungan kreatif di negara ini.

 

Malah, sejak Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) yang bermula pada tahun 2016, sejumlah peruntukan besar diberikan bagi melaksanakan pelbagai aktiviti berkaitan pembangunan modal insan dalam industri ini. Ia merupakan fasa penting dalam menuju era profesionalisme sumber manusia dalam industri kandungan kreatif Malaysia.

 

Sepertimana yang diketahui ramai, industri kandungan kreatif di Malaysia bermula sejak puluhan tahun lalu dengan tenaga kerja dan sumber manusia yang kebanyakannya tanpa pendidikan formal dan hanya berasaskan kepada pengalaman terdahulu.

 

Situasi ini berlarutan sehingga tahun 1990-an. Tidak menafikan jasa dan kepakaran yang mereka miliki, dalam menuju sebuah industri berkembang, pendidikan dan latihan formal tidak boleh diabaikan. Hanya menjelang dekad 2000-an, mula muncul dan berkembang institusi pengajian tinggi yang menawarkan program berkaitan perfileman dan kandungan kreatif.

 

Peruntukan besar bermula RMK11, yang kemudiannya dilanjutkan dalam RMK12 tersebut menjadi kesinambungan kepada gelombang pendidikan formal kandungan kreatif di Malaysia, yang mana ia menjadi kelangsungan pembangunan dan peningkatan skil kemahiran kepada para penggiat, khususnya golongan muda setelah mendapat latihan asas secara formal di universiti.

 

Berhubung fokus pembangunan modal insan dalam industri ini, saya melihat salah satu bidang pekerjaan yang dilihat perlu diberikan penekanan adalah untuk melahirkan lebih ramai penerbit, pengurus dan pentadbir yang profesional.

 

Lebih kurang 10 tahun lalu, perkara ini pernah disuarakan dalam salah satu penulisan saya untuk majalah Sinema Malaysia (majalah rasmi FINAS)  tentang keperluan untuk kita mula memberikan perhatian kepada pembangunan pengurus dan pentadbir (termasuk penggubal polisi) yang profesional dalam industri ini.

 

Dalam artikel terbabit, saya menyatakan bahawa selain memfokuskan kepada usaha melahirkan para karyawan serta bakat-bakat kreatif dalam bidang seperti pengarahan, penulisan skrip, lakonan dan sebagainya, kita seharusnya tidak lupa bahawa perfileman adalah sebuah sebuah hasil kerja kolaborasi multi-disiplin yang tidak dapat tidak berkait dengan pelaburan, kewangan, pemasaran dan sebagainya.

 

Ini semua memerlukan pasukan pengurusan  untuk mengendalikan produksi serta pasukan pentadbiran yang mentadbir industri secara lebih teratur dan proaktif.

 

Industri memerlukan barisan pengurus dan pentabir yang bukan sekadar profesional, tetapi memahami sifat industri kreatif sebagai sebuah industri yang kompleks sifatnya dan sedikit berbeza berbanding industri lain – yang berpegang kepada paksi bahawa filem sebagai hasil kerja seni yang mempunyai nilai artistik, budaya dan sosial – namun mempunyai nilai komersialnya yang tersendiri.

 

Ketika itu, saya cukup bimbang melihat apabila kebanyakan program latihan berkenaan pengurusan dalam industri filem hanya menjurus kepada pengurusan produksi semata-mata, tanpa menyentuh aspek lain yang perlu mempersiapkan bidang ini sebagai komponen ekonomi kreatif yang holistik seperti perundangan, perniagaan, pengedaran, pemameran, teknologi, inovasi dan sebagainya.

 

Namun, setelah satu dekad berlalu dari masa saya menulis artikel berkenaan, saya sudah boleh mula menarik nafas lega apabila banyak perubahan dan perkembangan positif yang berlaku.

 

Industri filem dan kandungan kreatif mula dibincangkan secara serius sebagai satu cabang ekonomi yang berpotensi besar. Aspek pengurusan berkait pelaburan, kewangan, pemasaran dan sebagainya yang menjadi antara elemen penting dan penentu kepada perkembangan industri ini mula diberikan perhatian.

 

Namun, secara peribadi, saya melihat masih banyak ruang yang boleh diperbaiki, khususnya dalam membangunkan modal insan dan sumber manusia sebagai penerbit, pengurus dan pentadbir yang bakal membawa industri ini ke peringkat seterusnya.

 

Menjadi satu keperluan untuk kita melahirkan para penerbit muda yang memahami sifat industri ini yang tidak hanya bergantung kepada kerja commisioning semata-mata, tetapi melihat kuasa besar harta intelek sebagai jalan usaha penerbitan mereka yang berdaya tahan dan berkelangsungan.

 

Saya melihat bahawa industri kandungan kreatif kini mempunyai ramai barisan penerbit, pengurus dan pentadbir yang baik. Namun, jumlah tersebut dilihat masih tidak mencukupi bagi mengisi keperluan industri – apatah lagi dengan saiz industri yang semakin berkembang dalam dunia langit terbuka kini.

 

Industri memerlukan ketiga-tiga bidang kerja ini diisi oleh mereka yang sentiasa proaktif dan responsif terhadap segala perubahan industri yang serba pantas kini, termasuklah dengan perkembangan disrupsi digital dan sebagainya, bagi memastikan industri kandungan kreatif Malaysia lebih berdaya saing tidak hanya dalam negara tetapi dalam pasaran terbuka.

 

Tidak ingin menafikan barisan sedia ada dalam bidang kerjaya terbabit yang sememangnya cukup berkemahiran dan berpengalaman. Namun perlu ada perancangan dalam pembangunan modal insan untuk melahirkan lebih ramai pelapis kepada barisan sedia ada ini untuk kelangsungan industri pada masa hadapan.

 

Ini termasuklah dalam menyedia dan mempersiapkan industri ini untuk menghadapi fasa pasca-pandemik tidak lama lagi, yang pasti gelanggang dan permainannya sudah sangat berbeza daripada yang kita jangkakan sebelum ini.

 

Industri kandungan kreatif tidak boleh dinafikan sebagai sektor paling berpotensi dalam industri kreatif, sepertimana yang dinyatakan dalam laporan `Kuala Lumpur as A Cultural & Creativity City` oleh Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) bahawa industri perfileman, penyiaran dan kandungan digital ini merupakan penyumbang utama kepada ekonomi kreatif negara dalam konteks peluang pekerjaan dan sumbangan kepada KDNK, berbanding tujuh sektor industri kreatif yang lain.

 

Hanya barisan penerbit, pengurus dan pentadbir yang kompeten mampu membawa kita keluar dari fasa gelap pandemik kini – mengembalikan potensinya – seterusnya membawa industri kepada pertumbuhan dan perkembangan seiring trend global.

 

Oleh yang demikian, tanpa mengenepikan peranan karyawan kreatif dan pasukan teknikal, besar harapan saya agar penerbit, pengurus dan pentadbir ini merupakan antara bidang kerjaya yang diberikan perhatian dalam perancangan dan pelan pembangunan modal insan industri kreatif negara. – DagangNews.com

 

 

Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF)

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INDUSTRI KREATIF