Strategi Lautan Biru: Perlukah Barisan Nasional Bersaing? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Infiniti - 25 Aug 2023 08:00 AM

Strategi Lautan Biru: Perlukah Barisan Nasional Bersaing?

 

 

 

STRATEGI Lautan Biru ialah satu bermula dari strategi pemasaran yang telah dibangunkan pada tahun 2005 sebagai strategi untuk memasuki pasaran baharu dengan sedikit persaingan dan tiada halangan.

 

Di dalam strategi ini sasaran pasaran menjadi tumpuan berpotensi untuk sesebuah organisasi tidak kiralah yang memasarkan barang mahupun perkhidmatan seperti sebuah parti politik  bagi  memasarkan produk mereka.


 

Infiniti

 


Pasaran lautan biru dianggap sebagai pasaran yang tidak dieksploitasi sepenuhnya, tidak disentuh dan dilayan dengan baik oleh penyandangnya dalam suasana ini ialah pengundi muda .

 

Lawan konsep ini ialah strategi lautan merah yang dirujuk sebagai pasaran yang sangat kompetitif yang dipenuhi dengan pesaing. Lautan merah adalah keseluruhan golongan sasar masyarakat yang wujud hari ini. Sempadan telah ditetapkan, peraturan pertandingan telah diketahui antara satu sama lain oleh pemain.

 

Parti-parti politik di lautan merah bersaing untuk bahagian pasaran dan mencapai julat pelanggan yang seluas mungkin. Strategi yang dijalankan juga menjadikan kos bersaing yang besar. Secara tidak langsung sudah tentu ia mengurangkan keuntungan dan pertumbuhan pengaruh sesebuah parti politik.

 

Berbeza dengan golongan sasar dalam lautan merah, lautan biru adalah keseluruhan golongan sasar yang langsung tidak wujud hari ini. Ruang pasaran tidak diketahui oleh pemain sedia ada dan tidak ada sebarang persaingan pasaran.

 

Menariknya, lautan biru berpegang kepada prinsip bahawa permintaan pasaran dicipta, bukan dipertandingkan seperti di lautan merah. Peluang untuk pertumbuhan dan keuntungan adalah lebih besar dan selalunya eksponen dalam masa yang singkat.


 

Infiniti

 


Bagi parti politik seperti Barisan Nasional yang telah mempunyai pencapaian yang panjang dalam menerajui politik negara adakah mereka juga perlu bersaing atau perlu sentiasa menyegarkan tawaran perkhidmatan mereka dengan sifat lebih inovatif.

 

Ini adalah kerana pasaran yang parti ini masuki adalah satu pasaran yang amat baru, yang tidak pernah wujud sebelum ini, strategi lautan biru adalah konsep yang paling sesuai dilaksanakan.

 

Strategi ini berbeza dengan Strategi Lautan Merah. Strategi Lautan Merah merujuk kepada suasana persaingan dalam landskap politik, manakala Strategi Lautan Biru pula merujuk kepada penciptaan ruang pasaran yang tidak ada persaingan dalam perkembangan.

 

Pimpinan tertinggi Barisan Nasional perlu meletakkan satu kepentingan untuk ahli komponen mereka untuk berfikir di luar kotak. Sikap untuk berfikir di luar kotak ini adalah satu kemestian di dalam mendepani sesuatu keadaan perkembangan politik yang bersifat dinamik. Bentuk pemikiran ini menuntut penganutnya agar mengetepikan andaian ceteris paribus di dalam membuat sesuatu analisis agar hipotesisnya menjadi lebih realistik.

 

Dalam politik tradisional sememangnya begitu, strategi Lautan Merah akan menjadi keutamaan seperti sekarang.  Strategi Lautan Merah adalah sinonim dengan politik persaingan, dan dendam dengan pesaing. 

 

Oleh itu, pendekatan ini perlu dielakkan kerana ia akan merugikan negara dan masyarakat.  Strategi Lautan Biru pula sinonim dengan memberi tumpuan kepada isu sebenar dalam politik, dan faktor inilah yang sepatutnya diutamakan dalam merangka strategi dan perancangan dalam mengambil keputusan politik.

 

Melalui strategi Lautan Biru, sokongan politik adalah dicipta, bukannya dipaksa.  Kemahiran mencipta sokongan inilah yang memerlukan kepakaran, pemikiran dan perancangan rapi parti seperti Barisan Nasional.


 

Infiniti

 


Ini adalah kerana banyak tindakan ahli politik besar dunia telah menunjukkan tokoh politik seperti Barrack Obama, Justin Trudeau dan Emmanuel Macron menggunakan pendekatan Lautan Biru dalam kempen mereka. 

 

Kempen mereka menggunakan maklumat digital, berita mereka tepat dan cepat, tawaran produk politik mereka menarik dan mengikut selera golongan sasar, komunikasi dengan rakyat disampaikan dengan mudah dan bertenaga, manifesto mereka mudah difahami, jelas dan realistik untuk dilaksanakan. 

 

Seperti kata Albert Einstein, ”Everything should be made as simple as possible, but not simpler.”

 

Untuk melangkah ke hadapan, Barisan Nasional sebagai sebuah parti yang mempunyai sejarah prestasi yang panjang perlu mengadaptasikan Strategi Lautan Biru ini.

 

Parti bukan sahaja perlu bersedia dengan politik digital, dan big data untuk mengurus maklumat pilihan raya.

 

Mereka juga perlu membuat kajian apakah tawaran yang mereka berikan itu benar-benar menepati selesa golongan sasaran. Dalam melaksanakan hal ini bukanlah mudah.


 

Infiniti

 


Oleh itu, parti politik seperti ahli di dalam gagasan Barisan Nasional perlu meningkatkan pendidikan politik rakyat sesuai dengan perkembangan ilmu dan teknologi masa kini. 

 

Sesungguhnya Strategi Lautan Biru bukan sahaja untuk aktiviti perniagaan tetapi amat sesuai diadaptasi dalam merangka jalan keluar bagi memulihkan kepercayaan rakyat terhadap Barisan Nasional. - DagangNews.com

 

Afizan Amer adalah Pensyarah Kanan Pemasaran Digital, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Kampus Rembau , Universiti Teknologi Mara N.Sembilan

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INFINITI
 

dagangnews