Al-Quran sebagai kompas dalam kehidupan manusia | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 17 May 2024 07:00 AM

Al-Quran sebagai Kompas dalam Kehidupan Manusia

 

 

PENURUNAN al-Quran telah berlaku dalam dua peringkat, iaitu dari Luh al-Mahfuz ke Bait al-Izzah (langit dunia).

 

Peringkat seterusnya, dari langit dunia kepada Nabi SAW secara berperingkat-peringkat dalam tempoh 23 tahun semenjak Nabi SAW diutus menjadi rasul sehingga baginda wafat.

 

Al-Quran merupakan panduan dan rujukan terpenting bagi masyarakat Islam dalam seluruh aspek kehidupan dari mula lahir sehingga meninggal dunia atau dari mula bangun tidur sehingga tidur semula.

 

Melalui amalan membaca, memahami dan mengamalkan isi kandungan al-Quran, pastinya berupaya menjadi inspirasi dan pemangkin semangat bagi masyarakat Islam untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan di dunia dan di akhirat.

 

 

irsyad

 

 

Penghayatan dan kefahaman terhadap mesej yang terkandung dalam al-Quran juga dapat menyuntik motivasi serta semangat dalam diri agar lebih maju dan berjaya dalam kehidupan.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Al-Quran ini menjadi panduan-panduan yang membuka mata hati manusia dan menjadi hidayah petunjuk serta membawa rahmat bagi kaum yang meyakini (kebenarannya).” (Surah al-Jathiyah: 20)

 

Terdapat pelbagai fungsi dan peranan al-Quran dalam kehidupan seharian manusia  yang sewajarnya disedari dan difahami dengan jelas supaya memberi kebaikan dan manfaat.

 

Pertama, memberi panduan dan petunjuk dalam seluruh persoalan kehidupan manusia. Al-Quran memberi panduan mengenai dasar utama dan asasi persoalan dalam setiap bidang kehidupan.

 

Al-Quran merupakan manual kehidupan dan kitab petunjuk ke jalan yang terbaik sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya al-Quran ini memberikan petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam) dan memberikan berita yang menggembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar” (Surah al-Isra: 9).

 

 

irsyad

 

 

Kedua, menjadi pengubat dan penyembuh terhadap penyakit manusia. Al-Quran boleh menyembuhkan hati manusia dan mendatangkan rahmat bagi orang beriman. Wujud dua jenis penyakit pada manusia iaitu penyakit hati dan akhlak ‘mazmumah’ (tercela).

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan Kami turunkan dari al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman dan al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang yang zalim selain kerugian" (Surah al-Isra’: 82).

 

Ketiga, memberikan bimbingan dan nasihat melalui ibrah (pengajaran) yang terkandung dalam al-Quran. Nasihat yang terkandung dalam al-Quran adalah berisikan anjuran melaksanakan  ketaatan dan kebaikan. Manakala anjuran untuk mengambil ibrah adalah melalui kisah-kisah umat terdahulu yang telah dijelaskan Allah SWT dalam al-Quran.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman” (Surah Yusuf: 111).

 

 

irsyad

 

 

Demikianlah fungsi dan peranan al-Quran yang perlu diterapkan dan diamalkan di dalam kehidupan manusia supaya beroleh kebaikan dan kejayaan hidup di dunia dan akhirat.

 

Walaupun berdepan cabaran untuk memperkukuhkan kefahaman dan penghayatan masyarakat kepada al-Quran, namun usaha menganjurkan pelbagai inisiatif bagi memupuk budaya mencintai dan mendekati al-Quran perlu diteruskan dan dipergiatkan dalam kalangan masyarakat Islam bermula daripada peringkat umur kanak-kanak atau dari keluarga masing-masing.

 

Usaha untuk mendidik dan mengajar masyarakat Islam supaya berinteraksi dengan al-Quran perlu dilakukan secara berterusan di pelbagai peringkat usia melibatkan kerjasama pihak kerajaaan, swasta, institusi masjid, institusi pendidikan dan sebagainya.

 

Selain itu, aktiviti-aktiviti menyampaikan mesej keindahan Islam melalui penghayatan al-Quran juga boleh diperluaskan kepada masyarakat bukan Islam agar dapat menikmati keindahan dan kemuliaan Islam. - DagangNews.com

 

 

PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD
 

 

dagangnews