Haul, nisab dan kaedah pengiraan Zakat Pertanian | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 29 Sep 2023 07:00 AM

Haul, nisab dan kaedah pengiraan Zakat Pertanian

 

 

 

Hasil tanaman dan buah-buahan yang wajib zakat hanyalah yang menjadi makanan asasi manusia (mengenyangkan) dalam keadaan biasa dan boleh disimpan serta tidak rosak antaranya ialah kurma, anggur kering, gandum, barli, beras atau padi dan sebagainya.

 

Makanan yang dimakan sewaktu musim susah dan kemarau tidak boleh dianggap sebagai makanan asasi. Zakat tanaman di Malaysia hanya dikhususkan kepada tanaman padi sahaja.

 

Kewajipan menunaikan zakat pertanian telah disebutkan secara terang dan jelas oleh Allah SWT yang bermaksud: “Dan Dia lah (Allah) yang menjadikan (untuk kamu) kebun-kebun yang menjalar tanamannya dan yang tidak menjalar; dan pohon-pohon tamar (kurma) dan tanaman-tanaman yang berlainan (bentuk, rupa dan) rasanya; dan buah zaiton dan delima, yang bersamaan (warnanya atau daunnya) dan tidak bersamaan (rasanya). Makanlah dari buahnya ketika ia berbuah, dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya.” (Surah al-Anam: 141)

 

Seterusnya, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Dari Salim bin Abdullah dari bapanya RA dari Nabi SAW bersabda: Pada tanaman yang diairi dengan air hujan, mata air, atau air tanah maka zakatnya sepersepuluh (10%), adapun yang diairi dengan menggunakan tenaga maka zakatnya seperduapuluh (5%).” (Riwayat al-Bukhari)


 

irsyad

 


Terdapat khilaf dalam kalangan ulama silam dalam menentukan jenis-jenis tanaman yang wajib dikeluarkan zakat ke atas hasilnya. 

 

1. Menurut mazhab Syafie dan Maliki bahawa jenis pertanian yang dikenakan zakat ialah yang menghasilkan makanan yang mengenyangkan, tahan disimpan lama, dijadikan makanan lazim (iaitu asasi) dan bukan bukan makanan selingan (seperti buah-buahan, ulam-ulaman) dan bukan makanan gantian ketika kesempitan (seperti ubi kayu dan sebagainya). Lebih khusus dalam mazhab Syafie, zakat hasil pertanian terdiri dari dua kategori sahaja iaitu biji-bijian yang dijadikan makanan asasi seperti gandum, beras dan sebagainya. Seterusnya, buah-buahan hanya dua sahaja iaitu buah tamar dan kismis.

 

2. Menurut Imam Ahmad bahawa hasil tanaman yang dikenakan zakat memiliki ciri-ciri berikut iaitu boleh dikeringkan, boleh disukat atau digantangkan dan diusahakan oleh manusia.

 

3. Menurut Abu Hanifah bahawa zakat dikenakan ke atas semua hasil tanaman yang ditanam oleh manusia dan dijaga oleh mereka sama ada sayur-sayuran, buah-buahan, biji-bijian dan sebagainya sama ada dijadikan makanan asasi atau makanan selingan.

 

Pandangan inilah yang ditarjihkan oleh ulama semasa hari ini termasuk al-marhum Shaikh Dr. Yusuf al-Qaradawi.

 

Pandangan ini menjelaskan bukan hanya gandum dan padi sahaja yang wajib dizakatkan sebagaimana biasa diketahui, tetapi pisang, nenas, getah, tebu, lada hitam, koko, kelapa sawit dan sebagainya wajib dikeluarkan zakat jika memenuhi syarat yang ditetapkan.

 

 

irsyad

 

 

Menurut al-Marhum Shaikh Dr. Yusuf al-Qaradawi menjelaskan bahawa semua jenis tanaman diwajibkan zakat berdasarkan pegangan dan pendapat oleh Imam Abu Hanifah yang bersumberkan penegasan Khalifah Umar bin Abdul Aziz, Mujtahid, Hamad, Daud, dan al-Nakhai yang berasaskan hujah berikut:

 

Pertama, prinsip umum firman Allah SWT yang bermaksud: “…dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.” (Surah al-Baqarah: 267)

 

Kedua, firman Allah SWT yang bermaksud: “…dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya.” (Surah al-An‘am: 141)

 

Ketiga, Hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Pada tanaman yang diairi dengan air hujan, mata air, atau air tanah maka zakatnya sepersepuluh (10%), adapun yang diairi dengan menggunakan tenaga maka zakatnya seperduapuluh (5%), tanpa membezakan tanaman asasi mahupun yang bukan.”

 

Majoriti ulama berpendapat bahawa tanaman sama sekali tidak diwajibkan zakat sehingga cukup nisab iaitu sampai jumlah lima bebanan unta (5 wasaq) berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Dan tidak ada zakat pada kurang daripada lima awsuq (bersamaan 363 gantang Malaysia atau 400 gantang Baghdad atau melebihi 1000 kg).” (Riwayat al-Bukhari)

 

 

irsyad

 

 

Berbanding jenis-jenis harta lain yang dikenakan zakat, zakat pertanian dikecualikan daripada ketetapan haul kerana hasil pertanian dikutip apabila tiba waktu menuainya Sahaja.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya.” (Surah al-An‘am: 141)

 

Oleh itu, jelas bahawa kewajipan zakat pertanian tanpa perlu menunggu setahun (haul) dan nisab zakat pertanian pula adalah 5 ‘awsuq’ iaitu bersamaan 363 gantang Malaysia atau 400 gantang Baghdad atau melebihi 1000 kg.

 

Berkaitan kadar dan pengiraan zakat pertanian ini, tanam-tanaman yang cukup nisab hendaklah dibayar zakat mengikut peratus penghasilan. Kadar peratus pembayaran bergantung kepada kaedah atau cara penghasilan.

 

Tanaman yang diusahakan dengan menggunakan tenaga manusia atau lainnya seperti binatang dan jentera atau dengan perbelanjaan yang banyak maka kadar zakatnya ialah 5% atau 1/20.

 

Manakala tanaman yang hanya bergantung kepada jirusan air hujan atau hidup dengan aliran sungai atau parit, maka kadar zakat adalah 10% atau 1/10.

 

Kedua-dua kaedah tersebut bersumberkan hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Sesuatu yang dijirus oleh sungai dan hujan adalah 10 peratus dan dijirus dengan unta adalah 5 peratus.” (Riwayat Muslim)

 

 

irsyad

 

 

Sementara, bagi tanam-tanaman yang mengunakan kedua-dua kaedah di atas pula telah ditetapkan kadar alternatif sebanyak 7.5 peratus.

 

Demikianlah, pilihan telah diberikan kepada para petani atau pengusaha untuk mengira samada menggunakan kaedah zakat pertanian ataupun kaedah zakat perniagaan.

 

Lazimnya, hanya makanan asasi sahaja yang dikira mengikut kaedah zakat pertanian. Manakala bagi tanam-tanaman yang lain akan dikira mengikut kaedah zakat perniagaan.  - DagangNews.com

 

 

PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

 

 KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD
 

 

irsyad