Kelebihan dan kaedah Puasa Sunat Hari Arafah | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 14 June 2024

Kelebihan dan Kaedah Puasa Sunat Hari Arafah 

 


Puasa sunat hari Arafah bagi umat Islam di Malaysia jatuh pada Ahad, 16 Jun 2024 bersamaan 9 Zulhijjah 1445 Hijrah, melalui kaedah rukyah dan hisab yang telah diputuskan oleh Jabatan Falak, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

 

Penentuan tarikh 9 Zulhijjah adalah berbeza mengikut matla' (permulaan terbit anak bulan) di negara masing-masing.

 

Oleh itu, penetapan (9 Zulhijjah) di Malaysia berdasarkan kaedah rukyah dan hisab yang bermakna puasa sunat hari Arafah pada 16 Jun 2024.

 

Manakala, Hari Raya Aidiladha pula telah diputuskan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada 17 Jun 2024.

 

Hari Arafah adalah hari yang kesembilan dalam bulan Zulhijah dan pada hari tersebut seluruh umat Islam yang menunaikan haji sedang berkumpul di Padang Arafah dan terdapat waktu mustajab untuk berdoa pada hari tersebut.

 

Masyarakat Islam yang tidak mengerjakan haji digalakkan berpuasa pada Hari Arafah kerana banyak kelebihan dan keistimewaan ganjaran yang telah dijanjikan oleh Allah SWT.

 

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Puasa hari Arafah, aku berharap kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya dan juga tahun selepasnya.” (Riwayat Muslim, no.1162)

 

Ganjaran yang telah dijanjikan ialah pengampunan dosa oleh Allah SWT bagi setahun sebelum dan selepasnya.

 

Menurut Imam al-Nawawi dalam kitabnya ‘Syarh al-Nawawi ala Muslim’ menjelaskan bahawa dosa-dosa orang yang berpuasa pada hari Arafah akan diampunkan untuk dua tahun.

 

Para ulama berkata dosa yang dimaksudkan di sini ialah dosa-dosa kecil. Sekiranya mereka yang berpuasa itu tidak mempunyai dosa-dosa kecil maka akan diberikan keringanan bagi dosa-dosa besar dan sekiranya tiada dosa-dosa besar maka akan diangkat darjatnya.

 

Selain itu, terdapat hadis lain yang menyebut berkenaan bahawa Nabi SAW tidak berpuasa pada hari-hari sebelum hari Arafah.

 

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Aku tidak melihat Rasulullah SAW berpuasa pada sepuluh hari Zulhijah.” (Riwayat Muslim, no.1176)

 

Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa maksud perkataan ‘sepuluh’ dalam hadis adalah sembilan hari Zulhijah bermula dari awal bulan.

 

Menurut Imam al-Nawawi dalam kitabnya ‘al-Majmuk Syarh al-Muhazzab’ menjelaskan bahawa sebahagian ulama berpendapat tentang hadis di atas dengan takwilan bahawa Aisyah RA tidak melihat Nabi SAW berpuasa bukan bermakna Baginda SAW meninggalkannya.

 

Ini kerana Nabi SAW adakalanya bersama dengan Aisyah RA selama satu hari dari sembilan hari Zulhijah.

 

Manakala hari-hari yang lain Nabi SAW bersama isteri-isterinya yang lain, ataupun kemungkinan Nabi SAW berpuasa pada sebahagian hari pada awal Zulhijah dan berpuasa sebahagian hari yang lain.

 

Adakala Nabi SAW berpuasa pada keseluruhan hari dan ada ketika Nabi SAW tidak berpuasa sehari pun dari hari-hari terawal Zulhijah.

 

Ada juga yang mentakwil bahawa Nabi SAW tidak berpuasa Zulhijah atas sebab-sebab tertentu seperti musafir, sakit atau sebab-sebab yang lain.

 

Berdasarkan dua hadis yang telah dibentangkan di atas, individu yang ingin berpuasa pada hari Arafah tidak semestinya berpuasa pada lapan hari sebelum hari Arafah memandangkan hadis yang diriwayatkan berkenaan kelebihan berpuasa pada hari tersebut tidak mensyaratkan agar berpuasa pada hari yang sebelumnya.

 

Terdapat juga hadis lain yang menjelaskan dan menunjukkan bahawa Nabi SAW pernah meninggalkan beberapa hari sebelum hari Arafah dan berpuasa pada sebahagian hari yang lain.

 

Oleh itu, seseorang individu boleh berpuasa pada hari Arafah dan memilih untuk berpuasa pada keseluruhan hari sebelumnya atau berpuasa pada sebahagian daripada hari-hari tersebut.

 

Demikianlah, kelebihan berpuasa pada hari Arafah ialah dosa-dosa akan diampunkan oleh Allah SWT sama ada dosa-dosa kecil atau diringankan dosa-dosa besar atau diangkat darjat. - DagangNews.com

 

PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI merupakan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD
 

 

dagangnews

 

Portfolio Tags