Keluasan dan kepelbagaian makna Asnaf ‘Fi Sabilillah’ | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 28 Jul 2023 07:00 AM

Keluasan dan kepelbagaian makna Asnaf ‘Fi Sabilillah’

 

 

PERKATAAN ‘al-sabil’ bermakna jalan, sementara perkataan ‘sabilillah’ pula bermaksud jalan yang menyampaikan kepada keredaan Allah sama ada melalui iktikad (kepercayaan) dan amalan.

 

Menurut istilah pula pendapat para ulama terbahagi kepada dua golongan. Golongan pertama terdiri daripada aliran mazhab Hanafi, Maliki, Hanbali, Shafie, Zahiri dan sebahagian besar para fuqaha lain telah membataskan maksud ‘fi sabilillah’ hanya kepada peperangan kepada jalan Allah SWT dan segala yang berkaitannya sahaja.

 

Pendapat golongan ini bersandarkan kepada hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang berperang, berjuang dan berjihad untuk mempastikan kalimah Allah itu adalah yang tertinggi, maka itulah yang dimaksudkan ‘fi sabilillah’.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 


 

irsyad

 


Golongan kedua pula telah meluaskan maksud ‘fi sabilillah’ yang tidak hanya dibataskan kepada peperangan di jalan Allah SWT sahaja dan perkara‐perkara yang berkaitannya.

 

Golongan ini telah meluaskan maksud ‘fi sabilillah’ kepada empat iaitu:

 

  1. mentafsirkan sebagai segala bentuk aktiviti kebajikan, kebaikan (khairat) dan perbuatan yang bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT dan segala perbuatan yang dilakukan sebagai bukti taat kepada Allah SWT.

  2. mentafsirkan meliputi perkara yang berkaitan dengan kepentingan umum (al‐masoleh al‐ammah) semata‐mata.

  3. mentafsirkan kepada pengertian peperangan, ibadah haji dan umrah. Pandangan ini terdiri daripada ulama seperti al‐Syaibani dan Ahmad bin Hanbal.

  4. diharuskan untuk pembiayaan aktiviti kesarjanaan (pendidikan), golongan ini terdiri daripada segelintir ulama mazhab Hanafiyyah.

 

Selain itu, ulama kontemporari juga telah mengemukakan beberapa pandangan berkaitan peluasan makna ‘fi sabilillah’ bagi menyesuaikan dengan konteks dan keperluan semasa.

 

Syaikh Muhammad Shaltut dalam mendefinisikan ‘al‐masalih al‐‘ammah’ telah menjelaskan bahawa sesuatu yang bukan milik individu tertentu, bukan terhad manfaat terhadap individu tertentu, milik Allah SWT.

 

Dan manfaatnya adalah untuk semua makhluk Allah SWT seperti menyediakan tentera untuk bertindak terhadap pemberontak, membina hospital tentera dan awam, membuat dan memperbaiki jalan, menyambung atau membina landasan keretapi, menghantar para pendakwah dan kerja‐kerja menjaga kehormatan dan kemuliaan al‐Quran.


 

parafrasa

 


Ini termasuk bagi membina masjid yang belum wujud di dalam sesuatu kawasan atau membina masjid yang kedua dengan syarat masjid yang telah sedia ada tidak mampu untuk menampung jemaah yang ramai dan memerlukan pembinaan masjid baru atau memperbaiki masjid yang telah wujud.

 

Seterusnya, al-marhum Syaikh Yusuf al‐Qaradawi menjelaskan makna ‘fi sabilillah’ terkandung setiap pekerjaan atau aktiviti atau program yang bertujuan untuk mengangkat dan memartabatkan syiar dan keagungan Islam, penyebaran dakwah, melaksana dan memartabatkan syariat Islam dan hukum‐hakum Islam di muka bumi ini serta meletakkan Islam dan syariat ke tempat yang lebih tinggi dari undang‐undang dan peraturan ciptaan manusia.

 

Walaupun institusi zakat di 13 buah negeri di Malaysia dan termasuk Wilayah Persekutuan memiliki sedikit perbezaan dari sudut takrif ‘fi sabilillah’ dan sasaran agihan asnaf ‘fi sabilillah’.

 

Namun, semangat dan keterbukaan institusi zakat lebih cenderung untuk meluaskan makna ‘fi sabilillah’ itu bukan hanya semata‐mata untuk jihad dan perang ke jalan Allah dan perkara yang berkaitan dengannya sahaja.

 

Malah meliputi segala perbuatan yang bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT dan segala perbuatan untuk ‘taqarrub ilallah’ (mendekatkan diri kepada Allah dan taat kepadaNya) dan juga merangkumi perkara‐perkara yang melibatkan ‘al‐masalih al-‘ammah’.


 

parafrasa

 


Demikianlah, kepelbagaian makna ‘fi sabilillah’ yang dibentangkan di atas, pendapat golongan yang meluaskan maksud lebih dipilih iaitu tidak terhad kepada jihad dan perang bersenjata, bahkan meliputi segala perbuatan yang bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT dan taat kepada-Nya serta meliputi perkara yang melibatkan ‘al‐masalih al‐‘ammah’. - DagangNews.com

 

 

PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.


 

parafrasa