Lakukan 7 amalan Sunnah ini pada 1 Syawal
HARI Raya Aidilfitri menandakan hari kemenangan bagi masyarakat Islam dalam melawan hawa nafsu.
Lazimnya seluruh masyarakat Islam di seluruh dunia akan menzahirkan kesyukuran dan bergembira dengan kedatangan Aidilfitri setelah sebulan bermujahadah melaksanakan amalan wajib dan sunat.
Selaras dengan maksud firman Allah SWT yang bermaksud: “… Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu bertakbir (membesarkan) Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur” (Surah Al Baqarah: 185).
Sambutan hari raya Aidilfitri bukan sekadar untuk memakai pakaian baharu, ziarah kubur, makan makanan yang lazat dan ziarah menziarahi, tetapi perayaan ini membawa maksud dan mesej bahawa manusia kembali kepada fitrah penciptaan.
Pepatah Arab ada menyatakan: “Bukanlah hari raya itu dengan berpakaian serba baru, tetapi hari raya itu adalah dengan keimanan dan ketaatan bertambah”.
Masyarakat Islam perlu memastikan kedatangan Syawal disambut dengan ketaatan kepada Allah dan tidak menjadikan kehadiran Syawal sebagai pesta untuk melakukan maksiat.
Terdapat beberapa perkara sunnah yang disarankan oleh Nabi SAW dan perlu dititik beratkan agar momentum Ramadan dapat diteruskan dengan amalan-amalan sunnah di pagi Syawal.
1. Mandi sunat hari raya
Amalan mandi sunat adalah disarankan sebelum pergi menuju ke tempat pelaksanaan solat Aidilfitri.
Imam al-Nawawi menjelaskan di dalam kitab al-Majmu’ bahawa: “Diharuskan mandi pada dua hari raya, dan perkara ini tiada perselisihan. Perkara yang muktamad padanya ialah amalan Ibnu Umar, dan turut diqiaskan pada Solat Jumaat”.
Perbezaan mandi biasa dengan mandi sunat hari raya adalah dari sudut niat. Maka pastikan niat mandi pada pagi raya adalah untuk mandi sunat hari raya supaya mendapat ganjaran pahala di sisi Allah SWT.
2. Memakai pakaian yang indah dan terbaik
Pakailah pakaian yang tercantik dan terbaik yang dimiliki ketika hari raya dan memakai bau-bauan untuk membezakan antara hari raya dengan hari biasa.
Hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Rasulullah SAW mengajak kami memakai pakaian yang terbaik (tercantik) yang kami miliki” (Riwayat al-Tabrani & al-Hakim)
Selain itu, Jabir RA pernah memberitahu bahawa “Sesungguhnya Nabi memiliki pakaian khusus yang hanya dipakai pada dua hari raya dan hari Jumaat” (Riwayat al-Baihaqi).
Jelas bahawa berpakaian baharu dan cantik pada hari raya adalah suatu amalan sunnah yang pernah dilakukan oleh Nabi SAW dan para Sahabat.
3. Makan sebelum menunaikan solat hari raya
Masyarakat Islam dianjurkan menjamah makanan terlebih dahulu sebelum menuju ke masjid bagi melaksanakan solat hari raya.
Hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Baginda s.a.w. tidak akan keluar pada hari raya aidilfitri sehinggalah beliau makan terlebih dahulu beberapa biji tamar” (Riwayat al-Tirmizi).
Selain itu, Hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Pada hari raya Rasulullah tidak berangkat untuk melaksanakan solat sehingga baginda makan beberapa butir kurma” (Riwayat al-Bukhari).
Amalan Nabi SAW ini menunjukkan bahawa pada hari kebesaran dan kemenangan masyarakat Islam itu adalah diharamkan untuk berpuasa. Maka bagi masyarakat Islam boleh makan juadah yang disediakan sebelum melakukan solat sunat hari raya Aidilfitri.
4. Menghidupkan malam dengan bertakbir dan ketika keluar untuk menunaikan solat Aidilfitri
Hukum takbir adalah sunat bermula dari waktu Maghrib satu Syawal.
Hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa menghidupkan (dengan ibadah) pada malam dua hari raya (hari raya Aidilfitri dan hari raya Aidiladha) kerana mengharap pahala dari Allah, maka hatinya tidak akan mati di hari semua hati mati” (Riwayat Ibn Majah).
Sebaiknya, masyarakat Islam menghidupkan malam hari raya dengan amal ibadah dengan bertakbir, solat, membaca al-Quran dan semua amalan ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah.
5. Solat sunat hari raya
Afdal menunaikan solat sunat Aidilfitri secara berjemaah dan dilakukan di kawasan lapang serta terbuka.
Hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Rasulullah memerintahkan kepada kami untuk keluar pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha sama ada hamba, wanita yang uzur dan juga pemudi. Wanita uzur hendaklah menjauhi tempat solat dan saksikanlah kebaikan serta seruan kaum Muslimin” (Riwayat Imam Muslim).
6. Berjalan kaki ke masjid atau tempat solat sunat hari raya
Sunat pergi ke masjid dengan berjalan kaki dan balik semula melalui jalan yang lain.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Nabi SAW melalui jalan yang berlainan ketika pergi dan balik pada hari raya” (Riwayat al-Bukhari).
Selain itu, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Nabi SAW keluar untuk menunaikan solat aidilfitri dalam keadaan berjalan kaki dan pulang juga dalam keadaan berjalan kaki” (Riwayat Ibnu Majah).
7. Saling mengucapkan tahniah dan mendoakan antara satu sama lain
Ucapan "Semoga Allah menerima amalan kita dan amalan kamu" merupakan satu amalan sunnah yang dilakukan oleh Nabi SAW.
Hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Aku telah berjumpa Baginda Rasulullah pada hari raya, maka aku katakan kepada Baginda: Semoga Allah menerima amalan amalan kita dan amalan kamu. Sabda Rasulullah: Ya, semoga Allah menerima amalan amalan kita dan amalan kamu” (Riwayat al-Bahaiqi).
Demikianlah beberapa panduan dan amalan sunnah di pagi satu Syawal yang boleh diamalkan oleh masyarakat Islam bagi mendapatkan ganjaran pahala di sisi Allah SWT. - DagangNews.com
DR. AZRI BHARI adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.