Memahami fungsi al-Quran dalam kehidupan manusia
Al-Quran adalah sebuah kitab teragung yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi SAW melalui malaikat Jibril AS dalam bahasa Arab dan mengandungi mukjizat yang tinggi dari segi lafaz dan makna serta memberi pahala bagi pembacanya.
Nabi SAW telah menerima wahyu yang diturunkan secara berperingkat selama 23 tahun supaya manusia dapat mempelajari, menghayati dan mengamalkan segala isi kandungan al-Quran.
Wujud pelbagai nama al-Quran yang dinisbahkan terhadap penyelesaian kepada segala masalah yang dihadapi manusia seperti al-Kitab, al-Furqan, al-Huda, al-Ruh, al-Haq, al-Mau’izah, al-Zikr, al-Nur, al-Burhan, al-Busyra, al-Syifa’ dan al-Rahmah.
Al-Quran menjadi kitab teragung sepanjang zaman. Generasi sahabat yang bersama Nabi SAW digelarkan sebagai ‘generasi al-Quran yang unik’ kerana para sahabat mengamalkan segala kandungan yang ada dalam al-Quran.
Terdapat pelbagai fungsi dan peranan al-Quran dalam kehidupan seharian manusia yang sewajarnya disedari dan difahami dengan jelas supaya memberi kebaikan dan manfaat.
Pertama, memberi hidayah dan petunjuk dalam pelbagai persoalan kehidupan manusia. Al-Quran memberi panduan mengenai dasar utama dan asasi persoalan dalam setiap bidang kehidupan.
Al-Quran mampu mengeluarkan manusia dari kegelapan menuju cahaya Ilahi. Ajaran al-Quran membimbing manusia agar keluar dari kegelapan iaitu kekafiran, kesesatan, dan kebodohan menuju cahaya Ilahi iaitu keislaman, keimanan, ilmu pengetahuan dan sebagainya.
Allah SWT telah menugaskan Nabi SAW memberi keterangan lengkap dasar berkenaan dalam ayat yang bermaksud: “Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) al-Quran yang memberi peringatan agar kamu menerangkan kepada manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkannya” (Surah an-Nahl: 44).
Al-Quran merupakan manual kehidupan dan kitab petunjuk ke jalan yang terbaik sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya al-Quran ini memberikan petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam) dan memberikan berita yang menggembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar” (Surah al-Isra: 9).
Selain itu, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa” (Surah al-Baqarah: 2)
Kedua, merawat dan menyembuhkan penyakit manusia. Al-Quran boleh menyembuhkan hati manusia dan mendatangkan rahmat bagi orang beriman. Wujud dua jenis penyakit pada manusia iaitu penyakit hati dan akhlak ‘mazmumah’ (tercela).
Penyakit hati adalah berpunca dari pegangan dan kefahaman akidah yang salah tentang Allah SWT, malaikat, para rasul, hari akhirat, qada’ dan qadar. Kesalahan keyakinan ini menyebabkan hati sakit, gelisah, dan tidak tenteram.
Manakala penyakit akhlak mazmumah pula adalah berpunca dari sikap & sifat tercela yang bersarang di hati manusia seperti riyak, ujub, sum’ah, sombong, tidak sabar, pemarah dan sebagainya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan Kami turunkan dari al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman dan al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang yang zalim selain kerugian" (Surah al-Isra’: 82).
Ketiga, mendatangkan nasihat dan ibrah (pengajaran). Nasihat yang terkandung dalam al-Quran adalah berisikan anjuran melaksanakan ketaatan dan kebaikan. Manakala anjuran untuk mengambil ibrah adalah melalui kisah-kisah umat terdahulu yang telah dijelaskan Allah SWT dalam al-Quran.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman” (Surah Yusuf: 111).
Keempat, memberikan peringatan (nazir) dan berita gembira (basyir) kepada manusia. Al-Quran memberi berita gembira kepada orang yang beriman dan peringatan kepada orang yang ingkar.
Al-Quran telah menjelaskan bahawa orang yang beriman melalui amal soleh yang telah dilaksanakan akan mendapat ganjaran pahala berlipat kali ganda dan masuk ke dalam syurga Allah SWT di akhirat. Sebaliknya, orang yang ingkar akan mendapat balasan buruk di akhirat kelak.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya al-Quran ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan memberi khabar gembira kepada orang beriman yang mengerjakan amal soleh bahawa bagi mereka ada pahala yang besar, dan sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat, Kami sediakan bagi mereka azab yang pedih" (Surah al-Isra’: 9-10).
Demikianlah fungsi dan peranan al-Quran dalam kehidupan manusia supaya memperoleh manfaat, kebaikan dan kejayaan hidup di dunia dan akhirat.
Lantaran itu, umat Islam perlu berusaha bersungguh-sungguh dan berazam untuk selalu membaca, memahami, dan mengamalkan isi kandungan al-Quran dalam kehidupan seharian. - DagangNews.com
DR. AZRI BHARI adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.