Mengapa hari Jumaat istimewa untuk orang Islam?
HARI Jumaat dipanggil sebagai ‘sayyidul ayyam’ iaitu penghulu segala hari kerana hari tersebut mempunyai pelbagai keistimewaan dan kelebihan tersendiri.
Keagungan hari Jumaat menzahirkan perbezaan antara umat Islam dengan yang lain iaitu Yahudi pada Sabtu dan Nasrani pada hari Ahad.
Sekiranya diperhatikan, Ahad dihitung sebagai hari pertama sehinggalah Khamis sebagai hari kelima berdasarkan hitungan hari dalam bahasa Arab.
Sedangkan Jumaat tidak disebut sebagai hari keenam kerana Allah SWT telah memberi keistimewaan yang tinggi pada hari itu dengan panggilan Jumaat.
Kelebihan hari Jumaat boleh dilihat dalam sebuah hadis Nabi SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya hari Jumaat adalah penghulu segala hari yang paling agung di sisi Allah, ia lebih besar di sisi Allah dari hari raya Aidiladha dan Aidilfitri. Padanya ada lima perkara, iaitu hari Allah menjadikan Adam, hari Allah menurunkan Adam ke bumi, padanya Allah mematikan Adam dan padanya juga ada satu saat apabila seseorang itu tidak memohon sesuatu melainkan Allah memberikannya selagi dia tidak memohon sesuatu yang haram dan padanya (hari Jumaat) berlakulah hari kiamat" (Riwayat Ibnu Majah).
Walaupun riwayat di atas adalah dhaif, namun terdapat banyak riwayat lain yang meriwayatkan perkara yang sama dan boleh menjadi sokongan kepada riwayat di atas.
Selain itu, riwayat tersebut tidak melibatkan perkara ibadah tetapi hanya menunjukkan kebesaran dan keagungan hari Jumaat berbanding hari-hari yang lain.
Terdapat pelbagai kelebihan dan keistimewaan besar hari Jumaat sebagaimana yang telah dijelaskan oleh para ulama untuk manfaat masyarakat Islam:
1. Waktu afdal berdoa
Hari Jumaat adalah masa yang mustajab untuk berdoa terutama pada dua waktu terbaik iaitu ketika imam duduk di atas mimbar sehingga solat selesai Jumaat dan pada akhir waktu Asar.
Nabi SAW bersabda: “Pada hari Jumaat terdapat suatu masa di mana seorang hamba Mukmin apabila meminta (berdoa) kepada Allah SWT sesuatu kebaikan, melainkan Allah SWT memakbulkan doanya atau ia meminta Allah SWT melindunginya daripada sesuatu kejahatan, melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan” (Hadis riwayat Tarmizi).
Sebahagian besar ulama menyatakan waktu afdal untuk berdoa pada hari tersebut adalah ketika waktu asar. Berpandukan hadis daripada Jabir RA bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Hari Jumaat mempunyai 12 jam, padanya terdapat satu waktu yang tidak ada seorang hamba meminta sesuatu kepada Allah SWT melainkan Allah SWT akan memberikan apa yang dimintanya itu kepadanya. Maka carilah waktu tersebut pada akhir waktu selepas asar" (Riwayat al-Nasa'ie).
Selain itu, terdapat juga pandangan lain tentang waktu afdal untuk berdoa adalah antara dua khutbah.
Abu Musa al-Asy'ari bahawa beliau mendengar Nabi SAW menyatakan ketika ditanya oleh Ibn Umar tentang waktu mustajab pada hari Jumaat: "Adakah kamu pernah mendengar ayahmu meriwayatkan hadis daripada Rasulullah SAW berkenaan satu waktu (mustajab) pada hari Jumaat? Ya, aku pernah mendengarnya. Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Ia adalah antara duduknya imam sehingga selesainya solat didirikan" (Riwayat Muslim).
Ibnu al-Qayyim al-Jauzi menjelaskan: “Antara sekian banyak pendapat. ada dua yang paling kuat, sebagaimana ditunjukkan dalam banyak hadis yang sahih, pertama saat duduknya khatib sampai selesainya solat. Kedua, sesudah Asar, dan ini adalah pendapat yang terkuat dari dua pendapat tadi” (Zadul Ma’ad Jilid I/389-390).
2. Keampunan dosaAllah SWT akan memberi keampunan dosa sepanjang tempoh antara dua Jumaat.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Solat lima waktu (sehari semalam) dan Jumaat hingga Jumaat merupakan penebus-penebus dosa (ketika itu) selama tidak dikerjakan dosa-dosa besar” (Riwayat Muslim)
Salman al-Farisi berkata bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, bersuci sesuai kemampuan, merapikan rambutnya, memakai minyak wangi, lalu berangkat ke masjid, dan masuk masjid tanpa melangkahi sesiapa, kemudian solat sesuai tuntutan dan diam ketika imam berkhutbah, nescaya diampuni dosa-dosanya di antara dua Jumaat” (HR. Bukhari).
3. Hari lebih utama bersedekah dan infaq
Sedekah pada hari Jumaat adalah lebih utama dibanding sedekah pada hari-hari yang lain.
Hadis dari Ka’ab menyatakan bahawa: “Sedekah pada hari itu lebih mulia dibanding hari-hari selainnya” (Mauquf Shahih).
Ibnu al-Qayyim menjelaskan bahawa: “Sedekah pada hari itu lebih utama dengan sedekah pada enam hari lainnya seumpama di sedekah pada bulan Ramadhan dibanding bulan-bulan lainnya”.
Demikianlah amalan-amalan yang dianjur dan disarankan untuk umat Islam supaya termotivasi untuk melaksanakan dalam kehidupan bagi meraih ganjaran yang besar di sisi Allah SWT.
DR. AZRI BHARI adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.