Pertingkatkan amalan Sunnah di bulan Ramadan
BULAN Ramadan merupakan satu daripada bulan yang sangat mulia bagi umat Islam, lantaran itu kedatangan bulan ini sangat dinanti-nanti dengan penuh kegembiraan. Umat Islam telah diperintahkan dan diwajibkan untuk melaksanakan ibadah puasa selama sebulan penuh.
Keistimewaan bulan Ramadan sangat banyak berbanding bulan-bulan selainnya, sehinggakan Allah SWT memberi ganjaran pahala yang berlipat ganda dan membuka pintu-pintu kebaikan.
Terdapat pelbagai amalan sunnah yang dianjurkan dan perlu dipertingkatkan oleh umat Islam ketika berada dalam bulan Ramadan bagi meraih ganjaran pahala yang berlipat ganda dari Allah SWT.
Pertama, melaksanakan ‘qiamullail’ iaitu dengan menghidupkan malam hari di bulan Ramadan dengan beribadah kepada Allah SWT.
Umat Islam disunatkan untuk menunaikan solat sunat yang dikenali dengan solat tarawih secara berjemaah ataupun bersendirian. Solat sunat ini sangat dituntut dan dianjurkan untuk dilakukan dalam bulan Ramadan dan tidak boleh dilakukan pada bulan selain Ramadan.
Makna tarawih menurut kata asalnya ialah duduk untuk istirehat setelah mengerjakan sembahyang empat rakaat. Solat sunat ini boleh dilakukan sebanyak 8 rakaat atau 20 rakaat bergantung pada kemampuan dan keikhlasan seseorang.
Terdapat sebuah hadis Nabi SAW yang menceritakan tentang ganjaran bagi yang menunaikan qiyamullail iaitu: “Sesiapa yang solat qiyam bersama imam sehingga selesai, maka Allah SWT telah memberikannya ganjaran qiyam sepanjang malam” (Riwayat al-Tirmizi: 806).
Selain itu, solat sunat tahajjud dan witir juga turut dituntut dilaksanakan oleh umat Islam yang mempunyai keistimewaan dan ganjaran besar di sisi Allah SWT.
Kedua, melaksanakan tadarus al-quran. Ramadan adalah suatu bulan yang sangat istimewa dan mulia kerana telah diturunkan al-Quran sebagai petunjuk buat sekalian manusia.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah” (Surah al-Baqarah: 185).
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Jibril akan mengulang bacaan Al-Quran bersama Nabi ﷺ pada setiap tahun sekali dan ketika tahun kewafatan Nabi ﷺ, Jibril mengulangnya sebanyak dua kali” (Riwayat al-Bukhari : 4998).
Tadarus al-Quran boleh dilakukan secara berkumpulan samada membaca atau mendengar daripada Surah al-Fatihah sehingga Surah al-Nas untuk mengkhatamkan sebuah al-Quran.
Sikap orang soleh terdahulu sentiasa melakukan tadarus al-Quran dengan berulang-ulang kali mengkhatamkan bacaan al-Quran dalam bulan Ramadan setiap tahun. Justeru itu, bulan Ramadan perlu dijadikan bulan untuk memperbanyakkan lagi bacaan al-Quran.
Ketiga, melazimi amalan sedekah. Nabi SAW mencontohkan sikap dan sifat kepemurahan yang tinggi ketika di bulan Ramadan.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Adalah Nabi SAW seorang yang paling pemurah dan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadan ketika Jibril AS bertemu dengannya. Adalah Jibril AS bertemu dengan Nabi SAW pada setiap malam pada bulan Ramadan untuk mengulangkaji al-Quran dan kemudiannya Rasulullah SAW menjadi lebih pemurah daripada hembusan angin yang pantas” (Riwayat al-Bukhari: 3554).
Banyaknya Nabi SAW bersedekah pada bulan Ramadan adalah menunjukkan bahawa bersedekah pada bulan ini terdapat kelebihannya yang tersendiri.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Ditanyakan Nabi SAW puasa apakah yang terbaik selepas Ramadan?. Jawab Nabi SAW: Puasa di bulan Sya’ban untuk mengagungkan Ramadan. Ditanya lagi sedekah apakah yang paling afdhal. Jawab Nabi SAW: Sedekah di bulan Ramadan” (Riwayat al-Tirmizi: 663).
Sedekah adalah amalan kebajikan yang sangat tinggi nilai di sisi Allah SWT. Seseorang itu boleh melakukan ibadah sedekah dengan pelbagai cara seperti memberi makanan kepada fakir dan miskin atau memberi makanan kepada orang yang berbuka puasa.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka buat orang yang berpuasa, maka dia mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu dan tidak dikurangkan sedikitpun dari pahala orang yang berpuasa itu” (Riwayat al-Tirmizi: 807).
Amalan sedekah menyebabkan hati seseorang itu tersentuh, lembut dan merendah diri. Bulan Ramadan juga dinamakan sebagai bulan berkasih sayang. Justeru itu, umat Islam diminta untuk sentiasa mengingati orang yang lebih susah daripada diri sendiri yang mungkin ada dalam kalangan mereka yang tidak ada makanan.
Demikianlah, amalan sunnah yang boleh diamalkan dan dilaksanakan oleh umat Islam dalam bulan Ramadan supaya dapat melipat gandakan amalan soleh sebaik mungkin sebagai bekalan di hari kemudian.
Allah SWT menggesa umat Islam supaya melakukan amalan soleh melalui firmanNya yang bermaksud: “Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal yang baik) untuk mendapat keampunan daripada Tuhan kamu, dan mendapat syurga yang seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar” (Surah al-Hadid: 21}.
Sewajarnya umat Islam perlu berusaha melakukan amalan sunnah sebanyaknya dengan memanfaatkan peluang yang diberikan oleh Allah SWT ketika berada dalam bulan Ramadan pada tahun ini. - DagangNews.com