Rezeki maadi, maknawi yang mesti umat Islam ketahui
REZEKI adalah suatu ungkapan yang sering dikaitkan dan dihubungkan dengan keadaan kehidupan seseorang. Namun timbul persepsi dalam kalangan masyarakat yang memahami rezeki hanya terhad kepada bentuk kewangan dan harta yang dimiliki sahaja.
Perkataan rezeki berasal daripada perkataan bahasa Arab iaitu “rizq”, secara literal bermaksud “sesuatu yang diberi atau dikurniakan”. Dalam kitab tafsir al-Quran al-Sya’rawi telah menjelaskan rezeki adalah sesuatu yang memberi manfaat.
Islam menjelaskan bahawa rezeki mempunyai maksud yang sangat luas dan pelbagai iaitu bukan hanya harta sahaja tetapi termasuk juga kesihatan tubuh badan, kehidupan berkeluarga, kebahagiaan dalam hidup, ketenangan hati, kemudahan dalam kehidupan dan sebagainya.
Rezeki yang paling baik adalah rezeki yang dipenuhi dengan berkat iaitu rezeki yang walaupun kuantiti sedikit tetapi mencukupi, manakala rezeki yang tidak baik adalah rezeki yang diperoleh dengan kuantiti banyak, tetapi tidak cukup dan tidak mendatangkan manfaat,
Allah SWT adalah pemberi rezeki yang mutlak kepada semua makhluk. Allah SWT boleh memberi dan menganugerahkan kepada sesiapa sahaja rezeki, sama ada orang Islam atau bukan Islam.
Keluasan rahmat Allah SWT kepada semua makhluk-Nya sehingga setiap kelahiran dan setiap ciptaan lahir bersama jaminan rezeki supaya tidak perlu terlalu bimbang soal rezeki.
Jaminan rezeki telah dinyatakan oleh Allah SWT dalam ayat yang bermaksud: “Dan tiadalah sesuatu pun daripada makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jugalah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat yang berkenaan)” (Surah Hud: 6).
Seterusnya Allah SWT menegaskan pemberian rezeki dalam ayat lain yang bermaksud: “Dan kahwinkanlah orang bujang (lelaki dan perempuan) daripada kalangan kamu, dan orang yang soleh daripada hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui” (Surah al-Nur: 32).
Selain itu, Nabi SAW juga menyatakan ketetapan rezeki telah ditentukan dalam hadis yang bermaksud: “…Kemudian diutus kepadanya malaikat untuk ditiupkan kepadanya roh dan (malaikat) diperintahkan untuk menetapkan empat perkara: menetapkan rezekinya, ajalnya, amalnya dan kesudahannya sama ada derita atau bahagia…” (Riwayat Muslim: 2643)
Dalam Islam, rezeki yang diberikan dan dikurniakan oleh Allah SWT boleh dikategorikan kepada dua bahagian.
Pertama, rezeki menurut sifatnya. Rezeki dalam konteks ini terdapat dua jenis iaitu rezeki yang bersifat ‘maadi’ (material) dan rezeki yang bersifat ‘maknawi’ (non-material).
Rezeki bersifat ‘maadi’ adalah seperti air hujan, buah-buahan, pekerjaan, harta dan seumpamanya. Manakala rezeki maknawi adalah berbentuk rasa cinta dan kebahagiaan, iman dan qanaah dan semisalnya.
Kedua, rezeki menurut cara mendapatkannya. Rezeki dalam konteks ini terdapat dua jenis iaitu rezeki yang diperoleh secara ‘kasbi’ (usaha) dan rezeki yang diperoleh secara ‘wahbi’ (anugerah).
Rezeki ‘kasbi’ adalah rezeki yang diperoleh melalui usaha dan kerja yang dilakukan. Rezeki jenis ini tidak menjadikan syarat keimanan kepada penerima, bahkan ada sahaja orang yang ingkar dan maksiat kepada Allah tetap hidup berjaya.
Namun, nikmat tersebut merupakan peringatan tentang azab Allah SWT atau disebut ‘istidraj’.
Selain sebagai hasil usaha dan kerja, rezeki ‘kasbi’ memang berasal dari sifat ‘Rahman’ atau Maha Pemurah Allah SWT yang diberikan kepada sesiapa yang mahu berusaha dan bersungguh-sungguh.
Manakala rezeki ‘wahbi’ adalah rezeki yang datang di luar jangkaan manusia atau anugerah tanpa perlu berusaha keras untuk bekerja. Kebiasaan orang yang memperoleh rezeki jenis ini adalah golongan yang bertakwa kerana tahap kualiti keimanan yang tinggi kepada Allah SWT.
Demikianlah, makna rezeki yang sangat luas dan pelbagai dalam Islam yang perlu diberi kefahaman kepada seluruh masyarakat Islam. Islam juga telah mendidik manusia bahawa rezeki telah ditetapkan dan dijamin oleh Allah SWT untuk setiap makhluk di atas muka bumi ini.
Namun, manusia tetap perlu berusaha dan bekerja untuk mendapatkan rezeki sebagai bukti komitmen dan kesungguhan untuk penilaian di sisi Allah SWT. - DagangNews.com
DR. AZRI BIN BHARI adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD