Tafsiran Asnaf Fakir menurut Ulama Mazhab dan Ulama Semasa | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 2 June 2023

Tafsiran Asnaf Fakir menurut Ulama Mazhab dan Ulama Semasa

 

 

KEMISKINAN adalah isu yang boleh membawa kepada ancaman kestabilan sosial dan ideologi.

 

Wabak kemiskinan boleh menatijahkan kepada pelbagai masalah sosial yang bertitik tolak dari ketidak-stabilan sosioekonomi keluarga populasi miskin.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya sedekah zakat itu hanyalah bagi orang-orang fakir, miskin, amil, mualaf yang dipujuk hatinya, untuk hamba, orang yang berhutang, pada jalan Allah dan orang-orang yang dalam perjalanan sebagai sesuatu ketetapan yang diwajibkan Allah dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (Surah al-Tawbah: 60)

 

Berdasarkan ayat diatas, dapat dilihat dengan jelas bahawa fakir merupakan asnaf pertama yang layak menerima zakat diikuti oleh golongan miskin, amil, mualaf, al-riqab, al-gharimin, fi sabilillah dan ibnu al- sabil.

 

Terdapat perbahasan yang panjang berkaitan kepelbagaian tafsiran asnaf fakir dalam kalangan ulama mazhab dan wujud pandangan yang berbeza dalam menetapkan tafsiran tersebut.

 

Al-Hasan bin Ziyad meriwayatkan daripada Abu Hanifah bahawa fakir adalah seseorang yang meminta-minta dan menzahirkan kefakiran dan keperluannya kepada orang ramai berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan Allah Maha Kaya, sedang kamu semua orang yang kafir (yang sentiasa berhajat kepada-Nya pada serba-serbinya).” (Surah Muhammad: 38)

 

Ibn al-Humam pula telah memberikan definisi yang lebih terperinci iaitu fakir ialah seseorang yang memiliki harta tetapi tidak mencapai nisab ataupun mencapai tahap nisab tetapi harta tersebut tidak bersifat yang boleh dikembangkan dan masih memerlukan bantuan kebendaan.

 

 

parafrasa

 

 

Golongan ini tidak dihalalkan untuk meminta-minta sedekah kerana mereka masih mempunyai harta yang mencukupi untuk bekalan harian dan pakaian untuk menutupi badan walaupun hanya sedikit.

 

Berdasarkan definisi ulama dalam kalangan Mazhab Hanafi menjadikan sifat meminta sebagai aspek yang menentukan seseorang itu fakir adalah tidak meminta-minta, namun sebaliknya bagi asnaf miskin.

 

Mazhab Hanafi juga meletakkan kategori miskin itu lebih memerlukan bantuan berbanding orang fakir disebabkan boleh meminta-minta dan tidak mempunyai harta walau sedikit.

 

Seterusnya, ulama dalam kalangan Mazhab Maliki membuat ukuran fakir dengan meneliti aspek sama ada keperluan yang dimiliki oleh seseorang cukup untuk tempoh setahun ataupun tidak.

 

Al-Dusuki menjelaskan fakir adalah golongan yang tidak mempunyai bekalan makanan yang mengenyangkan bagi tempoh setahun atau erti kata lain membawa makna golongan mempunyai harta tetapi tidak atau mencapai nisab tetapi harta tersebut tidak dapat dikembangkan sehingga memerlukan untuk mendapatkan bantuan.

 

Selain itu, ulama Mazhab Shafie menentukan seseorang itu fakir ataupun tidak berdasarkan aspek pemilikan harta dan pekerjaan. Seseorang itu dianggap fakir sekiranya dia tidak memiliki harta atau pekerjaan bagi memenuhi keperluannya sama ada disebabkan sakit kronik yang berpanjangan dan sama ada dia meminta minta atau menahan diri daripada meminta-minta.

 

 

parafrasa

 

 

Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa fakir ialah orang yang tidak mempunyai sesuatu yang dapat memenuhi keperluannya. Oleh itu, fakir hendaklah diberikan bantuan untuk memenuhi keperluannya. Sekiranya mempunyai kekuatan fizikal untuk bekerja maka boleh untuk diberikan kepadanya peralatan atau modal berbentuk barang yang boleh diperdagangkan.

 

Sementara, ulama Mazhab Hanbali melihat kepada aspek had kifayah dalam menentukan definisi fakir. Menurut al-Bahuti, fakir bermaksud sesiapa yang tidak mempunyai harta atau mempunyai sedikit harta yang tidak sampai separuh daripada keperluannya iaitu had kifayah sama ada daripada pekerjaan atau sebaliknya.

 

Ibn Qudamah juga menyatakan bahawa fakir ialah orang yang tidak mampu bekerja untuk memenuhi keperluannya. Definisi ini menjelaskan bahawa sesiapa sahaja yang hidup tanpa mempunyai harta atau mempunyai harta tapi tidak sampai kepada keseluruhan yang diperlukannya maka ia dianggap fakir.

 

Seterusnya, tafsiran ulama kontemporari pula seperti Shaikh Dr. Yusuf al-Qardawi menjelaskan fakir ialah golongan yang dalam kekurangan dan sangat memerlukan bantuan.

 

Shaikh al-Zuhaili pula berpegang kepada definisi fakir yang dikeluarkan oleh ulama Mazhab Shafie dan Hanbali iaitu fakir ialah orang yang tidak mempunyai harta dan pendapatan yang dapat menampung keperluan hariannya serta tidak mempunyai suami, bapa atau anak cucu untuk memberi nafkah kepada mereka dengan kadar yang mencukupi merangkumi tempat tinggal, pakaian dan makanan.

 

Menurut Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) Malaysia, fakir ialah seseorang yang tidak mempunyai apa-apa harta atau pekerjaan halal atau yang menerima pendapatan tidak sampai 50% daripada keperluan asas harian diri dan tanggungan mengikut ukuran hidup sederhana.

 

 

parafrasa

 

 

Berdasarkan tafsiran ulama kontemporari berkenaan asnaf fakir dilihat bahawa tidak mempunyai perbezaan yang jauh dengan definisi yang telah dibincangkan oleh ulama mazhab terdahulu.

 

Kesimpulannya, tafsiran ulama kontemporari telah menunjukkan bahawa asnaf fakir adalah golongan yang tidak mempunyai harta atau hasil pendapatan hanya mencukupi untuk menampung keperluan dari segi makanan, pakaian dan tempat tinggal sahaja. - DagangNews.com

 

PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD

Portfolio Tags