Kadar OPR kekal rendah, buktikan fokus BNM dalam usaha pemulihan ekonomi   | DagangNews Skip to main content

Kadar OPR kekal rendah, buktikan fokus BNM dalam usaha pemulihan ekonomi  

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 21 Jan - Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 1.75% dalam mesyuarat pertamanya tahun ini membuktikan tumpuan bank pusat kepada usaha pemulihan ekonomi setelah negara berdepan dengan tempoh kawalan pergerakan yang panjang tahun lalu. 

 

MIDF Research berkata, memandangkan kadar inflasi berlegar dalam ramalan BNM, ia berpendapat, bank pusat kurang berdepan dengan tekanan untuk mengubah dasarnya dengan lebih ketat dalam tempoh yang cepat. 

 

Firma tersebut menjangkakan normalisasi dasar akan dilaksanaan pada separuh kedua tahun ini tetapi bergantung kepada sejauh mana kestabilan pertumbuhann ekonomi negara. 

 

"Selain itu, ia turut mengambil kira kadar kenaikan harga dan penambahbaikan dalam persekitaran makroekonomi terutama pemulihan berterusan bagi pasaran buruh dan peningkatan permintaan dalam pasaran domestik.

 

"Dari perspektif jangka sederhana, normalisasi kadar dasar diperlukan untuk mengelakkan risiko yang boleh menjejaskan kestabilan prospek ekonomi pada masa depan seperti inflasi yang berterusan tinggi dan peningkatan seterusnya bagi hutang isi rumah," jelasnya dalam nota kajian hari ini.

 

Semalam, BNM dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari membuat keputusan untuk mengekalkan OPR pada 1.75% dengan menyifatkan pendirian semasa dasar monetari adalah wajar dan akomodatif.

 

BNM berkata, inflasi teras dijangka sederhana dengan risiko pertumbuhan menjadi semakin tinggi dibendung oleh keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi dan dalam pasaran pekerja.

 

Secara dasarnya, OPR pada paras tersebut kekal sejak Julai 2020 memandangkan dasar monetari melengkapi pakej rangsangan ekonomi bagi menyokong ekonomi di tengah-tengah gangguan akibat pandemik COVID-19.

 

 

Baca : Kadar OPR masih kekal 1.75% - BNM

 

 

Sementara itu, CGS-CIMB menjangkakan BNM akan menaikkan kadar faedah itu sebanyak 2 kali pada 25 mata asas kepada 2.25% menjelang akhir tahun ini. 

 

Ini kerana menurutnya, bank pusat memberi isyarat kesediaannya untuk hanya melepaskan sokongan monetari apabila data yang akan dikeluarkan menunjukkan pemulihan ekonomi yang mampan.
 

"BNM melihat peningkatan risiko bagi inflasi dalam tempoh terdekat, tetapi menjangkakan tekanan harga  akan berkurangan dari semasa ke semasa apabila masalah buruh semakin berkurangan dan kadar penggunaan meningkat.

 

"Inflasi teras, yang kekal lemah pada 0.9% tahun ke tahun pada November 2021, dijangka meningkat pada masa hadapan, mencerminkan permintaan dalam negeri yang meningkat," katanya. 

 

Kenanga Research pula berkata, tumpuan kini adalah terhadap impak daripada langkah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) menaikkan kadar faedah sebanyak 3 kali tahun ini pada garis masa lebih awal berbanding jangkaan. 

 

Katanya, ia sudah tentu menimbulkan cabaran bagi pasaran baharu muncul untuk menguruskan risiko penurunan, memandangkan banyak negara masih bergelut dengan kesan daripada pandemik COVID-19.

 

"Contohnya, China, di mana ia berada dalam mod untuk melonggarkan dasar monetari bagi menyokong pertumbuhan ekonomi.

 

"Walaupun kami berpendapat bahawa BNM mungkin tidak menggunakan mod dasar yang berbeza seperti China, tetapi nampaknya tidak ada keperluan mendesak untuknya," katanya. 

 

Firma itu bagaimanapun menjangkakan bank pusat akan menaikkan OPR lebih tinggi pada separuh kedua 2022 sehingga 50 mata asas dengan jangkaan pertumbuhan didorong oleh permintaan domestik yang lebih kukuh. - DagangNews.com