Kali terakhir menitiskan air mata menghayati lagu | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 5 June 2021

KALI TERAKHIR MENITISKAN AIR MATA MENGHAYATI LAGU


 

Kepentingan sendiri

Tidak diingini

Bahagia diidami

Saja yang diharapi

 

Berkorban apa saja

Harta atau pun nyawa

Itulah kasih untuk negara

Sejati dan mulia

 

BERKORBAN Apa Saja

hikayat
SENIMAN P Ramlee dan Seniwati Zaiton dalam filem Hang Tuah. Klik di sini https://www.youtube.com/watch?v=54IdT5x5_N0

 

 

 

MINGGU ini, kita menjalani realiti COVID-19 dengan pelaksanaan Full Lockdown. Hakikatnya - kita pasti menghadapi keadaan ini bersama. Bersama menjalani vaksinasi. Bersama mengamalkan penjarakan. Bersama mendoakan yang terbaik untuk Malaysia pulih dari musibah sedunia ini. Kita sedar kita tidak mampu melalui PKP 4.0. Jadi inilah peluang terbaik menghentikan cabaran pandemik ini.

 

Lirik lagu di atas telah saya ubah suai dari lirik lagu Berkorban Apa Saja dendangan Allahyarham Tan Sri P Ramlee dalam filem Hang Tuah (1955). Dalam menghadapi segala musibah, adalah logik kita mencari kedamaian dań kekuatan dari bait bait lagu yang merangsang hati nurani untuk menghadapi cabaran semasa.

 

Mari lah kita Berkorban Apa Saja untuk menghentikan rantaian COVID-19 yang menyerang lebih 6,000 hingga 8,000 pesakit baru setiap hari.

 

Titisan airmata akan membuka kesungguhan kita untuk menghentikan gejala ini dan menurunkan statistik yang agak menakutkan sebenarnya. Tiada guna menuding jari. Marilah kita melakukan yang terbaik. 

 

Sepanjang minggu ini kita melihat bagaimana rakyat Malaysia cuba menangani keadaan ini dengan cara masing-masing. Ada yang berkebun. Ada yang bersenam dan menari. Tidak kurang pula yang menonton Netflix.

 

Yang pasti,  dalam menghadapi cabaran yang begitu besar, kita perlukan keindahan dań ketenangan. Bergaduh dan berfikiran negatif tidak ke mana. 

 

Uniknya, minggu ini ada kumpulan Facebook yang memohon dikongsikan pantun dan gurindam terindah Klasik Melayu. Pelbagai pantun diketengahkan. Saya lihat buat unjung kali, tiada pergaduhan dalam kumpulan itu. Segalanya indah dan baik belaka.

 

Pelbagai pantun dan lagu indah dikongsi tidak kira bangsa dan etniknya. Lagu-lagu seperti Gurindam Jiwa, Selasih ku sayang dan lagu Allahyarham Sudirman  mendapat tempat di hati. Pantun Allahyarham Sasterawan Negara Usman Awang `Kekasih' menusuk perasaan.

 

Sebenarnya, penggunaan Bahasa amat penting untuk membentuk insan dan negara. Konsep kewarganegaraan dan perpaduan diterap menggunakan peribahasa contohnya,

 

  • Berat Sama Dipikul, Ringan Sama Dijinjing
     
  • Menggenggam bara biarlah sampai menjadi abu
     
  • Di Mana Bumi Dipijak, Di situ Langit Dijunjung

 

Prof Datuk Seri Awang Sariyan dalam syarahan ATMA bertajuk Epistemologi Linguistik dalam korteks Falsafah & Pemikiran Alam Melayu baru-baru ini mengingatkan kita bahawa pelbagai tamadun manusia berkembang melalui penguasaan ilmu bahasanya dan ilmu puisinya termasuk Yunani, China dan Arab.

 

Adalah penting untuk mengingati bahawa seawal abad ke-7, Kerajaan Sriwijaya menggunakan Bahasa Melayu dalam membentuk Tamadun dan Peradaban melalui pengajian, bahasa perhubungan awam dan perdagangan merentas tamadun ketatanagaraan, diplomasi, warkah antara pelbagai Kerajaan.

 

KEINDAHAN DAN KESEJAGATAN BAHASA

Apakah hubungan Bahasa dan lagu-lagu ini dengan hikayat Melayu? Saya ingin mengambil contoh dari ‘storyteller’ terunggul kita, Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

 

Dalam penceritaan hikayatnya, disulami dengan lagu-lagu yang membuka hati penonton menerima mesej dalam cerita. Beliau mengusik hati kita dengan lagu-lagu seperti Tudung Periuk dalam kisah Sumpah Orang Minyak. Apakah pengajarannya?

 

Kenapa lagu ini membawa kepiluan yang mendalam walaupun Orang Minyak sah telah melanggar adat dan adab Melayu dan mesti dihukum?

 

Bagai mana akal dan minda dipengaruhi bahasa? Sudah tentulah kita melihat bagai mana Tamadun yang tinggi memelihara bahasa yang penuh kesusteraannya baik seperti Sulalat Sulatin, Desawarna dan Hikayat Patani. 

 

Kisah kisah Hikayat juga meyimpan Sejarah keindahan lagu seperti Tetak Seranting. Ulek Mayang. Santubong. 

 

Pada masa yang sama, lagu Asli Melayu mendendangkan satu kehidupan yang begitu ceria dalam Alunan lagu joget, gamelan, zapin...

 

JOGET PAHANG

hikayat
DAYANG NURFAIZAH mendendangkan lagu Joget Pahang - klik di sini https://youtu.be/nx_FSc8gzZQ

 

LAGU DI ZAMAN INI

Generasi Muda Melayu rupanya tidak lupa membudayakan Industri kreatif ini. 

 

Saya terpanggil berkongsi lagu yang baru dihasilkan kumpulan Mafidz untuk mengajak seluruh Malaysia agar tidak berputus asa. Begitu lemah lembut alunan bahasa puisi oleh Umila Rahman...

 

"Usah rebah, sedikit lagi, pasti hujan berhenti".

 

Umila mengatakan hujan pasti kan berhenti. Begitu juga wabak dan kegelisahan yang sedang melanda kita semua. Kekal positif! 

 

PASTI HUJAN BERHENTI

hikayat
Klik di sini : https://youtu.be/LMTdzO3hxsg #lifeinspiredbyhikayat

 

Oleh itu, dalam menghadapi pandemik yang menggila ini, marilah kita bertenang. Jangan kita sibuk cuba melawan arus, masih ingin shopping. Masih ingin menziarah sanak saudara. Masih ingin berjalan-jalan. 

 

Tenangkan jiwa dengan lagu lagu yang baik, bahasa yang indah. 

 

Bersyukur kita ke hadrat Illahi kita masih boleh menikmati kedamaian sambil menunggu ‘hujan reda’.

 

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu.   Emel : ninotaziz@gmail.com

 

BACA KOLEKSI DARI HIKAYAT KITA:
 

 

 

 

 

 

Portfolio Tags