Kartel ayam: MyCC cadang penalti kewangan RM46.36 juta terhadap FFM Bhd | DagangNews Skip to main content

Kartel ayam: MyCC cadang penalti kewangan RM46.36 juta terhadap FFM Bhd

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah mencadangkan untuk mengenakan penalti kewangan sebanyak RM46.36 juta ke atas FFM Bhd, anak syarikat 80% PPB Group Bhd berikutan penemuan mengenai dakwaan melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, PPB berkata dakwaan MyCC terhadap FFM itu adalah berhubung kononnya ia memeterai perjanjian atau amalan bersepadu oleh pengilang makanan ayam tertentu dalam menetapkan harga makanan ayam.

 

“Tertakluk kepada penemuan berhubung dakwaan pelanggaran itu, MyCC telah mencadangkan untuk mengenakan penalti kewangan sebanyak RM46.36 juta ke atas FFM. Tiada impak kewangan dari segi operasi atau material kepada kumpulan itu," katanya.

 

Ia berkata, FFM mungkin mengemukakan representasi bertulis kepada MyCC selewat-lewatnya 20 September dan syarikat itu sedang bekerjasama dengan penasihatnya mengenai representasinya kepada MyCC.

 

Namun begitu, ia berkata keputusan yang dicadangkan dan kemungkinan penalti sebanyak RM46.36 juta bukanlah muktamad dan tidak muktamad ketika ini kerana MyCC dalam kenyataan akhbar bertarikh 5 Ogos 2022, menekankan bahawa penemuannya adalah sementara dan tidak boleh diandaikan bahawa mana-mana entiti telah melanggar undang-undang pada peringkat ini.

 

Pada 5 Ogos, MyCC mengeluarkan keputusan yang dicadangkan terhadap lima pengilangan makanan  kerana melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712), lapor Bernama.

 

Empat pengilang makanan ternakan lain yang menerima notis keputusan yang sama yang dicadangkan oleh MyCC ialah Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd, Gold Coin Feedmills (Malaysia) Sdn Bhd, Leong Hup Feedmill Malaysia Sdn Bhd dan PK Agro-Industrial Products (M) Sdn Bhd. - DagangNews.com