Kaunter bayaran saman trafik jadi tumpuan ramai di Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Perak | DagangNews Skip to main content

Kaunter bayaran saman trafik jadi tumpuan ramai di Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Perak

Kaunter pembayaran saman trafik Polis DiRaja Malaysia (PDRM) pada program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah menawarkan diskaun 50 peratus. - Gambar DagangNews.com
oleh ZAKI SALLEH

PASIR SALAK 1 Julai -  Pembukaan kaunter pembayaran saman trafik Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang menawarkan diskaun hingga 50 peratus sempena Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi kelima di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah di sini disambut baik orang ramai.

 

Bukan sahaja melunaskan saman tertunggak, malah ada pengunjung yang datang hanya untuk membuat semakan dan pertanyaan.

 

Pengunjung yang ditemui DagangNews.com menyifatkan inisiatif tersebut memudahkan lagi urusan rakyat khususnya masyarakat luar bandar untuk berurusan.

 

Mohd. Nasiruddin Hassan, 56, sanggup memandu sejauh 60 kilometer dari Ipoh untuk melangsaikan tunggakan saman trafik PDRM atas kesalahan  nombor pendaftaran kenderaan.

 

Katanya, pengurangan 50 peratus yang ditawarkan bagi kesalahan terpilih itu merupakan jumlah yang besar terutama dalam keadaan rakyat berhadapan dengan kenaikan harga barang.

 

"Walaupun cuma satu saman tetapi saya tidak mahu lepaskan peluang atas tawaran tersebut selain berurusan di kaunter di sini mudah dan cepat.

 

 

AKM
             Mohd. Nasiruddin Hassan

 

 

"Justeru, program AKM ini memang platform yang sesuai dan diharapkan diadakan di jelajah AKM di tempat lain bagi memudahkan rakyat," ujarnya ketika ditemui DagangNews.com.

 

Bagi guru, Ahmad Hisham Mohd Tahir, 59, beliau yang datang untuk membuat semakan mempunyai satu saman bagi kesalahan memandu laju 

 

Beliau yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Bota Kiri ini terus melunaskan bayaran saman tersebut dengan tawaran diskaun 50 peratus.

 

"Walaupun cuma satu saman tapi sebagai rakyat yang bertanggungjawab saya perlu lunaskan juga.

 

 

AKM
            Ahmad Hisham Mohd Tahir

 

 

"Jadi kunjungan ke AKM di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah memang berbaloi kerana selain dapat melihat pameran pelbagai agensi kerajaan dan usahawan, dapat juga selesaikan saman," ujarnya.

 

Bagi Siti Nor Syuhada Mansor, 26, orang ramai khususnya yang mempunyai tunggakan saman hendaklah merebut peluang berkunjung ke kaunter saman trafik PDRM.

 

Menurut penjawat awam ini, peluang seperti itu jarang-jarang diberi apatah lagi dalam keadaan di mana lebihan kewangan diperlukan untuk urusan seharian.

 

 

AKM
            Siti Nor Syuhada Mansor

 

 

AKM
Orang ramai boleh membuat semakan saman serta melunaskan bayaran serta merta menerusi tawaran diskaun 50 peratus.

 

 

Sementara itu, sehingga pukul 12 tengah hari ini, sebanyak 206 saman telah dilunaskan melibatkan kutipan sebanyak RM23,690. - DagangNews.com