Kembayat Malim Deman di Hari Raya Aidilfitri | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 22 May 2021

KEMBAYAT MALIM DEMAN DI HARI RAYA AIDILFITRI

 

SEPANJANG musim perayaan tahun ini, kisah Hikayat Malim Deman ini bermain di fikiran saya.  Memang salah satu Hikayat lama yang amat dikenali di tahun 80an adalah Hikayat Malim Deman kerana ia termasuk dalam silibus kesusasteraan pada waktu itu. 

 

Daya tarikan Hikayat Malim Deman ini adalah bagaimana kehidupan zaman dahulu digambarkan. Contohnya kisah Tengku Malim Deman apabila hendak mengadap ayahandanya Tuanku Malim Dewa, Raja Bandar Muar, dia mengenakan pakaian yang begitu hebat bunyinya sedemikian diceritakan….

 

Bajunya beledu tengkuk kuning

Kain cindai berambu kuning

Selempang kain Bugis Kembayat

Bukan buatan orang sini

Buatan orang di udara

 

Buaian anak raja juga diperbuat dari pelbagai jenis kain dari seluruh Nusantara iaitu kain Bali, kain Champa, kain Ainulbanat, kain jong sarat dari Brunei, kain cindai yang sangat halus lagi kuat dan lain lain lagi.

 

Penceritaan ini tentulah dalam bahasa yang indah. Namanya pun sastera yang dipenuhi kiasan dan bahasa romantis. Bahasa Melayu itulah  tunjang kebudayaan bangsa dan menjadi  lambang mencerminkan ketinggian pemikiran, budaya dan sastera sesuatu bangsa .

 

Ini tidak dapat disangkal lagi.

 

 

hikayat
Ilustrasi oleh A Malek Rahim terhadap keindahan pakaian Malim Deman dalam ahikayataday.blogsot.com


 

Namun, di sebalik bahasa yang puitis dan gambaran yang indah dan menawan, kita lihat satu gambaran kehidupan yang bertamadun tinggi. Kain-kain yang begitu tinggi mutunya ini menunjukkan perdagangan antara kerajaan-kerajaan merentas lautan telah ujud pad masa itu. Nama-nama kerajaan ini disebut satu persatu. Campa. Bali. Ainulbanat. Secara tidak langsung, ini juga menunjukkan hubungan diplomatik serantau.

 

Jangan kita lupa ini juga membuktikan hebatnya kesenian dan kraftangan zaman itu. Kain jong sarat ini memerlukan kain benang emas yang begitu mahal harganya. Kain cindai itu begitu halus  buatannya namun begitu kuat boleh digunakan untuk membuat perisai.

 

Hanya dengan penceritaan buaian anak raja dan pemakaian di istana kita dapat bayangkan betapa gahnya tamadun lalu.

 

Belum lagi kita kupas penceritaan bedil… Bangunan? Pekerjaan seharian? 

 

Kenapa saya terkenangkan Hikayat Malim Deman di musim perayaan ini?

 

Banyak foto keluarga di medsos menunjukkan baju-baju raya yang sedikit sebanyak mengekalkan suasana beraya kita dalam keadaan PKP ini. Namun satu fenomena saya lihat, kain songket benang emas telah diganti kain songket tiruan yang dicetak. Harganya begitu murah dan ‘affordable’ dari India dan ini telah melumpuhkan sama sekali industri songket kita.

 

Ini adalah berita buruk buat penenun dan industri songket kita.

 

Semasa saya kecil, nenek dan ibu menyimpan kain songket yang diturunkan zaman berzaman menjadi kebanggaan keluarga. Wajib ada di rumah – kain tenun, batik, songket, cindai, yang disimpan turun temurun. Sekurang-kurangnya buat persiapan perkahwinan.

 

Jika kita masih amalkan setiap keluarga menyimpan warisan ini, tentulah industri songket, atau batik masih boleh bertahan. Tetapi apabila kita semua terus memilih songket dan batik tiruan ini, ia menggugat kesenian dan ketinggian budaya.

 

 

hikayat
KERJA menenun songket memerlukan ketelitian tetapi hasilnya begitu kemas dan indah.

 

 

Inilah sebab saya sentiasa menyatakan bahawa hikayat itu sangat penting dalam kehidupan kita.

 

Di dalam sistem pendidikan nasional kita.

 

Di dalam kesenian teater sekolah dan di laman Youtube dan Tik Tok.

 

Di dalam sistem adat dan kekeluargaan.

 

Hikayat terzahir dari tradisi cerita rakyat lisan merupakan warisan yang diturunkan zaman ke zaman, generasi ke generasi melalui budaya penglipur lara.

 

Melalui penceritaan tukang cerita, wayang kulit, Makyung dan Mek Mulung serta lain lain bentuk taridra seperti dan juga melalui alunan syair, masyarakat lama dapat menghayati hikayat dan legenda yang berbentuk hiburan, dan juga pengajaran. Bahasanya klasik dan indah; juga mengikut loghat daerah atau negeri dimana ini menambahkan keunikan cerita.

 

Di dalam cerita ini terselit mesej yang mendalam dan bermakna.

 

Pentingnya Hikayat

Satu lagi contoh pentingnya hikayat. Kita sering mendengar tohmahan, Melayu itu malas, kais pagi makan pagi.

 

Namun, lihat ungkapan pendek dari Awang Sulong Merah Muda bahawa orang Melayu tidak dibenarkan malas. Walau apapun dugaan dan cabaran yang dihadapi, ada gunanya kepada masyarakat:

 

Yang pekak pembakar meriam

Yang buta penghembus lesong

Yang lumpoh penghalau ayam

Yang pekong penjemoran

Yang kurap pemikul buluh

 

Pelbagai contoh sebegini dapat dikupas dari Hikayat lama. Konsep gotong royong, bermuafakat, konsep berguru, konsep merantau untuk menceritakan pengalaman semuanya menjadi sulaman indah dalam penceritaan.

 

 

hikayat
SALINAN Hikayat Awang Sulong Merah Muda terbitan 1961.

 

 

Pada hari ini, terdapat pelupusan Hikayat ini yang amat membimbangkan. Telah sampai masanya, masyarakat mengambil tindakan proaktif untuk menyelamatkannya.

 

Sayang sekali cerita wayang kulit, makyung, taridra dan teater tidak dihimpunkan ke dalam cerita hikayat klasik. Oleh itu, kumpulan cerita ini tidak mendapat perhatian khas secara lisan ataupun bertulis kerana berunsurkan persembahan.

 

Dengan itu, cerita-cerita ini saban hari, tahun demi tahun, hilang dari korpus memori kita. Sebenarnya, cerita-cerita ini merupakan cerita rakyat yang lebih formal. Ciri-ciri utamanya berbentuk penyampaian lisan dari generasi ke generasi. Barangkalikah satu hari nanti, tiada siapa lagi mengingati  cerita Anak Raja Gondang, Endeng Tejali atau Dewa Muda?

 

Persembahan sebegini masih mempunyai tarikan namun ianya juga satu fenomena yang semakin pupus. Sebaliknya, di seluruh dunia, pementasan teater dan juga filem boleh dikatakan platform/ ekspresi cerita rakyat yang paling canggih masa kini.

 

Satu lagi bentuk penceritaan meluas terbaru adalah melalui video persendirian ‘Youtube’ di laman web yang boleh menjadikan sesebuah cerita sebagai viral ke seluruh dunia.

 

Sudah tentu penceritaan melalui persembahan teater  seperti cerita wayang kulit, makyung dan mek mulung lebih mudah diubah suai ke platform penceritaan zaman moden.

 

 

hikayat
PERSEMBAHAN makyung di Universiti Sains Malaysia pada 2015 boleh didapati di Youtube (klik di sini). Kualiti lemah kerana dirakam penonton dari tempat duduk.

 

Hikayat boleh membantu dalam memupuk perpaduan kerana jika sebahagian besar rakyat negara membesar dengan mendengar, menonton dan menghayati cerita rakyat sepenuhnya, pemikiran dan kecenderungan serta aspirasi masing-masing akan bertumpu ke arah hala tuju yang sama.

 

Pelupusan hikayat berlaku secara perlahan-lahan selama berdekad dan oleh itu kehilangan ini tidak disedari masyarakat umum.  Ini yang sangat membimbangkan di mana budaya berhikayat sebagai warisan yang diperturunkan dari generasi ke generasi tidak dapat berfungsi dalam strata masyarakat hari ini. Oleh itu, perlu ada landasan lain untuk meneruskan kesinambungan hikayat supaya dekat di hati.

 

Marilah kita kekalkan Hikayat berzaman hingga ke hari ini. 

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu.   Emel : ninotaziz@gmail.com

 

BACA KOLEKSI DARI HIKAYAT KITA:
 

 

 

 

 

 

Portfolio Tags