Skip to main content

Kempen ‘Usahawan Bijak, Usahawan Berdaftar’ galakkan peniaga daftar perniagaan

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 16 April - Kempen ‘Usahawan Bijak, Usahawan Berdaftar’ yang dilancarkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bertujuan memberi kesedaran dan menggalakkan orang ramai khususnya para peniaga untuk mendaftarkan perniagaan masing-masing.

 

Menyempurnakan pelancaran berkenaan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, peruntukan berkenaan tidak hanya merujuk kepada aktiviti perniagaan yang dijalankan secara konvensional, tetapi turut merangkumi aktiviti perniagaan yang dijalankan secara dalam talian.

 

"Dengan mendaftar, sesebuah entiti perniagaan diperakui sah di sisi undang-undang serta mempunyai maklumat lengkap dan terkini yang disimpan di SSM untuk semakan awam.

 

"Buat peniaga berdaftar, mereka pula berpeluang untuk mendapatkan pinjaman dari institusi kewangan atau bantuan kewangan dan latihan kemahiran yang disediakan oleh agensi-agensi kerajaan.

 

"Di samping itu juga, para usahawan dapat memperoleh pelbagai faedah lain yang ditawarkan oleh Kerajaan dari semasa ke semasa seperti Geran Khas Prihatin (GKP) dan sebagainya," katanya dalam ucapan pelancaran berkenaan.

 

Pendaftaran perniagaan boleh dibuat sama ada di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 yang terpakai di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan sahaja, Akta Syarikat 2016 atau Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012.

 

.

 

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Nor Azimah Abdul Aziz.

 

Kempen ‘Usahawan Bijak, Usahawan Berdaftar’ dilancarkan bersempena Majlis Sambutan Ulang Tahun SSM yang ke-19.

 

Majlis Sambutan Ulang Tahun SSM yang ke-19 itu turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian menarik seperti sesi Corporate Talk secara webinar, khidmat nasihat mengenai produk dan perkhidmatan SSM, semakan kompaun serta edaran kurma kepada pelanggan.

 

Selain itu, majlis berkenaan turut membuat agihan agihan zakat korporat dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SSM kepada rumah-rumah kebajikan terpilih meliputi rumah anak yatim dan rumah warga emas di sekitar Lembah Klang. 

 

Tambah beliau lagi, melalui kempen berkenaan, SSM terus memberi galakan kepada golongan usahawan kumpulan B40 dan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) sepenuh masa agar dapat memanfaatkan Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) dengan mendaftarkan perniagaan mereka secara percuma.

 

Beliau memberitahu, skim berkenaan dijangka bakal dimanfaatkan oleh 180,000 usahawan kumpulan B40 dan pelajar IPT sepenuh masa untuk menceburi bidang perniagaan dengan sasaran sebanyak 30,000 pendaftaran pada tahun ini. - DagangNews.com