Kenapa Malaysia intai pelaburan di Indonesia? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 17 November 2021

Kenapa Malaysia Intai Pelaburan di Indonesia?

 

 

LAWATAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Indonesia baru-baru ini, mengintai peluang pelaburan buat Malaysia di negara yang terkenal dengan jolokan agraris dan maritim ini.

 

Ini kerana Indonesia sebuah negara yang subur dengan tanahnya yang sesuai untuk aktiviti pertanian dan sebuah negara yang mempunyai perairan yang sangat luas.

 

PM
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Joko Widodo di Istana Bogor pada 11 November 2021.

 

Kepentingan Indonesia Sebagai Rakan Perdagangan Buat Malaysia

Dalam usaha memulihkan ekonomi negara pasca pandemik ini, Indonesia dilihat sebagai antara rakan perdagangan dan pelaburan yang penting dan strategik buat Malaysia.

 

Ini kerana jumlah perdagangan pada tahun 2020 yang membabitkan jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia-Indonesia berjumlah AS$15.67 bilion (RM65.06 bilion).

 

Pada tahun 2021 ini pula, sehingga suku kedua jumlah pelaburan Indonesia di Malaysia AS$1.16 bilion (RM4.82 bilion).

 

Malaysia perlu untuk menarik lebih ramai pelabur dari Indonesia untuk datang melabur ke Malaysia.

 

Pelaburan Baharu di Indonesia

Dalam masa yang sama, Malaysia terus mengintai peluang dan ruang pelaburan di Indonesia juga. Menyemak situasi semasa, pada suku kedua 2021, pelaburan Malaysia di Indonesia berjumlah AS$12.53 bilion.

 

Malaysia terus mahu mengukuhkan pelaburan negara di negara itu, apabila Malaysia telah “bersetuju” meningkatkan pelaburan Malaysia di Indonesia sebanyak AS$ 3.1 bilion melalui lima memorandum persefahaman (MoU) dan yang akan dimeterai oleh sektor swasta kedua-dua negara.

 

indon

 

Pembangunan Ibu Kota Baharu Indonesia Tarik Pelabur Luar

Pemindahan ibu negara Indonesia terkandung dalam Rancangan Pembangunan Jangka Menengah Nasional Indonesia bermula tahun 2020 hingga 2024.

 

Sebuah ibu negara baru akan dibina antara daerah pentadbiran Penajam Paser Utara dan daerah Kutai Kartanegara di wilayah Kalimantan Timur dengan keluasan kira-kira 125.337 kilometer persegi.

 

Kerajaan Indonesia percaya pemindahan dan pembangunan ibu kota baharu Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan Timur adalah langkah yang tepat.

 

Menurut Ismail Sabri, Malaysia bersedia untuk berkongsi pengalaman berkaitan perkara itu seperti yang pernah lakukan oleh Malaysia pada 25 tahun lalu dengan pemindahan pusat pentadbiran dari Kuala Lumpur ke Putrajaya.

 

Untuk itu, syarikat daripada Malaysia juga bersedia bekerjasama dan turut serta untuk membangunkan projek yang berskala mega berkenaan.

 

Ini satu peluang pelaburan buat syarikat dari Malaysia untuk turut serta dalam proses pemindahan pusat pentadbiran kerajaan Indonesia ini.

 

 

volatiliti
Pameran Motor Antarabangsa Indonesia dianggap antara pameran terpenting di Asia Tenggara kerana pasaran automotif republik itu yang sangat besar.

 

Indonesia dan Industri Automatif Yang Kompetitif

Selain itu, Indonesia juga dilihat memacu kemajuan industri automatifnya dengan baik buat masa kini.

 

Indonesia antara negara ASEAN yang telah bergerak di landasan yang tepat dalam industri automatif. Indonesia telah meletakan sasaran yang jelas bagi mengeluarkan kenderaan elektrik dan menyasarkan lebih banyak stesen pengecasan menjelang tahun 2030.

 

Indonesia  juga menyasarkan kenderaan elektrik (EV) yang  akan menyumbang sehingga 20% daripada jumlah pengeluaran kenderaan di sana menjelang tahun 2025, termasuk 2,200 EV, 711,000 kenderaan hibrid dan 2.1 juta motosikal elektrik.

 

Atas tindakan segera Indonesia ini, telah menyebabkan Malaysia kehilangan pelabur global penting industri automatif apabila Syarikat Hyundai, yang akan memindahkan ibu pejabat serantaunya dari Mutiara Damansara, Malaysia ke Indonesia sebagai sebahagian daripada pembukaan kilang di Bekasi, dengan pelaburan berjumlah AS$1.55 bilion (RM6.27 billion).

 

Bukan setakat Hyundai yang memilih untuk melabur di Indonesia tetapi beberapa syarikat lain turut melakukan hal sama sebagai contoh Toyota dan pengeluar bateri kenderaan EV CATL (syarikat bateri) yang merupakan pembekal kepada Tesla sedang membina kilang bernilai AS$5.1 billion (RM20.6 billion) dengan pengeluaran dijangka bermula pada 2024 di Indonesia.

 

Indonesia terus ingin mengukuhkan kedudukan mereka dalam industri automatif apabila kerajaan Indonesia juga sedang berbincang dengan jenama lain untuk melabur di negara mereka sementara LG Chem juga sedang mengintai untuk membuka kilang bateri di Indonesia jua.

 

Ini sesuatu yang perlu Malaysia perhalusi dan cari jawapannya dari aspek dasar dan polisi industri automatif negara atas “tukar angin” pelabur industri automatif ke Indonesia.


 

volatiliti

 


Peluang Untuk Perkukuhkan Dasar Automatif Kebangsaan

Malaysia perlu terima hakikat yang Malaysia sudah ketinggalan bagi industri automatif. Walaupun fakta ini pahit untuk ditelan, tetapi kita perlu berpijak di bumi yang nyata.

 

Apa dah jadi dengan Dasar Automatif Kebangsaan (NAP) 2020.  Dasar ini tidak menyediakan perincian insentif terhadap pemain industri, ataupun apa-apa perincian jelas berkaitan Projek Kereta Nasional Baru. NAP hanyalah menggariskan perkara-perkara umum berkaitan perihal industri ini.

 

Menurut analisis oleh Maybank Investment Bank Research, Malaysia perlu memperluaskan galakan penggunaan terhadap kenderaan elektrik.

 

Dalam perkara ini, Malaysia jauh ketinggalan di belakang negara-negara jiran yang lain, padahal Malaysia antara pelopor yang mengutamakan kenderaan bersih dan teknologi “hijau” sejak  tahun 2010 lagi.

 

Dalam mengikuti keadaan semasa, NAP perlu merangka pelan jangka masa panjang seperti  “Electric Mobility Blueprint”. Selain tu, NAP juga boleh menilai pembangunan ekosistem teknologi Next Generation Vehicle (NxGV), perluasan sektor Mobility-as-a-Service (MaaS), sokongan terhadap industri automotif tempatan untuk selari dengan Revolusi Industri 4.0 serta untuk mengurangkan pembebasan karbon.

 

NAP perlu  mengambil iktibar dengan apa yang dah jadi. Peluang pelaburan yang ada di Indonesia boleh “digunakan” untuk memperkasakan semua NAP negara.

 

 

volatiliti

 

 

Jangan Kera Di hutan Disusukan

Apabila hubungan pelaburan dan dagangan dieratkan antara dua negara, banyak kerjasama lain yang akan dimeterai juga.

 

Malaysia dan Indonesia juga dijangka akan bersetuju untuk melaksanakan koridor perjalanan antara kedua-dua negara melalui aturan Travel Corridor Arrangement atau Vaccinated Travel Lane. Malaysia-Indonesia akan mengumumkan pembukaan sempadan antara Malaysia dan Indonesia

 

Selain itu, kerajaan Malaysia memberi jaminan mengenai pekerja Indonesia di Malaysia, dengan jaminan untuk terus memelihara kebajikan dan perlindungan rakyat Indonesia yang bekerja di Malaysia.

 

Pekerja Indonesia akan dijamin keselesaan penginapan pekerja melalui Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

 

Tak salah nak jaga kebajikan pekerja luar contohnya pekerja Indonesia, tetapi kerajaan Malaysia juga perlu menjamin hak yang sama untuk pekerja rakyat negara ini. Tidak kira daripada peluang pekerjaan, keselesaan penginapan dan sebagainya. Janganlah kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan!

 

Segera Selesaikan Isu Laut China Selatan

Jika Malaysia mahu menjadikan Indonesia antara rakan dan pelaburan yang boleh membawa manfaat kepada negara, Malaysia perlu segera menyelesaikan isu berkaitan Laut China Selatan.

 

Malaysia perlu segera dan terus komited untuk mencapai penyelesaian bagi memuktamadkan pembatasan sempadan maritim.

 

Sebaiknya biarlah Laut China Selatan kekal menjadi laluan perdagangan dan perairan yang aman.

 

 

volatiliti

 

 

Pertahankan Hak dan Kedaulatan Negara

Perbincangan boleh dilakukan dengan Indonesia bagi menyelesaikan masalah ini. Namun begitu, bagi perbincangan secara aman, perbincangan  perlu merujuk kepada 'universally recognised principles of international law' (prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf) termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung Undang-Undang Laut 1982.

 

Ia bukan soal Malaysia tidak boleh bertolak-ansur. Ia adalah bagi mengelakkan tindakan yang boleh menimbulkan ketegangan dan bersifat provokatif dan sebarang pertikaian mengenai isu Laut China Selatan ini.

 

Bukan apa, pengalaman Malaysia dan Singapura tentang Pulau Batu Putih perlu dijadikan pengalaman dalam menyelasaikan isu ini.

 

Malaysia perlu berpegang teguh demi mempertahankan keutuhan wilayah, hak kedaulatan dan kepentingan negara. Pelaburan, pelaburan juga,  hak dan maruah negara wajar dipertahankan!

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

 

Portfolio Tags