Kenapa perlu sentiasa berubah dari semasa ke semasa? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 23 May 2022
Wasiyyah

KENAPA PERLU SENTIASA BERUBAH DARI SEMASA KE SEMASA ?

 

 

 

SELEPAS mengharungi musim kesesakan lalu lintas balik kampung, kini jalan di kawasan bandar pula sesak setiap hujung minggu kerana jemputan rumah terbuka yang sangat banyak dari sanak saudara dan kawan-kawan. Alhamdulillah, kita dah balik semula kepada norma biasa selepas endemik walaupun keadaan ekonomi agak mencabar dan ayam pun sukar dicari.

 

Di dalam sesi-sesi rumah terbuka ini, di antara topik perbualan yang ditanyakan oleh kawan-kawan ialah apakah cabaran utama kepada Wasiyyah Shoppe Berhad di dalam memastikan semua dokumen perancangan harta yang kami buat menepati hukum syarak, undang-undang Syariah dan relevan kepada undang-undang sivil yang berkenaan pada setiap masa.

 

Sebagai pelopor kepada industri perancangan harta di Malaysia, cabaran paling besar yang kami telah, sedang dan saya percaya yang akan sentiasa kami hadapi ialah perubahan undang-undang dan peraturan yang akan mengubah proses perundangan dan tuntutan harta yang ditinggalkan si mati.

 

Sebagai contoh, Wasiyyah Shoppe Berhad dan juga syarikat amanah yang lain mempunyai satu perkhidmatan ‘absolute assignment’. Fungsinya ialah peserta takaful boleh ‘assign’ polisi mereka kepada Wasiyyah Shoppe Berhad dan selepas kematian atau keilatan kekal, wang itu akan diterima oleh Wasiyyah Shoppe Berhad dan kami akan menguruskan wang itu mengikut arahan yang telah ditetapkan oleh peserta takaful bagi manfaat orang-orang yang dikehendakinya. 

 

Borang ‘absolute assignment’ ini perlu dimatikan dengan setem hasil di pejabat LHDN untuk menjadikan transaksi ini sah di sisi undang-undang. Sebelum ini hanya setem hasil bernilai RM10 sahaja yang diperlukan bagi tujuan ini namun beberapa bulan lepas, LHDN telah mengubah polisi dan mula mengenakan duti ad valorem (mengikut nilai polisi).

 

Ada pelanggan Wasiyyah Shoppe Berhad yang ingin membuat ‘absolute assignment’ telah ditetapkan oleh LHDN untuk membayar RM92,000 duti ad valorem jika mahu melaksanakan transaksi ini sedangkan pelanggan itu baru membayar beberapa ribu RM sahaja untuk premium polisi itu.

 

Kerana kos yang sangat mahal ini pelanggan telah membatalkan hasratnya. Bila berlaku perubahan polisi ini, perkhidmatan ‘absolute assignment’ Wasiyyah Shoppe Berhad juga terpaksa dihentikan. Ini hanya satu contoh perubahan yang terpaksa dibuat kerana perubahan polisi.

 

Dalam contoh yang lain, ASNB juga telah mengubah polisi pewarisan dana pelaburan mereka semenjak beberapa tahun lepas. Semua pelabur kini akan mempunyai nombor akaun yang sama bagi semua dana pelaburan mereka.

 

Dahulunya, semua akaun ini mempunyai nombor akaun yang berbeza jadi pelabur boleh untuk mewariskan (melalui kaedah hibah amanah ASNB atau kaedah Kasihku Wasiyyah Shoppe Berhad) akaun tertentu kepada orang yang berbeza. Contohnya Ali boleh menghibahkan akaun ASBnya kepada anak sulung dan akaun ASD kepada anak kedua.

 

 

asnb

 

 

Tetapi dengan perubahan polisi pewarisan mereka, kaedah ini tidak lagi boleh dibuat. Kesemua akaun ASB dan ASDnya perlu digabungkan dan jumlah keseluruhan dana itulah yang akan dibahagikan kepada anak sulung dan anak kedua mengikut formulanya.

 

Perubahan polisi ini pula melibatkan perubahan format dan SOP kerja di Wasiyyah Shoppe Berhad jika ada pelanggan kami yang mahu mewariskan akaun pelaburan mereka di ASNB mengikut formula yang tidak selari dengan polisi ASNB.

 

Format dan SOP juga perlu berubah dari semasa ke semasa apabila berlaku  pindaan undang-undang. Contohnya pindaan Akta Pembahagian Pusaka Kecil 2020 yang merangkumi enam pindaan utama.

 

Kalau dahulu mereka yang meninggalkan nilai harta pusaka di bawah RM2 juta sahaja yang akan dibicarakan di Pejabat Pusaka Kecil, apabila pindaan ini dikuatkuasakan atas arahan Menteri, mereka yang meninggalkan harta pusaka sehingga bernilai RM5 juta juga boleh dibawa kesnya untuk dibicarakan di Pejabat Pusaka Kecil.

 

Sekali lagi Wasiyyah Shoppe Berhad perlu mengubah SOP kerjanya bagi memenuhi keperluan ini.    

 

 

Wasiyyah

 

 

Wasiyyah Shoppe Berhad mula memperkenalkan hibah kepada masyarakat Malaysia semenjak 2004. Format dokumen hibah yang dibangunkan oleh Panel Syariah kami sesuai dengan perkembangan undang-undang Syariah pada ketika itu.
 

Namun semenjak daripada itu, terdapat banyak perubahan terutamanya dari segi peraturan, penyelidikan dan kefahaman para hakim Mahkamah Syariah mengenai hibah.

 

Terdapat juga kes-kes baru hibah yang alasan penghakimannya membawa pandangan dan perspektif baru yang memberi kesan signifikan kepada perkhidmatan kami.

 

Oleh itu Wasiyyah Shoppe Berhad sentiasa mengambil inisiatif untuk menyemak semula format dokumen dan SOP kami bagi diselarikan dengan perkembangan-perkembangan terbaru ini.

 

Tanggungjawab semakan semula ini digalas oleh Jawatankuasa Teknikal Syariah kami yang terdiri dari pakar-pakar di dalam hukum Syarak. Hasil semakan dan cadangan penambahbaikan kemudiannya akan dibawa ke Panel Syariah untuk kelulusan.

 

Selepas semua proses ini selesai barulah di pihak pengurusan, Jawatankuasa Pembangunan Perkhidmatan akan memainkan peranan untuk melihat kepada pelaksanaan perubahan format dokumen,  perubahan sistem dan perubahan SOP kerja.

 

Apabila semua proses di atas telah dilalui, maka Wasiyyah Shoppe Berhad akan berhubung semula dengan pelanggannya untuk membantu mereka mengemaskini dokumen perancangan harta mereka mengikut format dan SOP terbaru.

 

 

Wasiyyah

 

 

Kalau ditanya kepada saya susah atau senang tanggungjawab ini, jawapan saya ialah nak memperkenalkan perkhidmatan baru adalah jauh lebih mudah.

 

Namun ia mesti dilaksanakan kerana 80,000 orang pelanggan ini telah memberi amanah kepada kami bagi melaksanakan dokumen perancangan harta secara Syariah mereka.

 

Kami berakauntabiliti untuk memastikan semua hasrat mereka dapat dicapai. Untuk mencapai tujuan itu, kami perlu sentiasa memastikan apa yang kami buat relevan dan berkuatkuasa pada setiap masa. Kami faham amanah ini akan dipertanggungjawabkan kepada kami baik di dunia mahupun di akhirat.

 

Semoga Allah menerima kerja-kerja kami ini sebagai sebahagian dari amal kebaikan yang akan membantu kami di akhirat kelak, aameen.

 

 

ariffinsabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad

 

ariffinsabirin

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

Portfolio Tags