Kenapa saya merancang pewarisan perniagaan? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 23 August 2021
Wasiyyah

KENAPA SAYA MERANCANG PEWARISAN PERNIAGAAN?

 

 

BEBERAPA hari ini di dada akhbar dan di media sosial, kita dihidangkan dengan kisah tuntutan seorang ibu ke atas saham anaknya yang telah meninggal dunia. Mahkamah telah memutuskan ibu ini berhak ke atas saham itu dengan nilai saham yang disahkan boleh dituntut ibu itu mencecah sehingga RM1 bilion!

 

Ramailah orang yang komen macam-macam tentang ibu itu. Pada usia lebih 80 tahun, nak buat apalah si ibu menuntut saham milik Allahyarham anaknya itu. Bukannya dia berkeupayaan pun untuk menjadi seorang pemegang saham profesional yang mampu menyumbang kepada syarikat. Nak buat apalah dia beria-ria berebut saham perniagaan itu dengan menantu dan cucunya. Patutnya tak payahlah tuntut, kasihankanlah cucu-cucunya.

 

Di sinilah ramai ahli perniagaan Islam di Malaysia salah faham atau mungkin tak mahu faham. Saham yang dipegangnya di dalam sesuatu syarikat adalah merupakan sebahagian dari harta pusakanya bila dia mati. Kedudukan saham itu sama seperti kedudukan rumah, wang tunai, kereta, jam Rolex dan segala yang dimiliki ahli perniagaan itu. Semuanya adalah harta pusaka dan ia adalah milik sah waris mengikut hukum faraid. Waris tersebut bukanlah pasangan dan anak-anak sahaja tetapi termasuklah ibu dan bapa simati.

 

Jadi tuntutan si ibu terhadap saham anaknya yang bernilai RM 1 bilion itu adalah tuntutan yang sah mengikut hukum faraid. Memang saham itu miliknya bila anaknya mati. Tiada sesiapapun yang boleh menyangkal hakikat ini. Kerana itulah mahkamah meluluskan tuntutannya.  Isu apa dia nak buat apa dengan saham itu sebenarnya tidak relevan untuk didebatkan oleh masyarakat. Memang itu hak dia kecualilah dia dengan rela hati melepaskan hak itu kepada waris faraid yang lain seperti pasangan atau anak-anak simati. Jadi saya harap jangan kita komen lebih-lebih mengenai si ibu itu.

 

SAYA DAH ADA PEGUAM

Ramai ahli perniagaan yang saya jumpa di dalam perjalanan 23 tahun saya di dalam industri perancangan harta dan pengurusan pusaka di Malaysia, bila ditanya soalan sudah merancang pewarisan perniagaan atau belum,  akan sentiasa menjawab, “Saya ada peguam. Dia akan uruskan segalanya.”

 

 

Wasiyyah

 

 

Memanglah saya tahu ramai ahli perniagaan ada peguam, tetapi dia kena tahu adakah peguam dia merupakan peguam sivil yang menasihatkan dia hal-ehwal pengurusan korporat seperti ‘merger and acquisition’, urusan ‘joint venture’ dengan rakan niaga atau urusan-urusan komersial yang lain atau peguam ini juga menasihatkan dia tentang strategi pewarisan perniagaan?

 

Kes perebutan saham yang saya ceritakan di awal artikel ini melibatkan seorang usahawan dengan nilai portfolio perniagaannya mencecah berbilion ringgit. Saya percaya dengan intensiti perniagaan seperti itu, dia juga dikelilingi puluhan malah mungkin ratusan peguam untuk pelbagai keperluannya. Kenapa tidak ada seorang pun dari peguam yang ramai-ramai itu menasihatkan dia supaya merancang pewarisan perniagaan? Tidak adakah apa-apa bentuk dokumen bertulis yang dibuat bagi tujuan pewarisan perniagaannya? Kenapa selepas ketiadaannya, sahamnya menjadi rebutan dan menjadi asbab keluarganya berbalah dan berpecah-belah hari ini?

 

TERLALU SIBUK

Ramai ahli perniagaan yang saya jumpa merasakan perancangan pewarisan perniagaan ini tidak penting dan boleh dibuat bila ada masa lapang nanti. Hakikatnya seorang ahli perniagaan itu memang tidak pernah akan ada masa lapang. Pelbagai peluang atau cabaran perniagaan akan sentiasa mendatanginya setiap hari. Ada sahaja perkara yang mesti didahulukan setiap hari. Saya tahu sebab saya pun seorang ahli perniagaan dan itulah realiti hidup saya.

 

Namun kerana terlalu sibuk itu jugalah yang menyebabkan ahli perniagaan sentiasa terfikir perancangan pewarisan perniagaan ini tidak penting atau tidak ‘urgent’ berbanding urusan mengumpulkan keuntungan syarikat. Mereka tidak faham atau sengaja tidak mahu faham bahawa dalam keadaan dunia dilanda pandemik COVID-19, semua orang berisiko untuk mati dalam tempoh waktu yang cepat. Hari ini kita riang berbual berzoom atau bervideo WhatsApp dengan kawan kita, minggu depan kita dengar kawan itu sudah pun meninggal dunia kerana jangkitan COVID-19. Ahli perniagaan, ahli parlimen, bangsawan sehinggalah rakyat marhaen, semuanya berisiko dijangkiti dan mati darinya.

 

Sungguh malang bila perniagaan yang dibina puluhan tahun, yang menjadi tempat mencari rezeki puluhan malah mungkin ribuan pekerja terjejas, terpaksa ditutup atau dijual kepada pihak ketiga apabila pengasasnya mati. Risiko ini wujud dan jelas kepada semua ahli perniagaan termasuk saya sendiri bila saya mati kelak.

 

Beza saya dengan kebanyakan ahli perniagaan di luar sana ialah saya sudah pun merancang pewarisan perniagaan saya. Bila saya mati kelak, Insya-Allah siapa yang bakal memiliki saham perniagaan saya sudah pun jelas kerana saya sudah pun menghibahkan saham saya kepadanya. Di mana pula kedudukan anak-anak saya di dalam syarikat juga sudah tertulis dengan jelas. Tiada mana-mana pihak pun boleh menuntut dan mendakwa saham itu milik mereka. Isu seperti kes yang saya ceritakan di awal artikel ini Insya-Allah tidak akan berlaku kepada saham milik saya.

 

KENAPA SAYA MERANCANG PEWARISAN PERNIAGAAN SAYA?

Kenapa saya sebagai ahli perniagaan yang memiliki saham bersungguh-sungguh merancang pewarisan perniagaan saya? Pertamanya ialah kerana saya tahu betapa susahnya saya ingin membangunkan perniagaan ini. Saya telah berkorban segala-galanya harta, masa, tenaga malah darah dan air mata selama belasan tahun untuk membawa syarikat saya sehingga ke tahap ini.

 

Apabila saya mati kelak, saya mahukan waris-waris saya mendapat manfaat dari perniagaan yang saya telah bertungkus-lumus membinanya selama ini. Manfaat itu ialah di dalam bentuk dividen atau bentuk manfaat yang lain. Saya mahukan manfaat itu boleh digunakan untuk tujuan kebajikan mereka seperti  untuk menampung kos pendidikan, perubatan atau menjaga kebajikan mereka dari aspek yang lain.    

 

 

Wasiyyah

 

 

Namun saya juga realistik bahawa bukan semua waris saya mempunyai ilmu pengetahuan untuk menguruskan syarikat saya yang sangat kompleks dan sofistikated ini. Jika mereka mewarisi saham saya dan kemudiannya menguruskan syarikat, ada kemungkinan mereka tersilap membuat keputusan yang mungkin menjejaskan syarikat dan pemegang taruh lain. Oleh itu saya melantik profesional yang berkelayakan untuk menguruskan syarikat mengikut tadbir urus korporat terbaik. Walaupun memiliki hak, waris-waris saya tidak boleh masuk campur pengurusan syarikat. Ini menjamin syarikat akan terus beroperasi tanpa gangguan dan berpotensi untuk berkembang pada masa yang akan datang.

 

Saya juga mahukan syarikat terus beroperasi dengan lancar selepas kematian saya kerana saya tahu selain waris-waris, ada pihak lain juga yang merupakan pemegang taruh kepada syarikat saya. Pemegang saham lain, ahli Lembaga pengarah, kakitangan, para daie Wasiyyah Shoppe Berhad dan pastinya pelanggan yang berpuluh ribu orang ini, semuanya mengharapkan mereka akan terus mendapat manfaat dari perkhidmatan kami. Matlamat saya ini hanya boleh dicapai jika saya merancang pewarisan perniagaan saya. Alhamdulillah itu semua sudah saya siapkan dengan sempurna.  

 

Wahai ahli perniagaan yang memiliki saham syarikat di luar sana, sudahkan anda merancang pewarisan perniagaan anda? Jika belum, janganlah berlengah kerana maut bisa menjemput kita pada bila-bila masa. Mari ke Wasiyyah Shoppe Berhad, kami bantu uruskan.               

 

Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad

 

 

ariffinsabirin

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

 

Portfolio Tags