Kerajaan berhasrat teruskan program pembangunan francais mikro dan mampu milik - PM | DagangNews Skip to main content

Kerajaan berhasrat teruskan program pembangunan francais mikro dan mampu milik - PM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Dis - Kerajaan berhasrat meneruskan program pembangunan francais mikro dan mampu milik pada tahun hadapan bagi memastikan lebih ramai menerima manfaatnya terutama dari kumpulan B40 dan M40.
 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program pembangunan francais mikro dan mampu milik yang diperkenalkan kerajaan tahun ini dengan tujuan membantu golongan B40 dan M40 melibatkan diri dalam industri francais mendapat sambutan yang menggalakkan.

 

Katanya, sehingga kini 144 permohonan daripada francaisor dan potensi francaisi bernilai lebih RM22 juta telah diterima untuk diproses bagi program di bawah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu.

 

“Lapan francaisor dan 29 francaisi telah mendapat bantuan kerajaan menerusi program itu dengan peruntukan tahun semasa berjumlah RM4.5 juta,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Anugerah Francais Malaysia 2021 ke-23 (MAF 2021), di sini malam tadi.

 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada 6 April lepas mengumumkan pakej geran program berkenaan yang bertujuan membangunkan lebih banyak pakej francais bernilai RM100,000 ke bawah, serta meningkatkan bilangan pemain industri fancais daripada golongan B40 dan M40.

 

Ismail Sabri berkata, kejayaan program francais mikro dan mampu milik itu merupakan sebahagian daripada petunjuk prestasi utama (KPI) 100 Hari Jemaah Menteri yang dinilai di bawah Aspirasi Keluarga Malaysia.

 

pmm

 

Beliau berkata, industri francais telah menyediakan lebih 80,000 pekerjaan dengan nilai sumbangan melebihi RM1.4 bilion dalam kitaran ekonomi setahun melalui pembayaran gaji kepada para pekerja di syarikat francais.

 

pmn

 

Sehingga 30 November lalu, nilai jualan industri francais telah mencecah RM14.6 bilion, peningkatan hampir 10% berbanding tahun sebelumnya walaupun tahun kewangan semasa belum berakhir dan dunia masih berdepan pandemik COVID-19, katanya.

 

Beliau berkata, Malaysia seharusnya berbangga kerana jenama francais tempatan telah berjaya bertapak di lebih 70 negara dengan Arab Saudi menjadi negara terbanyak mempunyai outlet jenama francais Malaysia dengan sebanyak 744 outlet, diikuti Indonesia (670 outlet) dan Amerika Syarikat sebanyak 424 outlet. - DagangNews.com