Kerajaan digesa lindungi rakyat daripada terpaksa pilih produk pasaran gelap | DagangNews Skip to main content

Kerajaan digesa lindungi rakyat daripada terpaksa pilih produk pasaran gelap

SEBUAH kereta penyeludup yang sarat barang berjaya dipintas oleh Agensi Kawalan Sempadan Malaysia. Gambar AKSEM

 

 

KUALA LUMPUR 26 Nov – Meningkatkan tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa dan kempen pendidikan konsumer diperluaskan adalah sangat genting untuk mengekang kemungkinan peningkatan barangan pasaran gelap, berpunca daripada kenaikan kos barangan asas dan penurunan hasil pendapatan yang dibebani rakyat sekarang, kata kumpulan advokasi konsumer global, Consumer Choice Center (CCC).

 

Ulasan daripada CCC adalah berikutan laporan berita bahawa pemilik kedai kopi terpaksa menaikkan harga disebabkan kenaikan harga produk asas seperti susu pekat dan susu cair, gula dan beg plastik, yang akhirnya mengakibatkan kenaikan kos operasi mereka.

 

Pengarah Urusan CCC, Fred Roeder berkata, kenaikan harga barangan asas mungkin satu petunjuk inflasi berasas luas bakal berlaku disebabkan regim kadar faedah yang rendah.

 

Menurut beliau, ia menjadi satu masalah bila pendapatan isi rumah belum pulih daripada impak krisis COVID-19 dan konsumer yang berpendapatan rendah akan semulajadi beralih kepada alternatif lebih murah untuk membeli barangan dan perkhidmatan harian mereka.

 

"Kami percaya bahawa sindiket jenayah akan mengambil kesempatan daripadanya untuk menambah bekalan produk pasaran gelap ke dalam pasaran Malaysia, dan mereka mampu melakukannya berikutan pembukaan sempadan antara negeri dan tidak lama lagi, antara negara.

 

"Selain daripada barangan asas seperti beras dan minyak masak, kami menjangkakan kemasukan besar rokok seludup ke dalam Malaysia.

 

‘’Agak memeranjatkan, harga rokok seludup, yang menguasai hampir 60% pasaran, turut naik harga dan menjadikan sindiket jenayah kaya-raya dengan meraih margin keuntungan lebih tinggi.’’

 

"Walaubagaimanapun, perbezaan harga antara rokok seludup dengan rokok sah kekal jauh berbeza disebabkan duti eksais tembakau di Malaysia yang sangat tinggi,'' kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.


 

Fred Roeder
Fred Roeder

 

Fred menyarankan agar Kerajaan Malaysia mengukuhkan langkah-langkah penguatkuasaan, sama ada daripada segi perundangan lebih ketat atau mengguna pakai teknologi baharu dan dipertingkatkan. Secara keseluruhannya, berfikirlah di luar kotak untuk meneroka kaedah baharu bagi memerangi pasaran gelap dan melindungi konsumer dengan produk berkualiti dan lebih selamat.

 

Sebagai tambahan, kata Roeder, kerajaan hendaklah bertindak sekarang untuk menutup lebih banyak ketirisan akibat pasaran gelap. Sementara kempen Beli Barangan Malaysia boleh membantu sektor peruncitan, seharusnya ada juga kempen di seluruh negara bagi mendidik konsumer supaya tidak membeli produk kontraban.

 

Consumer Choice Center adalah kumpulan advokasi konsumer yang menyokong kebebasan gaya hidup, inovasi, privasi, sains dan pilihan konsumer. Bidang dasar utama yang jadi tumpuan CCC adalah digital, mobiliti, gaya hidup &  barangan konsumer, serta kesihatan & sains.

 

CCC mewakili konsumer di lebih 100 negara di seluruh dunia dan memantau dengan teliti trend perundangan di Kuala Lumpur, Ottawa, Washington, Brussels, Geneva dan hotspot perundangan lain dan memaklumkan serta mengaktifkan konsumer untuk memperjuangkan pilihan konsumer atau #ConsumerChoice. Lawat consumerchoicecenter.org untuk maklumat lanjut. – DagangNews.com