Kerajaan tidak cadang tambat ringgit kepada dolar AS - Tengku Zafrul | DagangNews Skip to main content

Kerajaan tidak cadang tambat ringgit kepada dolar AS - Tengku Zafrul

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) tidak bercadang untuk menambat ringgit kepada dolar Amerika Syarikat (AS) kerana langkah itu mempunyai risiko dan penggantian (trade-off) besar, yang bermakna ia bukan satu dasar terbaik untuk ekonomi Malaysia.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, seandainya tambatan dilaksanakan, Malaysia perlu mengikut sepenuhnya dasar monetari negara yang mata wangnya menjadi ‘rujukan’ atau asas bagi tambatan ringgit.

 

Beliau berkata, BNM merupakan pihak berkuasa tunggal yang mengeluarkan mata wang ringgit yang sah diperlakukan di Malaysia dan berperanan menentukan dasar melibatkan kadar pertukaran ringgit. 

 

"Contohnya, jika ringgit ditambat kepada dolar AS dan seandainya kadar faedah Rizab Persekutuan meningkat sebanyak 325 mata asas (atau 3.25%) secara keseluruhan pada 2022, maka Kadar Dasar Semalaman (OPR) juga perlu dinaikkan pada kadar yang sama meskipun Malaysia berada pada tahap pemulihan ekonomi dan tekanan inflasi yang berbeza daripada AS.

 

"Dalam hal ini, Malaysia akan menghadapi kekangan untuk menetapkan dasar monetari dan rakyat pula terpaksa menanggung kos pembiayaan yang tinggi walaupun keadaan ekonomi negara kita tidak sama seperti di AS.

 

"Sekiranya langkah tambatan tersebut dilaksanakan, ia perlu dilengkapi dengan langkah kawalan modal bagi mengelakkan pengaliran keluar modal. Namun begitu, tindakan ini akan menjejaskan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Senator Md Nasir Hashim yang meminta Menteri Kewangan menyatakan adakah Kementerian Kewangan akan menetapkan nilai pertukaran ringgit Malaysia dengan Dolar AS bagi menstabilkan ringgit di Dewan Rakyat hari ini.

 

 

zafrul
Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz

 

 

Menurut Tengku Zafrul, kadar pertukaran ringgit yang fleksibel pada masa ini merupakan satu dasar yang penting bagi mengimbangi keperluan untuk menyerap kejutan luaran dengan kepentingan untuk menyokong aktiviti ekonomi domestik, meskipun dalam keadaan pasaran kewangan dan kadar pertumbuhan ekonomi global yang tidak menentu.

 

"Sehubungan itu, kerajaan menerusi BNM akan sentiasa memastikan keadaan pasaran kewangan yang stabil dan lancar, dan mengambil langkah-langkah proaktif untuk memastikan kecairan yang mencukupi serta pasaran yang berdaya tahan dan mendalam untuk mencegah ketidakstabilan nilai ringgit.

 

"Pemantauan berterusan juga dilaksanakan oleh BNM untuk memastikan keadaan yang teratur dalam pasaran pertukaran asing dan mengelakkan turun naik yang ketara dalam kadar pertukaran ringgit," katanya.

 

Sehubungan itu katanya, kerajaan akan terus menguruskan risiko-risiko perkembangan domestik dan luaran, dan BNM juga bersedia menggunakan instrumen dasar operasinya bagi memastikan keadaan yang teratur dalam pasaran pertukaran asing untuk mengelakkan turun naik yang ketara dalam kadar pertukaran ringgit.

 

"Saya juga ingin menekankan di sini bahawa kekuatan mata wang sesebuah negara juga bergantung kepada asas-asas ekonomi yang kukuh. 

 

"Pada asasnya, ekonomi negara kekal di landasan yang kukuh, disokong oleh permintaan domestik dan luaran yang teguh serta harga komoditi global yang meningkat. Kesemua ini telah dicerminkan oleh Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada suku pertama tahun ini yang meningkat sebanyak 5.0%, dan dijangka terus berkembang lebih baik pada suku kedua," katanya. - DagangNews.com