Kerana 'nila setitik' dalam kewangan Islam | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 22 June 2021

Kerana 'nila setitik' dalam kewangan Islam

 


KENAPAKAH masih ada pengguna produk dan perkhidmatan kewangan Islam yang marah dan kecewa dengan pelaksanaan sistem kewangan Islam di institusi-institusi kewangan Islam, walaupun ia mendatangkan banyak manfaat kepada mereka? 

 

Inilah satu persoalan yang masih menghantui para sarjana dalam industri kewangan Islam.

 

Penulis tidak menafikan bahawa masih ramai pengguna perbankan Islam yang masih tidak selesa dan ada di antara mereka merasa kecewa dengan cara institusi-intitusi kewangan menawarkan produk kewangan Islam dan perkhidmatan serta melayan para pengguna mereka. 

 

Isu muram ini timbul sehinggakan ada dalam kalangan pengguna sanggup menuduh perbankan Islam itu sendiri yang tidak Islamik.  

 

Malah penulis ada menerima ungkapan seperti "… lebih 'kapir' dari yang kafir …". Astagfirullah.

 

 

Salah siapa?

 

Ingin penulis tegaskan bahawa sebenarnya segala aturcara dan produk kewangan Islam yang dilaksana dalam industri kewangan negara sebenarnya sudah patuh syariah, tanpa ragu-ragu. Sudah Islamik 100%. 

 

Produk dan perkhidmatan ini telah disahkan oleh jabatan syariah bank, komuniti syariah bank yang bebas dan seterusnya Majlis Penasihat Syariah (MPS) Bank Negara Malaysia (BNM). 

 

Tiga lapisan saringan dilakukan sebelum produk dan perkhidmatan dibenar untuk ditawarkan oleh institusi kewangan kepada para pengguna.

 

Bagi penulis, salah satu faktor yang menimbulkan isu malang sedemikian dan seterusnya menjejaskan nama baik kewangan Islam ini, ialah kerana masih ada kegagalan di pihak institusi-institusi kewangan itu sendiri melaksanakan aturcara dan produk yang ditawar sepertimana digariskan oleh prosedur operasi standard (SOP) dan manual pengoperasian yang ditetapkan. 

 

Kedegilan beberapa person-in-charge (PIC) untuk menurut SOP dan manual yang disahkan oleh pihak komuniti syariah institusi-institusi kewangan itu sendiri yang mencetuskan masalah ini.

 

Nila setitik dua inilah yang sebenarnya telah merosakkan susu sebelanga dalam industri kewangan Islam.

 

Disebabkan mereka, keseluruhan sistem kewangan Islam telah tercalit dengan isu ini. 

 

 

 Jadi lebih bertanggungjawab

 

 

Ingatlah, bahawa, para pengguna di luar sana tidak mahir dan kurang faham tentang aturcara dan produk kewangan Islam. 

 

Yang mereka tahu, produk dan kewangan Islam mestilah perfect, tidak ada cacat cela dan mendatangkan manfaat kepada mereka. 

 

Maka, para pegawai institusi kewangan Islam haruslah merasa bangga dan faham hasrat para pengguna ini. 

 

Jadilah 'galah untuk menjolok buah cempedak yang di luar pagar' itu agar 'budak yang baru belajar' faham dan menghargai ketelusan kewangan Islam. 

 

Pengguna-pengguna yang tidak puas hati biasanya akan memberikan komentar jika produk itu menekan mereka walaupun sebenarnya produk tersebut tidak pernah menekan pengguna.

 

Kes-kes rumah terbengkalai, produk Islam mahal dan tuntutan bank keterlaluan jika pengguna gagal langsaikan bayaran bulanan adalah antara isu panas yang sering dibangkitkan.

 

 

kewangan islam

 

 

Ada penyelesaian

 

Sebenarnya, semua isu sebegini sudah pun ada penyelesaiannya untuk dijelaskan kepada pelanggan terlibat. 

 

Namun, mungkin ada pengendali dalam institusi kewangan masih tidak fasih atau sengaja tidak ambil peduli untuk menerangkan kepada pengguna, jawapan yang telah tersedia kepada isu-isu tersebut.

 

Pihak BNM, Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) menggembleng mempelbagai usaha untuk mempastikan aturcara dan produk kewangan Islam dilakukan mengikut procedur yang telah ditetapkan, namun ada sebilangan pihak tertentu masih gagal untuk ambil kisah tentang perkara ini.

 

Penulis merayu dan menyarankan kepada para pegawai institusi kewangan Islam dalam industri agar mereka sedar bahawa sebagai ejen dan dae industri kewangan Islam, rasa tanggungjawab sosial perlu tersemat di sanubari mereka. 

 

Mohon agar mereka sama-sama berusaha untuk mendapatkan latihan dalam meningkatkan kecekapan diri serta fasih dalam aturcara kewangan Islam agar mereka dapat memberi khidmat dan penerangan terbaik kepada para pengguna. 

 

Pengguna yang gembira akan terus memilih untuk setia dengan institusi kewangan mereka. 

 

Bila pengguna-pengguna gembira, nama institusi kewangan kita juga akan disebut-sebut dan dipuji. 

 

Bila nama semua institusi kewangan Islam dipuji maka industri kewangan Islam kita akan harum di persada negara. Pahala dicipta untuk kita semua. Nyahkan 'nila yang setitik' itu. - DagangNews.com

 

 

Dr Razli Ramli merupakan seorang Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

 

 

 

 

Portfolio Tags