Kestabilan monetari bagi mengukuhkan Ringgit | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 27 January 2021

Kestabilan Monetari Bagi mengukuhkan Ringgit

 

 

KESTABILAN monetari merujuk kepada kestabilan mata wang Malaysia iaitu Ringgit. Kestabilan Ringgit ini amat penting bagi kestabilan kewangan negara. Kestabilan ringgit akan memberi kesan terhadap ekonomi yang melibatkan kos yang tinggi disebabkan kesan penularan atau limpahan kepada bahagian ekonomi yang lain.

 

Sebagai contoh, Ringgit mengukuh berbanding Dolar Amerika Syarikat (USD), nilai eksport negara akan meningkatkan ekonomi namun nilai dagang akan menurun kerana kelemahan mata wang USD. Dalam pada masa yang sama keuntungan syarikat yang menjalankan perniagaan eksport juga akan menurun.

 

Di Malaysia, Bank Negara adalah badan yang bertanggungjawab untuk melaksanakan tanggungjawabnya menggalakkan sistem kewangan Malaysia yang kukuh dan cekap dengan memelihara keutuhan institusi kewangan dan kekukuhan infrastruktur kewangan bagi membolehkan negara menghadapi kitaran ekonomi yang baik. Bank Negara Malaysia telah ditubuhkan pada 24 Januari 1959 berobjektif:
 

  • menggalakkan kestabilan monetari dan struktur kewangan yang kukuh
     
  • bertindak sebagai jurubank dan penasihat kewangan kepada Kerajaan
     
  • menerbitkan mata wang dan menyimpan rizab bagi menjaga nilai mata wang tersebut
     
  • mempengaruhi kedudukan kredit bagi kepentingan negara
BNM

 

 

Kini, peranan dan tanggungjawab Bank Negara Malaysia telah berkembang dan diperluaskan dengan memberi tumpuan kepada 3 tonggak peranan bank pusat iaitu, kestabilan monetari, kestabilan kewangan dan sistem pembayaran.

 

BACA VOLATILITI : PERMAI: suntikan fiskal bantu rakyat, rancakkan ekonomi

 

Di samping itu, keutamaan adalah diberikan kepada peranan pembangunan yang dimainkan oleh Bank Negara Malaysia dari aspek pengurusan ekonomi, pembinaan institusi dan pembangunan sistem kewangan. 

 

Dalam keadaaan ekonomi dunia yang mengalami proses pemulihan akibat wabak COVID-19, Bank Negara Malaysia terus bertanggungjawab mengekalkan kestabilan monetari negara.  Kaedah yang baik untuk melindungi nilai ringgit ialah dengan mengekalkan kestabilan harga, iaitu dengan menentukan inflasi di Malaysia berada pada tahap yang rendah.

 

BNM

 

 

Terbaru Bank Negara pada Mesyuarat Jawatankuasa Monetari (MPC) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) tidak berubah pada 1.75 peratus akan memberi sokongan kepada ringgit.  

 

OPR menyusut dari 2.50 peratus semenjak 3 Mac 2020 yang lalu.  Menurut Bank Negara Malaysia, peningkatan semula kes COVID-19 dan pengenalan langkah pembendungan bersasar telah mempengaruhi momentum pemulihan ekonomi.

 

Kadar OPR yang rendah mempunyai kesan domino iaitu kadar faedah lebih rendah dan ini bertujuannya menggalakkan konsumer berbelanja dan meminjam, seterusnya merangsang ekonomi negara.

 

Ini secara langsung akan membantu rakyat membayar kadar faedah pada tahap yang lebih rendah dan sekaligus akan meningkatkan simpanan rakyat di negara ini.

 

Selain itu ia juga akan meningkatkan semula aliran tunai perbelanjaan rakyat kerana pengurangan kadar faedah yang lebih rendah yang perlu dibayar oleh rakyat terhadap pinjaman sewa beli atau pinjaman peribadi mereka mahupun pembayaran hutang kad kredit yang boleh mengurangkan beban rakyat. Selain itu, pengurangan OPR ini juga akan membantu pengurangan inflasi negara.

BNM

 

Tindakan Bank Negara berhubung pengekalan OPR 1.75 peratus ini, membantu mengukuhkan dasar fiskal negara serta memperkemaskan kaedah pengurusan kewangan ketika negara dalm kemelut gelombang COVID-19 ketiga ini.

 

MPC juga akan terus menilai keadaan semasa dan implikasinya terhadap prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri secara keseluruhan. Bank Negara Malaysia akan terus menggunakan alat-alat dasarnya yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan yang menyokong pemulihan ekonomi secara berterusan.

 

Menurut Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, pengekalan OPR ini menyebabkan KDNK negara bagi tahun 2021 ini dijangka bertumbuh 6.5 peratus ke 7.5 peratus seperti yang dijangkakan dalam pembentangan Belanjawan 2021 pada November 2021 yang lalu mungkin mengalami risiko untuk disemak semula.

 

Selepas OPR diumumkan kekal oleh BNM, Ringgit ditutup tinggi untuk beberapa hari. Pada 3 hari selepas pengumuman OPR ini, penutupan mata wang tempatan berada pada 4.0280/ 0320 berbanding dolar AS daripada 4.0430/0470 telah direkodkan.  

 

BNM

 

Ketua Strategi Pasaran Global Axi, Stephen Innes, berkata keputusan bank pusat itu memberi petanda yang baik kepada ringgit, terutama dengan pasaran memantau rapat prestasi dolar AS. 

 

Dengan menggalakkan kestabilan monetari melalui perubahan dasar monetari yang bersesuaian, Bank Negara Malaysia memastikan bahawa inflasi terus dikekalkan pada paras yang rendah dan kuasa membeli ringgit tidak susut.  - DagangNews.com

 

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah seorang pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

 

 

 

 

Portfolio Tags