Ketahui 4 sumber syariah yang menjadi tunjang kepada perbankan Islam | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 9 August 2022

KETAHUI 4 SUMBER SYARIAH YANG MENJADI TUNJANG KEPADA PERBANKAN ISLAM

 

 

PERBANKAN Islam adalah urus niaga perbankan biasa dan tradisi yang dilaksanakan berpandukan kepada syariah. 

 

Dalam hal ini, syariah menjadi satu undang-undang yang perlu dipatuhi dan ia wujud melalui empat sumber.

 

 

Al-Quran

 

Sumber pertama ialah al-Quran yang merupakan sumber undang-undang Islam yang asli dan abadi. Di dalamnya terkandung kata-kata atau pesanan Allah SWT yang diturunkan melalui Nabi Muhammad SAW untuk membimbing keseluruhan umat manusia. 

 

Kata-kata dan pesanan ini merupakan sesuatu yang dianggap dasar dan menyeluruh, serta kekal untuk selama-lamanya. 

 

Al-Quran merupakan buku utama mengenai agama dan prinsip-prinsip moral dan diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW melalui wahy matluww (wahyu yang dibacakan) dan yang diturunkan melalui perantaraan Malaikat Jibril. Ia mengandungi 114 bab yang tidak sama panjangnya dan dipanggil surah.  

 

Erti sebenar perkataan surah ialah mulia atau luhur dan setiap surah mempunyai tajuknya yang tersendiri. Surah ini pula mengandungi sebilangan ayat yang bermaksud petunjuk atau perhubungan daripada Allah SWT. Terdapat sejumlah 6,240 ayat di dalam al-Quran. 

 

Bagaimanapun menurut beberapa kajian, terdapat sedikit berbezaan dari segi jumlah ayat akibat perbezaan dalam menghitung di antara pusat-pusat pembelajaran al-Quran yang mana satu daripada kajian oleh A. Rahman Doi (1984), bilangan ayat di dalam al-Quran adalah sebanyak 6,666 ayat.

 

 

gambar hiasan

 

 

Hadis

 

Sumber kedua syariah adalah hadis yang merupakan cebisan maklumat, cerita, riwayat, kisah dan catatan sunnah Nabi Muhammad SAW yang diperturunkan dari generasi ke generasi yang lain dan menjadi pedoman keimanan dan amalan orang Islam. 

 

Sunnah menggambarkan kebiasaan, kegemaran dan apa yang digunakan oleh Rasulullah SAW. Sunnah ini juga membicarakan tingkah laku, perbuatan, tindakan dan percakapan Rasulullah SAW dalam pelbagai situasi kehidupan dan keadaan yang dilalui oleh Baginda. 

 

Perkataan hadith atau hadis bermaksud kisah, cerita atau laporan. Makna asal perkataan ini ialah 'sesuatu yang baru' dan 'berlaku', 'mengambil tempat' 'sesuatu yang lalu' dan 'sesuatu pernyataan akan perkara yang telah berlaku'.  

 

Oleh itu, hadis adalah cerita atau laporan mengenai sesuatu perkara yang telah terjadi. Laporan atau kata-kata ini disampaikan kepada pihak lain sama ada melalui pendengaran ataupun pernyataan.  

 

Al-Quran juga menyebut perkataan hadis di dalam Surah 18 ayat 6 dan Surah 39 ayat 23. Hadis juga dikenali sebagai tradisi kerana diperturunkan daripada seorang kepada seorang yang lain dan dari generasi ke generasi yang lain.  

 

Dalam syariah, hadis menerangkan sunnah Rasulullah SAW dan sebagai sumber undang-undang, hadis digunakan sebagai pengesah, pengembang, penghurai dan pelengkap kepada ayat-ayat al-Quran.

 

Kedua-dua al-Quran dan hadis dikenali juga sebagai al-adillat-al-qatiyyah atau pendapat atau pandangan yang mutlak dan menjadi bukti yang tidak boleh dipertikai kebenarannya.  

 

Hal ini disebabkan kedua-dua sumber tersebut mengandungi perkara-perkara mutlak dan asas yang jelas mengenai doktrin Islam. Sumber-sumber ini juga ada kalanya dipanggil sebagai usul atau umbi kepada syariah.  

 

 

gambar hiasan

 


Ijma'

 

Sumber ketiga dipanggil Ijma’ yang bererti pendapat atau persetujuan bersama mujtahid atau ahli perundangan Islam pada masa-masa tertentu dalam persoalan undang-undang. 

 

Mujtahid ialah orang yang mempunyai kepakaran dalam perundangan Islam dan bidang lain berkaitan dengan agama Islam. 

 

Proses di mana pakar-pakar ini membincangkan dengan bersungguh-sungguh penyelesaian untuk sesuatu permasalahan agama ini dipanggil ijtihad.

 

 

Qiyas

 

Sumber keempat dan terakhir ialah Qiyas. Makna asal perkataan ini ialah mengukur dengan sesuatu atau membandingkan dengan sesuatu. 

 

Qiyas dari segi syariah ialah proses yang menggunakan alasan munasabah atau diterima akal bagi menyelesaikan persoalan sukar dan mengelirukan berkaitan  aspek doktrin dan amalan. 

 

Proses ini dibuat dengan membandingkan atau kiasan dengan mana-mana persoalan atau kes yang ada kesamaannya dan telah pun diselesaikan berdasarkan panduan dan ketetapan yang terdapat di dalam al-Quran dan juga hadis.

 

Ijma’ dan qiyas pula dikenali sebagai al-adillat-al-ijtihadiyyah ataupun pendapat atau pandangan yang didapati melalui kesungguhan berfikir dan bekerja keras dalam menyelesaikan masalah yang wujud. Kedua-dua sumber terakhir ini juga dipanggil sebagai furu atau cabang kepada syariah.  

 

Bagi penulis, yang penting ialah perbankan Islam telah berjaya menggabungkan semua syariah dengan dunia kewangan yang telah lama terpisah oleh sistem sekular barat. - DagangNews.com

 

 

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

UTM

Portfolio Tags