Khairussaleh dilantik sebagai GPCEO Maybank berkuat kuasa 1 Mei 2022 | DagangNews Skip to main content

Khairussaleh dilantik sebagai GPCEO Maybank berkuat kuasa 1 Mei 2022

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Jan - Maybank hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Khairussaleh Ramli sebagai Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (GPCEO) bank itu selepas menerima pengesahan daripada Bank Negara Malaysia.

 

Beliau akan menggantikan Datuk Seri Abdul Farid Alias selaku GPCEO berkuat kuasa 1 Mei 2022. 

 

Pengerusi Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd. Isa berkata, Ahli Lembaga Pengarah mengalu-alukan kehadiran Khairussaleh dan akan memberikan kerjasama dalam meneruskan perkembangan bank itu pada masa akan datang. 

 

"Datuk Khairussaleh kembali menyertai keluarga Maybank semula dan membawa bersamanya pengetahuan serta pengalaman daripada sektor kewangan dan industri pasaran modal selama hampir 30 tahun.

 

"Kami yakin dengan pengalaman luasnya dalam sektor itu akan membantu perkembangan Maybank dalam fasa seterusnya yang berteraskan fokus M25 yang merangkumi pembangunan pendigitalan, kelestarian dan nilai-nilai baharu," katanya dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Khairussaleh, 54, sebelum ini merupakan Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) RHB Group yang bertanggungjawab dalam menentukan hala tuju strategik kumpulan dan membawa organisasi itu mencapai sasaran di bawah strategi lima tahun berkahir pada FY 2022.

 

Sebelum menyertai RHB Group, beliau bersama Maybank bermula November 2008 hingga September 2013 selaku Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan sebelum menyandang jawatan Pengarah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Indonesia.

 

Semasa bersama Maybank Indonesia, beliau memperkenalkan program transformasi perniagaan yang menyumbang kepada 81% perkembangan keuntungan pada FY2012 selain turut menerima Anugerah Ketua Pegawai Kewangan Terbaik di Malaysia pada 2010 dan 2011 daripada FinanceAsia selain Anugerah Ketua Pegawai Kewangan Terbaik di Malaysia 2012 daripada Alpha Southeast Asia.

 

Selain itu beliau pernah menyandang beberapa jawatan lain termasuk Ketua Pegawai Strategi Telekom Malaysia Berhad, Ketua Pegawai Eksekutif TM Ventures dan Ketua Pegawai Kewangan Bursa Malaysia.

 

Sementara itu, Zamzamzairani berkata, Ahli Lembaga Pengarah Maybank ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Abdul Farid yang akan menamatkan tugasan pada 30 April 2022 di atas sumbangannya selama ini. - DagangNews.com