KL City mahu kejutkan JDT di final Piala Malaysia, esok | DagangNews Skip to main content

KL City mahu kejutkan JDT di final Piala Malaysia, esok

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Nov - Kuala Lumpur City FC (KL City) yang akan beraksi selaku pasukan bukan pilihan mahu melakar kejutan besar ke atas Raja Bola Sepak Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi final Piala Malaysia yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

 

Ketua jurulatih KL City, Bojan Hodak berkata, pasukan kendaliannya berada pada tahap motivasi tertinggi dan menyifatkan mereka tidak berdepan tekanan berbanding JDT yang mahu mempertahankan kejuaraan.

 

Dia mahu pemain melupakan soal keletihan dan berikan aksi terbaik mereka dalam perlawanan akhir itu.

 

“Diharapkan aksi esok akan menjadi perlawanan yang sengit walaupun kedua-dua pasukan agak keletihan terutama kami yang tidak punyai skuad yang besar seperti mereka malah kami hanya ada empat pemain import.

 

“Namun saya tetap mengharapkan pemain dapat berikan aksi maksimum di atas padang dan tiada sebarang tekanan kepada kami kerana JDT ada segala-galanya seperti pemain dan kemudahan yang lebih baik.

 

“Dalam perlawanan esok, jika mereka tidak menjaringkan gol pada awal permainan, tekanan akan berpihak kepada mereka dan mungkin secara perlahan-lahan kami akan lebih yakin mencipta sesuatu,” katanya.

 

Bagi pengendali JDT, Benjamin Mora, dia menghormati KL City yang dianggap sukar dijinakkan berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan di Liga Super apabila mereka sekadar menang tipis 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim selain seri 1-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

 

“Sejarah pertemuan tidak boleh disorok namun itu hanya satu memori kerana dua perlawanan itu cukup berbeza dengan apa yang bakal ditempuh pada 90 minit secara keseluruhan di atas padang esok.

 

“Kita tahu sejak Bojan mengambil alih Kuala Lumpur, segalanya tampak berubah dan pasukan KL nyata begitu tersusun dalam soal taktikal serta cukup baik pada situasi bola mati.

 

“Dua perlawanan yang lalu memang sukar kerana mereka ada pemain yang bagus dan saya jangkakan aksi final esok pasti menjadi perlawanan yang sukar,” katanya.-Dagangnews.com