Kontrak sewaan jangka panjang tidak beri impak ketara kepada MISC - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Kontrak sewaan jangka panjang tidak beri impak ketara kepada MISC - Kenanga Research

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 11 0gos - Perolehan kontrak sewaan jangka panjang oleh MISC Bhd. dijangka tidak memberi impak ketara kepada hasil kumpulan. 

 

Ini mendorong Kenanga Research mengekalkan pandangan 'market perform' terhadap MISC dengan harga sasaran disemak rendah kepada RM7.55 daripada RM7.70 sesaham sebelum ini.

 

"Secara keseluruhan, kami sedikit positif dengan perolehan kontrak ini dan melihatnya sebagai penambahan berterusan dalam armada gas asli cecair (LNG) kumpulan.

 

"Oleh itu, kami tidak membuat sebarang perubahan bagi angka untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) hingga FY23, mmandangkan tarikh permulaan kontrak itu pada 2025 dan kesan pendapatan segera yang kecil," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Semalam, MISC Bhd. bersama rakan konsortium meraih kontrak sewaan jangka panjang daripada QatarEnergy bagi tujuh kapal pengangkut gas asli cecair (LNG) yang dibina Hyundai Heavy Industries Co., Ltd.

 

Baca : MISC bersama rakan konsortium raih kontrak sewaan kapal LNG daripada QatarEnergy

 

QatarEnergy merupakan salah satu pengeluar LNG terbesar dunia. Sebaik saja dihantar pada 2025, tujuh kapal yang baru dibina itu akan memenuhi keperluan QatarEnergy untuk mengangkut LNG ke beberapa negara seluruh dunia.

 

Ketika ini, kumpulan Aset dan Penyelesaian Gas (GAS) terdiri daripada 30 kapal pengangkut LNG, enam kapal pengangkut etana besar (VLEC), dua unit penyimpan terapung (FSU) LNG dengan kapasiti tan berat mati (dwt) melebihi dua juta tan.

 

Menurut Kenanga Research, MISC dijangka lebih agresif dalam aktiviti bidaan bagi menampung penurunan aliran tunai memandangkan lebih 10 kontrak jangka panjang LNG akan tamat dalam tempoh 3 hingga 4 tahun akan datang.

 

Katanya, kadar pasaran untuk sewaan kapal pengangkut LNG 3 tahun kini menghampiri paras tertinggi, justeru, kontrak akan datang yang dijamin akan menghasilkan pulangan lebih baik sekiranya beberapa kapal lama ini digunakan semula.

 

"Pada masa sama, kami juga difahamkan bahawa kumpulan secara agresif membida kontrak bagi pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) untuk projek Cameia TotalEnergies di Angola, dengan kerjasama Saipem," katanya.

 

Firma itu menjangkakan MISC akan merekodkan hasil yang lebih lemah pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022.

 

"Ini kerana kami menjangkakan kumpulan akan mengiktiraf kemerosotan dan peruntukan berikutan kelewatan berterusan dan peningkatan kos untuk FPSO Mero-3, yang sedang menjalani kerja penukaran dan fabrikasi di limbungan kapal CIMC Raffles di China," tambahnya.

 

Setakat 11.41 pagi ini, harga sahamnya menokok 11 sen atau 1.54% kepada RM7.24 dengan 475,500 saham diniagakan. - DagangNews.com