Kos projek ECRL kekal pada RM50.27 bilion | DagangNews Skip to main content

Kos projek ECRL kekal pada RM50.27 bilion

 

KUALA LUMPUR 4 Dis - Kos pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kekal pada RM50.27 bilion biarpun selepas kerajaan Selangor meluluskan cadangan Jajaran Utara ECRL Seksyen C, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong.

 

Menurutnya, keputusan kerajaan Selangor itu akan memuktamadkan pembinaan jajaran ECRL sejauh  665 kilometer yang merangkumi 59 terowong serta beberapa jejambat dengan panjang keseluruhannya 127 kilometer.

 

"Anggaran kos RM50.27 bilion ini mengambil kira kerja-kerja terowong berkembar Genting sepanjang 16.39 kilometer yang  menggunakan dua mesin pengorek terowong (TBM) canggih serta Terowong Serendah sepanjang 14.10 kilometer melalui kaedah letupan dan gerudi.

 

"Kos ECRL ini juga akan merangkumi pengangkutan rel ECRL yang apabila beroperasi kelak terdiri daripada set unit 'electric multiple' (EMU) bagi penumpang dan lokomotif serta gerabak untuk perkhidmatan kargo," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Dokumen (Jajaran Utara) ECRL Seksyen C di sini, lapor Bernama.

 

Terdahulu ketika berucap, Wee berkata Jajaran Utara ECRL ini akan memasukkan Serendah Bypass yang amat diperlukan untuk perkhidmatan rel Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) ke dalam skop Projek ECRL.

 

"Landasan berkembar yang terdiri daripada landasan Tolok Meter dan Tolok Standard akan dibina di antara Serendah dan Pelabuhan Klang.

 

"Serendah Bypass akan berfungsi sebagai laluan pelepasan kargo yang penting untuk perkhidmatan rel kargo KTMB yang berdepan kesesakan rel ketika melintasi pusat bandar Kuala Lumpur," katanya.

 

Menurut Wee, Serendah Bypass juga dijangka meningkatkan jumlah kargo ECRL yang apabila beroperasi akan menampung kargo dari negeri-negeri Pantai Timur dan laluan KTMB sedia ada.

 

"Penjajaran ini akan menjadikan ECRL infrastruktur yang berdaya maju sejajar dengan nisbah hasil 70 peratus perkhidmatan kargo dan 30 peratus perkhidmatan penumpang.

 

"Atas faktor ini jajaran asal ECRL yang ditambah baik akan memasukkan landasan dwitolok kira-kira 30 kilometer dari stesen ECRL Jalan Kastam ke kawasan pelabuhan Northport dan Westport," katanya.

 

Beliau berkata,  pembinaan ECRL juga dijangka memacu pertumbuhan sektor pembinaan dan bahan binaan serta menyokong pengambilan tenaga kerja tempatan, termasuk kalangan profesional, pekerja mahir dan pekerja am bagi menampung aktiviti berkaitan. - DagangNews.com