KPower dapat lanjutan 4 tahun bagi PPA projek LSS4 di Pahang | DagangNews Skip to main content

KPower dapat lanjutan 4 tahun bagi PPA projek LSS4 di Pahang

KUALA LUMPUR 11 Ogos - KPower Bhd. memperoleh lanjutan 4 tahun bagi perjanjian pembelian tenaga (PPA) dengan Tenaga Nasional Bhd. (TNB) bagi pembangunan loji solar fotovoltaik (PV) berkapasiti 50 megawatt (MW) di Pekan, Pahang.

 

Menurut KPower, lanjutan tempoh PPA kepada 25 tahun daripada 21 tahun itu dimaklumkan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam surat kepada anak syarikat 95% miliknya, PKNP KPower Suria Sdn Bhd (PKSSB).

 

Katanya, ST juga bersetuju untuk melanjutkam tempoh penutupan projek itu yang dibangunkan di bawah program solar berskala besar 4 (LSS4) @MEnTARI dari 30 Jun 2022 kepada 30 September 2022 manakala tarikh jadual komersial dari 30 September 2023 hingga 31 Disember 2023.

 

“PKSSB akan melaksanakan perjanjian tambahan dengan TNB untuk melaksanakan terma yang dinyatakan di atas, jika berkaitan, dalam PPA," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Kumpulan menjangkakan lanjutan masa itu akan memberi impak positif kepada pendapatan KPower pada masa depan.

 

Selain KPower, Ranhill Utilities Bhd. juga meraih lanjutan 4 tahun bagi PPA dengan TNB untuk membangunkan projek LSS4 di Perak.

 

KPower menjalankan operasi dalam segmen tenaga mampan dan utiliti khususnya tenaga boleh diperbaharui (RE). - DagangNews.com