KPower laksana projek rumah mampu milik RM300 juta di Kuala Nerus | DagangNews Skip to main content

KPower laksana projek rumah mampu milik RM300 juta di Kuala Nerus

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA TERENGGANU 10 Ogos – KPower Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, KPower Development Sdn. Bhd. (KDSB) menerima kelulusan Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu (Bahagian Perumahan) untuk membangunkan perumahan mampu milik dan bercampur di atas tanah milik kerajaan negeri di pusat pentadbiran baharunya di Kuala Nerus.

 

Pembangunan bernilai RM300 juta itu akan ditempatkan di Lot 100677 (8.963 hektar) dan 100678 (9.996 hektar) di Kawasan Pentadbiran Kuala Nerus, Mukim Batu Rakit, Daerah Kuala Nerus, Terengganu di mana sejumlah lebih kurang 1,200 unit terdiri daripada pembangunan bercampur iaitu rumah mampu milik dan unit komersial akan dibangunkan secara serentak.

 

Kedua-dua pihak menjangkakan untuk membuat perjanjian muktamad dalam tempoh enam bulan dari tarikh kelulusan.

 

Pengerusi Eksekutif, Mustakim Mat Nun berkata, pihaknya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu atas kepercayaan dan keyakinan mereka untuk  KPower membangunkan bahagian perumahan penting ini di pusat pentadbiran baharu mereka.

 

"Kami percaya cadangan nilai kami yang menggabungkan kemampanan, meningkatkan elemen air sedia ada dengan tema kehidupan yang bertenaga dan selesa sesuai dengan konsep keseluruhan “Rancangan Kawasan Khas Pusat Pentadbiran Kuala Nerus” iaitu “Bandar Moden dan Hijau,” katanya pada majlis tersebut di sini hari ini.

 

Menurut beliau, Kuala Nerus mempunyai semua ciri untuk menjadi model bandar moden, dengan pusat pentadbiran yang mampan di samping menawarkan kemudahan mesra alam.

 

"Semoga projek ini dapat memberi keselesaan kepada penduduk daerah Kuala Nerus, meningkatkan keselamatan dan memberi manfaat kepada penduduk sekitar,” ujar beliau.

 

Beliau berkata, tumpuan Kerajaan Negeri terhadap rumah mampu milik dan pelbagai inisiatif serta insentif kepada sektor pembinaan amat dialu-alukan dan dikagumi.

 

Sebagai imbasan, Kerajaan Negeri Terengganu telah memutuskan untuk mengetepikan yuran pembangunan bagi projek perumahan mampu milik yang diswastakan dan dibina di atas harta awam mulai April 2022.

 

Pengecualian itu membantu mengurangkan kos kenaikan harga bahan binaan yang dihadapi oleh pemain industri.

 

"Tanpa sebarang keadaan yang tidak dijangka, pelaksanaan perjanjian ini dijangka menyumbang secara positif kepada kewangan masa hadapan Kumpulan," kata syarikat itu. - DagangNews.com