KPPK tumpu usaha kembang industri oleokimia hiliran tempatan | DagangNews Skip to main content

KPPK tumpu usaha kembang industri oleokimia hiliran tempatan

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) sedang menumpukan usaha untuk mengembangkan industri oleokimia hiliran tempatan.

 

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, tumpuan diberikan kepada pembinaan kilang oleokimia yang mengolah minyak sawit mentah kepada produk bukan makanan seperti kosmetik dan bahan pencuci.

 

“Minyak sawit ini ialah  komoditi yang sangat (bersifat) serba boleh  iaitu makanan dan bukan makanan, jadi bila kita mengamalkan penanaman sawit, dan pengurusan sawit ini adalah sifar sisa,” kata beliau semasa sesi soal jawab di persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.

 

Beliau juga berkata, sehingga kini 65 kilang penapis sedia ada adalah cukup untuk mengolah minyak sawit mentah yang dihasilkan dalam negara.

 

“Ketika ini, penapisan ini kebanyakan (dijalankan) di bawah pengurusan estet yang besar seperti Sime Darby. Jadi, harga dan pengeluaran minyak masak sebenarnya masih tidak terjejas,” katanya.

 

Zuraida berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Datuk Mohd. Ridhwan Mohd Ali mengenai keperluan menambah kilang penapisan minyak masak milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau bumiputera bagi mengimbangi harga minyak masak di pasaran. - DagangNews.com